Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya biasa dengar, solat jenazah ghaib dilakukan apabila ada jenazah tersebut berada jauh seperti di luar negara. Bagaimana pula, jika jenazah tersebut berada pada jarak tidak terlalu jauh, seperti masih di dalam Malaysia, tetapi tidak memungkinkan untuk hadir kerana keuzuran tertentu?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat jenazah ghaib bermaksud solat yang dilaksanakan di negeri yang lain yang berada jauh dari negeri asalnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 385).

Dalil solat jenazah ghaib berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya“Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bertakbir sebanyak empat kali.”

Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Pada hadith ini terzahirnya tanda-tanda kenabian kerana Baginda SAW memberitahu kepada para sahabat akan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya walaupun jauh jaraknya di antara al-Habsyah dan al-Madinah. Selain itu, hadith ini menunjukkan pensyariatan solat jenazah ghaib dan ini sebagaimana yang dikatakan oleh al-Syafie, Ahmad dan jumhur para salaf. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/115).

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, solat jenazah ghaib boleh dilakukan bermula dari saat berita kematian dan berlanjutan selama tiga hari. Ini kerana tiga hari itu adalah tempoh bertakziah menurut yang maklum dari kitab-kitab fiqh. Namun pendapat yang muktamad adalah harus solat jenazah ghaib selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku. (Lihat al-Tanbih hlm. 38, al-Umm, 1/244 dan Mughni al-Muhtaj,1/346).

Pada asasnya, antara syarat-syarat solat jenazah ghaib ialah:

  • Dilakukan di negeri yang berlainan dengan keberadaan mayat.
  • Dilaksanakan setelah dimandikan mayat tersebut. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm 385 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/600).

Imam al-Nawawi berkata: “Mazhab kami membolehkan solat jenazah ghaib bagi yang jauh dari sesuatu negeri manakala Abu Hanifah melarangnya. Dalil yang kami gunakan adalah hadis sahih mengenai al-Najasyi.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/211).

Berdasarkan kepada persoalan di atas, kami nyatakan bahawa dibolehan solat ghaib sekalipun bukan di luar negara, bahkan begitu hampir dengan kita. Tetapi mungkin kita tidak dapat untuk pergi kerana sebab-sebab keuzuran tertentu. Justeru, bolehlah kita laksanakan solat jenazah ghaib kepada keluarga kita yang meninggal dunia atau sahabat handai kita.

Kami nyatakan di sini pendapat Syeikhul Islam Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata: “Harus solat jenazah ghaib daripada negeri sekalipun jaraknya kurang daripada dua marhalah.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/322).

Selain itu, Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut: Di dalam mazhab al-Syafie sekiranya jenazah itu ghaib daripada tempat yang ingin didirikan solat tersebut, maka dibolehkan untuk solat ke atasnya. Dan tidak menjadi masalah pada jarak di antara dua tempat sama dekat atau jauh. ( Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/625).

Kami menutup perbincangan ini dengan mendoakan kepada si mati di kalangan kita:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya“Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr (10))

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

Leave a Reply