Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seseorang itu melakukan ibadah korban dengan rusa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556).

Definisi rusa

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, rusa ialah sejenis binatang yang tanduknya bercabang-cabang dan memakan tumbuh-tumbuhan. Rusa adalah haiwan mamalia pemamah biak (ruminan) yang termasuk dalam keluarga Cervidae. Spesies rusa ditemukan di semua benua seluruh dunia kecuali di Australia dan Antartika, spesies rusa paling banyak ditemukan di Asia. Salah satu ciri khas rusa adalah adanya tanduk isitmewa bukan macam tanduk biasa yang merupakan pertumbuhan tulang yang berkembang setiap tahun (biasanya pada musim panas) terutama pada rusa jantan (walaupun ada beberapa pengecualian). 

Majoriti spesies lebih suka kawasan hutan tertutup serta terbuka, dan pinggir hutan. Sesetengah spesies, seperti Muntiacus atau rusa pintail biasanya ditemui dalam kawasan tumbuhan lebat, manakala yang lain menunjukkan kecenderungan yang lebih fleksibel, dan kebanyakannya berlaku di lokasi pinggir hutan dengan peralihan kepada landskap yang lebih terbuka. Hanya beberapa spesies seperti rusa kutub atau rusa pampas (Ozotoceros bezoarticus) telah menyesuaikan diri secara langsung dengan tanah lapang. Selain itu, rusa paya (Blastocerus dichotomus) dan rusa air tinggal di kawasan paya. Secara ringkas, kelompok rusa telah mendiami dari tanah pamah hingga tanah tinggi setinggi 5100 m, dan mendiami iklim tropika hingga tundra Arktik.

Makanan haiwan ini hampir keseluruhannya terdiri daripada daun, rumput, lumut, tunas, buah, dan herba. Keluarga rusa ialah sejenis ruminan — mamalia yang mempunyai kapasiti untuk memecahkan dan menyimpan (menapai) tumbuhan (yang dimakan) dengan perutnya yang memiliki empat ruang. Setiap ruang itu mengandungi pelbagai mikrob untuk membantu tugas ini. Selepas makanan diproses oleh perut pertama, haiwan itu kemudiannya akan memuntahkannya sebagai mamahan dan cuba mengunyah bahan tumbuhan yang keras. Makanan kemudiannya diteruskan melalui ruang perut yang tinggal untuk penghadaman. Walau bagaimanapun, tidak seperti kebanyakan ruminan lain seperti biri-biri dan lembu, lelangit mereka lebih selektif. Mereka lebih suka makanan berkualiti tinggi yang lebih mudah dihadam.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, aturan dalam pelaksanaan ibadah korban telah pun ditetapkan oleh syariat dengan jelas. Bagi pelaksanaan ibadah korban, telah diletakkan syarat haiwan-haiwan tertentu dalam melaksanakan ibadah ini iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy) serta jenis-jenisnya. Selain daripada tiga jenis haiwan tersebut, tidak pernah dinukilkan pula daripada Nabi SAW dalam melakukan ibadah korban. 

Para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa binatang-binatang yang boleh dibuat korban ialah binatang-binatang yang termasuk dalam kategori bahimah al-an‘am (haiwan ternakan) yang diwajibkan zakat iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy).

Allah SWT berfirman:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap bahimatul an‘am (binatang ternakan) yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”

(Surah al-Hajj: 34)

Imam al-Baghawi berkata: Lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385). 

Imam al-Syaukani pula menyebutkan, ini mengisyaratkan bahawa haiwan korban hanya berupa binatang ternakan, tidak yang lain. (Lihat Fath al-Qadir, 3/535). Binatang ternakan (بَهِيمَة الْأَنْعَام) bermaksud unta, lembu dan kambing (termasuk segala jenis-jenisnya). Ini telah diketahui dan masyhur dalam kalangan orang-orang Arab. Selain itu, ini juga merupakan pendapat al-Hasan, Qatadah dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/9).

Tambahan pula, hal ini telah dinukilkan wujudnya ijma‘ (kesepakatan) dalam perkara ini oleh Imam al-Nawawi, Ibn  ‘Abd al-Bar, Ibn Hazm dan selainnya. Imam al-Nawawi menyebutkan, syarat sah dalam korban ialah haiwan korban hendaklah berasal daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Termasuk juga pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing iaitu kibas, ma‘iz (kambing jantan) dan sejenisnya. Manakala selain haiwan ternakan seperti rusa dan keldai adalah tidak sah sebagai haiwan korban, sama ada daripada yang jantan mahupun yang betina – tanpa ada perselisihan ulama. Tidak ada khilaf sama sekali mengenai hal ini menurut kami. Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/365).

Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-32 yang bersidang pada 10-11 Jun 1993 juga telah membincangkan Hukum Zakat, Korban dan Akikah ke atas Ternakan Rusa. Muzakarah antara lain memutuskan bahawa: Rusa tidak diwajibkan zakat dan tidak boleh dijadikan binatang korban dan akikah. (Lihat Kompilasi Muzakarah MKI 2016, hlm. 138).

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah bahawa melakukan ibadah korban dengan rusa adalah tidak dibolehkan dan tidak sah kerana ia tidak termasuk dalam kategori ‘haiwan ternakan’ yang dimaksudkan. Hal ini kerana yang dimaksudkan dengan ‘haiwan ternakan’ yang boleh untuk dijadikan sebagai haiwan korban ialah kambing, lembu dan unta serta termasuklah jenis-jenisnya sahaja.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply