Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum menjual makanan rosak dan sudah basi sehingga kadang-kadang memudaratkan pemakannya? Hal ini kerana baru-baru ini tular seseorang telah terbeli hidangan berasaskan ikan di sebuah bazar Ramadhan tetapi di dalam perutnya penuh dengan ulat yang disangka nasi, begitu juga dengan makanan yang sudah basi, dan seumpamanya. Mohon pencerahan. Terima kasih. 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

 (Surah al-A‘raf: 157)

Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Pada asasnya, haram untuk menjual bahan yang rosak atau berbahaya. Hal ini kerana kewajipan setiap orang Islam adalah menjaga keselamatan orang Islam, dan menjauhi apa-apa yang menyakiti dan memudaratkan kesihatan serta keselamatan mereka. Oleh sebab itu, haram untuk menjual apa-apa yang membahayakan mereka, dan begitu juga haram untuk menipu mereka (mengenai makanan yang dijual). 

Secara umumnya, perbuatan menipu termasuk dalam perbuatan yang diharamkan serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW melalui tempat timbunan makanan (yang dijual). Lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan tersebut. Tiba-tiba di dalamnya basah — yakni rosak.  Maka Baginda bertanya: “Apa ini wahai tuan makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, Wahai Rasulullah.” Baginda bersabda:

أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Kenapa kamu tidak meletakkannya di atas supaya orang ramai boleh melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”

Riwayat Muslim (102); Riwayat Ibn Hibban (4905) dan Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih mengikut syarat Muslim. 

Dalam riwayat Muslim yang lain datang dengan lafaz:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya:Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101) 

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:

فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).” 

(Surah Ibrahim: 36) 

Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231). 

Seterusnya, jika peniaga tersebut telah mengetahui bahawa sesuatu makanan telah luput (expired), rosak atau basi, maka haram ke atasnya untuk menjual makanan tersebut kerana kebiasaannya ia memudaratkan pemakannya. Rasulullah SAW ada bersabda: 

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Malah, peniaga atau penjual tersebut berhak untuk mendapat dosa yang besar kerana perbuatannya itu termasuk dalam penipuan yang diharamkan, apatah lagi berkemungkinan memberi mudarat kepada orang lain.

Selain daripada itu, menipu dalam penjualan bahan-bahan yang rosak sebagai masih lagi elok termasuk dalam jenis paksaan. Imam al-Juwaini menyebutkan, jika seseorang menjual makanan beracun kepada seseorang yang hatinya cenderung untuk memakan makanan tersebut, maka ini adalah termasuk dalam paksaan; di mana ia tidak dipaksa, akan tetapi dari sudut ia membawa kepada kebinasaan setanding dengan paksaan. (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 16/127).

Sehubungan dengan itu, jika memakan bahan-bahan yang rosak ini membawa kepada kematian atau memudaratkan si pemakan, dan penjual mengetahui akan bahayanya, manakala pemakan itu pula tidak mengetahuinya, maka penjual wajib dikenakan diyat dan kafarah kerana dia adalah penyebabnya. Begitu juga hukumnya, sekalipun penjual tidak mengetahui tentang kerosakan bahan yang dijualnya. Hal ini kerana kewujudan tarikh luput pada bahan yang dijual, dan kewajipan untuk mematuhinya adalah sama dengan (kewajipan) mempamerkannya. Malah pihak pemerintah boleh mengambil tindakan atau mengenakan hukuman ke atas mereka yang menjual bahan-bahan yang rosak ini mengikut hukuman yang difikirkan sesuai.

Dalam undang-undang Malaysia terdapat peruntukkan yang berkaitan dengan isu makanan ini seperti Akta Makanan 1983, bawah perkara 13 (Makanan yang mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan) menyatakan:

  1. Mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
  2. Dalam menentukan sama ada apa-apa makanan adalah memudaratkan kesihatan bagi maksud subseksyen (1), perhatian hendaklah diberikan bukan sahaja tentang kesan kemungkinan makanan itu kepada kesihatan seseorang yang memakannya tetapi juga tentang kesan kumulatif kemungkinan makanan itu yang pada keseluruhannya mengandungi kandungan yang sama kepada kesihatan seseorang yang memakan makanan itu sebanyak yang lazim dimakan.

Begitu juga bawah perkara 13A (Makanan yang tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia) menyatakan:

  1. Mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang mengandungi keseluruhannya atau sebahagiannya — 

(a) apa-apa bahan binatang atau sayuran yang berpenyakit, kotor, reput atau bangar; 

(b) apa-apa bahagian binatang yang tidak sesuai untuk dijadikan makanan; atau 

(c) hasil binatang yang sudah mati selain kerana disembelih atau sebagai binatang buruan, 

sama ada dikilangkan atau tidak, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lapan tahun atau kedua-duanya.

  1. Mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang mengandungi atau padanya terdapat apa-apa jirim yang asing kepada sifat makanan itu, atau adalah selainnya tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia, sama ada dikilangkan atau tidak, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
  2. Mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan sama ada dikilangkan atau tidak yang dimasukkan dalam bungkusan terkedap dan bungkusan itu rosak dan tidak lagi dapat melindungi kandungannya daripada tercemar atau merosot, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tima tahun atau kedua-duanya.

Begitu juga bawah perkara 13B (Makanan yang diadukkan) menyatakan:

  1. Tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan.
  2. Bagi maksud dan tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), apa-apa makanan hendaklah disifatkan sebagai diadukkan jika — 

(a) makanan itu mengandungi atau dicampurkan atau dicairkan dengan apa-apa bahan yang dengan apa-apa jua cara menyusutkan sifat pemakanannya atau sifatnya yang lain yang berfaedah berbanding dengan makanan itu dalam keadaan tulen, biasa atau tertentu dan dalam keadaan tidak merosot dan baik, atau yang dengan apa-apa jua cara lain mendatangkan atau mungkin mendatangkan mudarat atau kerugian kepada pembeli atau pengguna; 

(b) apa-apa bahan atau ramuan telah dikeluarkan, kesemuanya atau sebahagiannya, atau ditinggalkan, daripada makanan itu dan oleh sebab pengeluaran atau peninggalan itu, sifat pemakanan atau sifat berfaedahnya yang lain dalam makanan itu adalah kurang daripada sifat-sifat makanan itu dalam keadaannya yang tertentu, atau makanan itu mendatangkan atau mungkin mendatangkan mudarat atau kerugian kepada pembeli atau pengguna; 

(c) makanan itu mengandungi atau dicampurkan atau dicairkan dengan apa-apa bahan yang nilai perdagangannya lebih rendah daripada nilai makanan itu dalam keadaan yang tulen, biasa atau tertentu dan dalam keadaan tidak merosot dan baik; 

(d) makanan itu mengandungi apa-apa bahan yang penambahannya tidak dibenarkan oleh Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini; 

(e) makanan itu tidak mematuhi standard atau spesifikasi yang ditetapkan oleh mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini; 

(f) makanan itu mengandungi apa-apa bahan yang bahagiannya adalah lebih besar daripada bahagian yang dibenarkan oleh Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini; 

(g) makanan itu dicampurkan, diwarnakan, diserbukkan, disalutkan, digandamkan, disediakan atau selainnya diperlakukan dengan suatu cara yang membolehkan kerosakan atau kerendahan mutunya disembunyikan; atau 

(h) makan itu terkandung dalam suatu bungkusan, dan kandungn bungkusan itu sebagaimana yang dibungkus pada asalnya telah dikeluarkan kesemuanya atau sebahagiannya dan kandungan lain telah diletakkan dalam bungkusan itu.

  1. Bagi maksud dan tanpa menjejaskan keluasan perenggan (2)(d), penambahan apa-apa bahan dalm makanan hendaklah disifatkan tidak dibenarkan atau hendaklah disifatkan dilarang oleh atau di bawah Akta ini jika standard atau spesifikasi yang ditetapkan bagi makanan itu melalui peraturan yang dibuat di bawah Akta ini tidak mengadakan peruntukan secara nyata bagi penambahan bahan itu.
  2. Seseorang yang melanggar mana-mana peruntukan seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa penjual yang sengaja menjual makanan yang rosak atau basi berdasarkan kepada tanda-tandanya seperti warnanya yang sudah berubah atau baunya atau seumpamanya, sedangkan pembeli tidak mengetahuinya adalah termasuk dalam penipuan dan perbuatan yang diharamkan. Penjualnya berhak untuk mendapat dosa disebabkan oleh perbuatannya itu dan membayar ganti rugi, bahkan juga dikenakan tindakkan undang-undang. Namun, jika penjualnya tidak mengetahui makanan yang dijual itu sudah rosak dan basi kerana berkemungkinan makanan tersebut dalam bungkusan atau seumpamanya maka dia tidak dikira berdosa tetapi mesti membayar ganti rugi disebabkan oleh kecuaiannya itu.

Akan tetapi jika makanan yang sudah basi itu diketahui dan disedari oleh pembeli mungkin melalui perkhabaran daripada pihak penjual, tetapi pembeli tetap mahu membelinya, maka tidak mengapa. Hal ini kerana boleh jadi pembeli tersebut membelinya bukan untuk dimakan tetapi mungkin untuk diberikan kepada ayam peliharaannya atau dijadikan sebagai baja atau sebagainya.

Kami juga mengambil kesempatan di sini, mengingatkan kepada para peniaga rebutlah peluang sempena bulan Ramadhan yang mulia ini untuk sama-sama merebut dan meraih pahala di samping mengaut keuntungan daripada jualan, misalnya dengan menyediakan makanan dengan menjaga kebersihan yang sepatutnya sesuai sebagaimana yang diperintahkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, melebihkan sedikit ‘portion’ makanan, dan seumpamanya. Ingatlah makanan yang dijual itu akan dijadikan menu berbuka oleh mereka yang berpuasa dan betapa besarnya nilai pahala memberi makan kepada orang yang berpuasa serta didoakan oleh mereka. Justeru, janganlah semata-mata kerana ingin mengaut keuntungan, kita melupakan semua aspek dan peluang ini.   

Selain itu, pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihati para peniaga terutamanya dalam bulan Ramadhan ini untuk sama-sama muhasabah diri, seterusnya berusaha menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai medan bagi mencapai keberkatan dalam perniagaan dengan mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply