#1248: Stall Ada Menjual Burger Khinzir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya merupakan pembuat stall (gerai) burger. Saya ada menerima satu tempahan daripada pelanggan cina ini untuk membuat stall burger dia. Tetapi, salah satu menu dalam list burger yang dia jual adalah burger babi. Jadi, bolehkah saya menerima tempahan untuk membuat stall burger kepada pelanggan cina ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Persoalan yang hampir serupa ini telah dijawab berkenaan dengan hukum bekerja di hypermarket yang ada padanya jualan yang haram seperti arak atau khinzir. Oleh kerana matlamat asalnya menjual barang-barangan bercampur yang halal dengan yang tidak halal seperti persoalan di atas, saya berpendapat hukumnya harus sekadar membina bangunan atau stall tersebut. Adapun matlamatnya selepas itu, bukanlah urusan kita dan beliau mahu menjual kepada mereka yang bukan Islam seperti bangsa Cina atau India yang bukan Islam. 

Saya katakan, dalam fiqh ta’ayush, agama Islam tidak membiarkan satu bidang kehidupan melainkan diletakkan kaedah dan prinsip yang jelas. Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam dalam konteks kehidupan bersama dalam sesebuah negara di antara topik yang sangat penting pada zaman ini. Syariah telah menggariskan kaedah dan prinsip yang jelas berkaitan kehidupan bersama (ta’ayush). Rasulullah saw merupakan qudwah terbaik dan uswah hasanah yang wajib ke atas orang-orang Islam mengikutinya. Baginda telah menunjukkan beberapa kaedah dan prinsip al-ta’ayush bersama orang lain dalam banyak keadaan, zaman dan tempat. Malahan para sahabat juga meletakkan batu asas kepada tamadun Islam yang menyaksikan kehidupan orang-orang Islam di samping bukan Islam dalam keadaan aman dan harmoni.

Ternyata, topik berkaitan fiqh al-ta’ayush sangat penting dalam zaman dan era moden. Menariknya, kepentingan ini turut diberi perhatian dalam Persidangan ke-23 Majmak al-Fiqh al-Islami al-Dawli yang baru-baru ini diadakan di Madinah al-Munawarrah pada 28 Oktober – 1 November 2018 bersamaan 19-23 Safar 1440. Antara resolusi yang dicapai ialah resolusi no. 229 (13/23) mengenai iklan al-ta’ayush al-karim dalam kerangka Islam yang bakal diterbitkan berasingan daripada resolusi-resolusi lain. Justeru, fiqh al-ta’ayush merupakan satu perbincangan baru yang wajar diwacanakan ahli akademik dan institusi agama demi mencapai satu persetujuan dan parameter yang jelas tentangnya.

Menjawab persoalan di atas, oleh kerana kita di Malaysia hidup dalam masyarakat yang majmuk, hormat-menghormati adalah digalakkan. Walaupun masalah di atas adalah khilaf dan sebahagian ulama mengharuskan, tetapi saya berpendapat alangkah baiknya kita keluar daripada khilaf untuk kita tidak mengambil upah seperti itu.

Hal ini berdasarkan kaedah yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri:

اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang. 

Kami juga berpesan agar kita sama-sama mengingati pesan Nabi SAW berkenaan rezeki yang halal:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal dan haram itu jelas, manakala antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubhah, yang tidak jelas hukumnya.”

Riwayat Abu Daud (3329)

Walau bagaimanapun, Islam sebagai agama yang luwes, fleksibel dan meraikan keperluan-keperluan manusia ada memberikan beberapa pengecualian dalam situasi-situasi tertentu.

Semoga kita mempunyai sedikit sifat warak dalam meniti kehidupan yang penuh mencabar ini. Saya mendoakan semoga anda diberi rezeki tanpa sebarang syubhah. Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” 

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *