Soalan: 

Assalamualaikum Dato Seri, apa hukum seseorang yang solat dalam keadaan lengan baju dilipat?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ، وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَاليَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ القَدَمَيْنِ وَلاَ نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh tulang (anggota) iaitu dahi, serta Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangan pada hidungnya, kedua tapak tangan, kedua lutut dan hujung jari kedua kaki. Dan janganlah menahan pakaian dan rambut.”

Riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)

Imam al-Nawawi berkata: “Ulama’ bersepakat tentang larangan ketika solat dalam keadaan lengan pakaiannya bergulung atau berlipat, atau seumpamanya. Juga rambut kepalanya terikat atau digulung rambutnya yang di bawah serbannya atau seumpamanya. Kesemua perkara ini adalah dilarang dengan kesepakatan para ulama, dan ia adalah termasuk dalam makruh tanzih. Sekiranya seseorang itu solat dalam keadaan yang demikian, maka dia telah mencacatkan solatnya (fadhilat solat), namun solatnya tetap sah.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/209)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Jumhur menyatakan bahawa makruh (melipat lengan baju) bagi seseorang yang ingin solat, sama ada perbuatannya itu di dalam solat, atau sebelum masuk ke dalam solat. Mereka juga bersepakat bahawa perbuatan tersebut tidak merosakkan (membatalkan) solat.” (Lihat Fath al-Bari, 2/296)

Kata beliau lagi: “Hikmah pada perkara tersebut adalah, apabila seseorang itu mengangkat pakaiannya atau rambutnya daripada tersentuh lantai, maka dia seumpama orang yang takabbur (sombong).” (Lihat Fath al-Bari, 2/296)

Syeikh Zakariyya al-Ansari dari kalangan fuqaha’ Syafi’iyyah berkata: “Dan makruh bagi orang yang solat dalam keadaan menahan rambutnya dan pakaiannya di dalam sujud, atau selain daripadanya tanpa keperluan.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/162)

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili pula menyebut bahawa hukum menggulung pakaian atau lengan pakaian sama ada sengaja dilakukan untuk solat atau sebelumnya (sebelum solat) dengan tujuan yang lain, serta seseorang itu solat dalam keadaan begitu tanpa darurat, maka hukumnya adalah makruh menurut kesepakatan ulama’, dan ia termasuk dalam makruh tanzih. Sesiapa yang solat dalam keadaan begitu, maka dia telah melakukan perkara yang makruh, namun solatnya tetap sah. (Lihat al-Mu’tamad, 1/321)

Justeru, kami nyatakan bahawa hukum melipat atau menggulung lengan pakaian ketika solat adalah termasuk dalam perbuatan makruh tanzih. Akan tetapi, solatnya masih tetap sah.

 

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply