#1266: Menggunakan Alat Bantuan Pernafasan Oksigen Siang Ramadhan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum seseorang pesakit yang terpaksa memakai alat bantuan pernafasan oksigen pada waktu siang Ramadhan? Mohon pencerahan. Terima kasih. 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, di antara perkara yang membatalkan puasa ialah masuknya sesuatu benda (‘ain) melalui rongga terbuka ke dalam jauf. Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menjelaskan, lafaz “masuknya sesuatu benda (‘ain)” telah mengeluarkan udara daripada termasuk bersamanya. Justeru, tidak membatalkan puasa dengan masuknya udara ke dalam jauf. Begitu juga dengan rasa dan bau semata-mata tanpa adanya partikel (‘ain) tidak akan membatalkan puasa jika ada yang sampai ke dalam jauf

Kemudian lafaz “rongga terbuka” pula telah mengeluarkan (yakni tidak termasuk dalam maknanya yang membatalkan puasa), jika sesuatu benda itu sampai ke dalam jauf bukan melalui rongga terbuka seperti minyak dan seumpamanya melalui serapan liang roma. Semua adalah rongga terbuka menurut mazhab Imam al-Syafi‘i kecuali mata (tidak termasuk), demikianlah juga telinga (tidak termasuk dalam rongga terbuka) di sisi Imam al-Ghazali. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 451-452).

Nawawi al-Jawi turut menyebutkan, masuknya benda (‘ain) daripada benda-benda dunia sekalipun sedikit seperti bijan atau tidak dimakan seperti batu kerikil ke dalam jauf, membatalkan puasa seseorang dengan sampainya (masuknya) benda tersebut ke dalam jauf melalui rongga yang terbuka dalam keadaan sengaja, tidak dipaksa dan mengetahui tentang keharamannya. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 187).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, gas oksigen yang diberikan kepada sebahagian pesakit melalui alat bantuan pernafasan tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana oksigen tersebut tidak mempunyai sebarang bahan lain yang ditambahkan kepadanya, maka hukumnya adalah sama seperti menghirup udara semula jadi.  Oleh sebab itu, Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang bersidang di Jeddah pada tahun 1997 dalam keputusan mereka yang bernombor 93 (1/10) berkenaan perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam bidang perubatan menyatakan, setelah meneliti kajian yang dibentangkan mengenai perkara yang membatalkan puasa dalam bidang perubatan, serta penyelidikan dan cadangan yang dikeluarkan oleh simposium fiqh perubatan kesembilan yang diadakan oleh Persatuan Pengamal Perubatan, dengan kerjasama Majma‘ dan badan-badan lain di Casablanca, Morocco, dalam tempoh 9-12 Safar 1418 Hijrah bersamaan dengan 14-17 Jun 1997 Masihi, dan begitu juga selepas mendengar perbincangan dan perbahasan yang panjang lebar berkenaan isu yang berkisar dengannya, yang disertai oleh para fuqaha dan doktor perubatan, dan melihat dalil-dalil daripada al-Kitab dan al-Sunnah, serta perkataan para fuqaha, Majlis memutuskan bahawa di antara perkara yang tidak dikira membatalkan puasa ialah gas oksigen.

Begitu juga Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika ditanya berkenaan adakah gas oksigen membatalkan puasa? Mereka menjawab, gas oksigen jika hanya udara yang dipam untuk membantu pernafasan, ia tidak membatalkan puasa, tetapi jika ia mengandungi bahan tambahan yang masuk ke dalam jauf bersama-sama dengan udara, maka ia membatalkan puasa.

Demikianlah juga Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah turut ditanya mengenai adakah penggunaan alat bantuan pernafasan (oksigen) bagi orang yang berpuasa pada siang Ramadhan membatalkan puasa? Mereka menjawab, penggunaan alat bantuan oksigen tidak memberi kesan terhadap kesahihan puasa seseorang kerana oksigen adalah udara yang tidak mempunyai jirim. Akan tetapi jika ditambahkan kepada oksigen tersebut bahan-bahan ubatan, maka ia mempunyai jirim, menjadikan penggunaannya pada siang Ramadhan membatalkan puasa disebabkan oleh masuknya sesuatu (berbentuk jirim) ke dalam jauf melalui saluran terbuka yang biasa.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa penggunaan alat bantuan pernafasan oksigen bagi pesakit yang memerlukan adalah tidak mengapa dan tidak membatalkan puasa penggunanya. Hal ini kerana ia seperti mana menghirup udara biasa yang sememangnya mengandungi oksigen dan tidak mengandungi bahan-bahan tambahan yang lain.

Sekalipun begitu, kami turut mengambil kesempatan di sini menasihatkan jika pesakit tersebut benar-benar tidak mampu untuk meneruskan puasanya, maka dia boleh memilih untuk berbuka dan dia wajib mengqadha’kannya semula mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Firman Allah SWT:

Firman Allah SWT lagi dalam ayat yang lain:

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ ۚ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78) 

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa ayat ini bermaksud berjihadlah pada jalan Allah SWT untuk melawan musuh-musuh dengan jihad yang sebenar-benarnya, di samping mengharapkan keredhaan-Nya. Allah SWT telah memilih kamu untuk menganut agama-Nya dan menolong syariat-Nya. Selain itu, Allah SWT juga sekali-kali tidak menjadikan untukmu kesempitan dan kesulitan dalam agama. Sebaliknya, Dia menjadikannya mudah dan ringan dengan memberikan keringanan (rukhsah) kepadamu seperti boleh qasar dan jamak solat, berbuka ketika berpuasa di bulan Ramadhan bagi orang yang bermusafir dan orang yang sakit, tayammum, boleh memakan bangkai sekiranya keadaan dharurah (ada keperluan mendesak) dan lain-lain. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 342). 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *