Soalan

Apakah hukum seseorang itu mengeluarkan air mani dengan sengaja (onani) sebelum waktu fajar ramadhan dan telah pun mandi wajib, kemudian dia niat berpuasa, dan selepas masuknya waktu fajar tersebut, baki titisan air mani tersebut masih keluar daripada kemaluannya, adakah sah puasanya? Mohon pencerahan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Onani ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. Lafaz “الاسْتِمْنَاء” atau onani berasal daripada kata terbitan “اسْتَمْنَى” iaitu usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah pula ia bermaksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97.) 

Kebanyakan ulama berpendapat perbuatan onani adalah haram. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5 – 7)

Imam al-Syafi‘i ketika mengulas ayat di atas menyebutkan, tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Begitu juga tidak halal perbuatan istimna’ — yakni mengeluarkan air mani. (Lihat al-Umm, 5/102)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, sifat orang yang beriman yang mendapat kejayaan mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya adalah mereka yang memelihara kemaluan daripada liwat, zina dan selainnya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/759-760)

Secara asasnya, sekiranya seseorang mengeluarkan air mani dengan sengaja (onani), maka ia akan membatalkan puasa – sekiranya keluar air mani – sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/356)

Selain daripada itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa sekiranya seseorang itu beronani dengan tangannya, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara haram. Namun, puasanya tidak rosak — yakni terbatal — disebabkan oleh perbuatan onani itu kecuali apabila keluarnya air mani. Justeru, jika keluar air mani kerana perbuatan onani tersebut, maka puasanya terbatal. (Lihat al-Mughni, 4/363)

Baki Air Mani Masih Menitis Setelah Azan Fajar Ramadhan

Pada asasnya, perbuatan mengeluarkan air mani dengan sengaja ketika berpuasa adalah membatalkan puasa. Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebut bahawa batalnya puasa apabila keluarnya air mani dengan sengaja tanpa bersetubuh seperti berciuman, beronani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau melalui sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (keluarnya air mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184)

Namun begitu, sekiranya air mani yang berbaki daripada sebelum fajar itu menitis dan keluar daripada kemaluannya setelah masuknya waktu fajar, maka ia tidak memberikan kesan pada puasanya kerana ia bukanlah disengajakan olehnya.

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata lagi: Adapun jika air mani itu keluar dengan cara tidak sengaja, maka hal tersebut tidaklah membatalkan puasanya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Leave a Reply