Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya, saya seorang musafir dan ketika hendak bersahur saya telah merujuk waktu subuh di telefon pada page rasmi JAKIM, tapi apabila hendak solat subuh berjemaah di masjid saya mendapati waktu subuh mereka adalah lebih awal seminit. Adakah perlu saya menggantikan puasa saya? Ketika itu saya telah menghabiskan sahur sehingga minit terakhir sebelum azan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam hal ini, hendaklah kita memahami yang puasa bermula pada waktu fajar atau masuknya Subuh hingga terbenamnya matahari atau masuknya waktu Maghrib. Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ

Maksudnya: Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib).

Surah al-Baqarah (187)

Kata Sheikh al-Si‘diy ketika menafsirkan ayat di atas: “Kemudian apabila terbitnya fajar, sempurnakanlah puasa, iaitu dengan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sehingga malam, iaitu apabila terbenamnya matahari. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 87)

Berkenaan dengan waktu, terdapat nas yang menyebutkan:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

Surah al-Nisa (103)

Sebenarnya, soalan yang hampir sama telah kami jawab, antara lain kami katakan:

Walaubagaimanapun, berbeza hal dan hukumnya dengan orang yang ragu-ragu tentang waktu berbuka atau sahur, kemudian dia berbuka puasa atau meneruskan sahur berdasarkan ijtihadnya sahaja. Dalam keadaan ini, para ulama’ membahagikan hukum bagi situasi ini kepada dua bahagian:

  • Haram hukumnya bagi orang yang berasa ragu-ragu masuk waktu berbuka untuk makan pada akhir hari waktu siang dengan keadaan dia berijtihad dan menyangka bahawa sudah masuk waktu malam. Ini kerana kaedah fiqh menyatakan bahawa asal hukum adalah berkekalannya waktu siang.
  • Harus hukumnya untuk meneruskan makan bagi orang berasa ragu-ragu bahawa waktu sahur telah tamat, berdasar ijtihadnya atau diberitahu oleh seorang yang adil. Ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa asal hukum adalah berkekalannya waktu malam. (Lihat Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam, 106)

Namun jika sekiranya selepas itu dia mendapati bahawa dia tersalah bersahur dengan makan dan minum selepas azan Subuh atau tersalah berbuka puasa sebelum masuk waktu Maghrib, dalam keadaan dia yakin bahawa dia telah tersilap, maka batal puasanya dan hendaklah dia mengqadanya pada hari yang lain. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

لَا عِبْرَةَ بِالظّنّ البَيّن خَطَؤُهُ

Maksudnya: Tidak diambil kira dengan dugaan-dugaan yang sudah jelas kesalahannya. (Lihat Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam, 106-107)

Selain itu, orang yang tersalah bersahur selepas waktu Subuh hendaklah menahan diri daripada makan dan minum serta semua perkara yang membatalkan puasa sehinggalah waktu berbuka puasa. (Lihat Sullam al-Raja Syarh Safinat al-Najah, 59)

Menjawab persoalan di atas, sebaik-baiknya merujuk kepada waktu tempatan. Ini kerana boleh jadi tersilap tempat dan masa. Justeru, jika benar berlaku makan dan minum selepas masuknya waktu Subuh dengan tepat, maka batallah puasanya. Dan perlulah dia qada’ hari yang dia tersilap dan pada hari tersebut hendaklah dia teruskan imsak sampai berbuka. 

Justeru, saya syorkan agar kita benar-benar mematuhi waktu tempatan yang kita berada. Bukan semata-mata berdasarkan corong radio atau televisyen mahupun waktu dalam handphone kita. Ini kerana, boleh jadi kita musafir dari Kuala Lumpur ke Melaka sebagai contoh. Kemungkinan terdapat perbezaan waktu ketika berbuka atau akhir waktu sahur.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply