Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ketika dalam musafir, saya berhenti di sebuah surau untuk solat Jamak antara Maghrib dan Isyak. Ketika itu sudah waktu Isya dan saya ingin jamak ta’khir. Saya berniat solat Maghrib dan mengikuti imam yang melakukan solat Isya’. Ketika rakaat ketiga, adakah saya perlu berpisah daripada imam, atau saya boleh duduk tasyahud akhir untuk menunggu imam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat berjamaah merupakan sebahagian dari syiar agama Islam. Melazimi dan membesarkan solat berjemaah serta istiqamah dalam melaksanakannya adalah pembuktian yang zahir terhadap ketakwaan yang terdapat di dalam jantung hati seseorang. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia merupakan antara tanda ketakwaan jantung hati.”[1]

Meskipun siyaq (konteks) ayat ini merujuk kepada amalan-amalan dalam ibadah haji seperti wukuf di ‘Arafah, melontar jamrah, serta beberapa perbuatan yang lain, namun ibrah adalah berdasarkan kepada keumuman lafaz. Ia seperti yang disebutkan dalam sebuah kaedah yang masyhur:

العِبْرَةُ بِعمُومِ اللفْظِ

Maksudnya: “Ibrah itu merujuk kepada keumuman lafaz.”[2]

Oleh itu, Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat tersebut beliau berkata: “Iaitu (sesiapa yang membesarkan) perintah-perintah Allah.”[3]

Selain itu, Islam menggalakkan agar kita sentiasa solat berjemaah dan inilah sunnah Rasulullah SAW serta dipahalakan dengan gandaan yang banyak. Sabda Rasulullah SAW:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda.”[4]

Berkenaan persoalan di atas, dalam fiqh mazhab al-Syafie, diharuskan makmum untuk bersolat jemaah dengan imam dalam solat-solat yang bersesuaian nazmnya, yakni formatnya, sekalipun jika berbeza bilangannya seperti seperti makmum bersolat isyak mengikut imam maghrib, atau sebaliknya. Jika berbeza nazamnya, seperti makmum solat subuh mengikut solat jenazah, maka tidak sah jemaahnya, mengikut pendapat muktamad.

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya Raudhah al-Talibin (1/368): “Sekiranya bersepakat dua solat (imam dan makmum) pada perbuatan yang zahir maka diperhatikan:

  • jika sepakat bilangannya seperti solat Zohor di belakang orang solat Isyak, maka diharuskan untuk mengikutinya;
  • jika bilangan rakaat solat imam kurang (berbanding solat makmum) seperti makmum solat Zohor di belakang imam solat subuh, maka diharuskan Justeru, apabila selesainya solat imam, kemudian hendaklah makmum bangkit untuk menyempurnakan solat dengan sendiri seperti hukum masbuq. Hendaklah dia mengikuti imam pada membaca doa qunut, namun sekiranya dia mufaraqah (berpisah daripada imam) ketika imam itu sedang sibuk dengan qunut, maka itu diharuskan.
  • Jika makmum bersolat zuhur tetapi mengikut imam solat maghrib, apabila imam berada pada duduk terakhir (tasyahhud akhir) pada rakaat ketiga, dia diberi pilihan untuk mengikut imam atau mufaraqah daripad imam, seperti hukum doa qunut.[5]
  • Sekiranya bilangan solat makmum kurang daripada solat imam, seperti solat subuh di belakang imam solat zuhur, maka pendapat mazhab menyatakan hukumnya adalah harus. Apabila imam bangkit pada rakaat ketiga, maka makmum diberi pilihan;
    • jika dia mahu dia boleh mufaraqah (tanpa makruh) kemudian memberi salam (yakni menyelesaikan solatnya bersendirian), atau jika dia mahu dia boleh menunggu imam sehingga memberi salam bersama dengannya. Aku (Imam al-Nawawi) berkata: menunggu itu lebih afdhal (baik). Wallahua`lam.
    • Jika dia memiliki kesempatan berqunut pada rakaat kedua, seperti imam berdiri sebentar, disunatkan dia berqunut. Jika tidak sempat, maka tiada ke atasnya apa-apa.[6] Dia juga boleh untuk keluar daripada mengikuti imam untuk berqunut.[7]
  • Sekiranya seseorang itu bersolat maghrib di belakang orang yang bersolat zuhur, maka apabila imam bangkit untuk rakaat keempat, tidak boleh makmum itu mengikutinya, bahkan hendaklah dia bermufaraqah daripada imam itu,[8] kemudian bertasyahhud dan memberi salam.”

Justeru, untuk menjawab soalan di atas, wajib bagi makmum yang bersolat maghrib di belakang imam bersolat isyak melakukan salah satu daripada dua perkara berikut:

  • Berniat mufaraqah daripada mengikut imam sebelum duduk untuk tasyahhud akhir, semasa sujud terakhir.
  • Menunggu imam semasa sujud terakhir bagi makmum sehingga imam sampai ke duduk terakhir untuk bertasyahhud dan salam bersama imam.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

[1] Surah al-Haj (32)

[2] Lihat Manahil al-‘Irfan, 1/110

[3] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/424

[4] Riwayat al-Bukhari (645)

[5] Lebih afdhal dia mengikut imam.

[6] Menurut Imam al-Mahalli, ertinya tidak perlu sujud sahwi kerana imam sudah menanggungnya. (Lihat Syarh al-Mahalli ala al-Minhaj, 1/325).

[7] Menurut Imam al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj (1/504), ertinya harus baginya untuk berniat mufaraqah, jika terdapat keuzuran, kerana meraikan sunnah Rasulullah SAW yang membaca qunut. Jika tiada keuzuran, maka lebih afdhal tinggalkan qunut. Boleh juga lambat sedikit daripada imam untuk membaca qunut tanpa perlu mufaraqah.

[8] ‘Hendaklah” disini bermaksud wajib mufaraqah, kerana jika makmum itu duduk bertasyahud sedangkan dia masih mengikut imam, dia telah menambah satu duduk yang tidak dilakukan oleh Imam. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 1/565) oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal. Justeru hendaklah dia berniat mufaraqah semasa sujud kedua sebelum duduk tasyahhud akhir jika dia mengkehendaki mufaraqah, dan itu lebih afdhal. Jika dia mengkehendaki memberi salam bersama imam, maka hendaklah dia tunggu dalam keadaan sujud. (Lihat Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah, hlm. 349) oleh Syeikh al-Habib Sa`id Ba`isyn.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *