#1329: Kebatilan Solat Kaffarah Pada Jumaat Terakhir Ramadhan

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat solat kaffarah, iaitu solat 4 rakaat pada hari Jumaat terakhir bulan ramadhan dapat mengqadha’ solat yang pernah ditinggalkan seumur hidupnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kewajipan Mengqadha Solat Yang Ditinggalkan

Sesiapa yang meninggalkan solat fardhu sehingga habis waktunya, maka salah satu daripada perkara berikut: sama ada dia meninggalkannya kerana sebab yang sah seperti tertidur atau terlupa, atau dia meninggalkannya tanpa sebarang alasan.

Para ulama’ telah bersepakat bahawa mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, wajib mengqadha’ solat tersebut. Imam al-Nawawi memperincikan masalah ini seperti berikut: Sekiranya seseorang meninggalkan solat kerana uzur syari’e seperti tertidur atau lupa yang tidak melampaui had, maka sunat baginya untuk segera menqadha’ solatnya, namun sekiranya seseorang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie maka wajib baginya untuk segera menqadha’ solatnya. (Lihat al-Majmu’ Syarḥ al-Muhazzab, 3/70-71)  

Ibn Hajar al-Haitami pula berkata: “Bagi sesiapa yang ada solat fardhu yang ditinggalkan – jika solat yang ditinggalkan itu kerana keuzuran – dibolehkan solat sunat bersamanya samada solat sunat rawatib dan selainnya. Jika solat yang ditinggalkan itu tanpa keuzuran, tidak dibolehkan untuk melakukan solat sunat sebelum menggantikan solat fardhu yang ditinggalkan. Ini kerana wajib baginya bersegera menunaikannya dengan menggunakan keseluruhan masanya…”(Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/189)

Pandangan Ibn Hajar al-Haitami ini turut dikongsikan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari dan dijelaskan haram hukumnya untuk melakukan solat sunat bagi yang masih ada solat fardhu yang ditinggalkan, tetapi sah jika dilakukan. (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 37)

Jika seseorang meninggalkan solat kerana alasan yang masyru’, maka tidak ada dosa ke atasnya, tetapi dia wajib menunaikannya apabila dia bangun daripada tidur atau teringat. Jika seseorang meninggalkannya dengan sengaja, maka dia telah melakukan dosa besar dan dia wajib mengqadhanya menurut pendapat majoriti ulama. Manakala sebahagian kecil ulama’ berpendapat bahawa dia perlu bertaubat, berdoa memohon keampunan, menyesalinya, dan melakukan banyak amal soleh disebabkan perbuatannya yang sengaja meninggalkan solat.

Dalam hal ibadah, ia amat perlu kepada nas kerana asal ibadah itu adalah tawaqquf dan ta’abbudi. Kaedah menyebut:

الأَصْلُ فِي الْعِبَادَة التَّوَقُّف

Maksudnya: “Asal bagi ibadah adalah terhenti.”

Terdapat hadith riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن عَمِلَ عَمَلًا ليسَ عليه أمْرُنا فَهو رَدٌّ

Maksudnya:Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan yang tiada dalam agama kami, maka amalan yang dikerjakan itu tertolak.

 Riwayat Muslim (1718)

Selain itu, terdapat dalam riwayat Aisyah yang lain dengan lafaz:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya:Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal daripadanya, maka ia tertolak.

Riwayat al-Bukhari (2697)

Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut Ahli Bahasa Arab, lafaz “رَدٌّ” di sini bermaksud ditolak. Dalam erti kata lain, ia adalah batil dan tidak dikira. Hadith ini termasuk dalam kaedah agung di antara kaedah-kaedah agama dan sebahagian daripada Jawami‘ al-Kalim (ringkas dan makna yang padat) yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Hadith ini juga jelas menunjukkan bahawa semua bidaah dan perkara baru yang diada-adakan dalam agama adalah tertolak. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/16.)

Selain itu, Syeikh al-Tahtawi juga ada menyatakan, hadith ini menjadi dalil bahawa ibadat seperti mandi, wuduk, puasa dan solat. Jika dilakukan bercanggah dengan syarak, maka ia ditolak. (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 46)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, hadith ini menunjukkan makna mantuq (makna tersurat) dan mafhum (makna tersirat). Dari segi mantuqnya, hadith ini menunjukkan, segala amal perbuatan yang diada-adakan dalam urusan beragama yang tidak ada dasarnya dalam al-Quran mahupun Sunnah akan ditolak. Bidaah mungkin dalam bentuk perkataan atau fahaman seperti Jahmiyyah, Rafidhah, Muktazilah dan lain-lain, ataupun berbentuk amalan seperti melakukan ibadah yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Semua perkara tersebut adalah tertolak dan pelakunya dicela mengikut kadar bidaah yang telah mereka lakukan dan jauhnya mereka daripada agama Islam yang sebenar. Manakala dari segi makna mafhumnya pula, hadith ini menunjukkan sesiapa sahaja yang melakukan amalan berdasarkan ajaran Allah dan Rasul-Nya sama ada yang wajib ataupun sunat, maka amalannya diterima Allah dan diberi balasan oleh-Nya. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, hlm. 10.)

Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari ketika mensyarahkan hadith ini pernah menyebutkan, maksud perkara baharu yang diadakan ada dua jenis:

  • Yang bukan daripada agama ini seperti perkara yang bercanggah dengan kaedah dan dalil agama, maka ia adalah tertolak. Inilah yang dimaksudkan dengan bidaah yang sesat.
  • Yang termasuk dalam agama ini disokong oleh prinsip agama atau disokong dengan dalil, maka ia adalah betul dan diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan sunnah yang baik. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40 oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 55-56)

Solat Kaffarah Pada Jumaat Terakhir Ramadhan Menggantikan Solat Yang Ditinggalkan Seumur Hidup?

Telah tersebarnya perkataan yang dikatakan hadith berkenaan solat kaffarah yang mana menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَن فَاتَتْهُ صَلَاة فِي عُمْرِهِ وَلَمْ يحصَهَا فَلْيَقُمْ فِي آخِر جُمعَة مِن رَمَضَانَ وَلْيصل أَرْبَعَ رَكَعَات بِتَشهد وَاحِد، يَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةِ فَاتِحَة الْكِتَاب، وَسُورَة الْقَدْر خَمْسَ عَشَرَة مَرَّة، وَسُورَةُ الْكَوْثَر كَذَلِكَ

Maksudnya: “Sesiapa yang pernah meninggalkan solat dalam hidupnya tetapi tidak dapat menghitung jumlahnya, maka dirikanlah solat pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadhan dan solatlah sebanyak 4 rakaat dengan 1 kali tasyahud, dan membaca pada setiap rakaat 1 kali surah al-Fatihah, kemudian surah al-Qadr sebanyak 15 kali dan surat al-Kauthar juga begitu (15 kali).”

Begitu juga dikatakan bahawa terdapat riwayat daripada Abu Bakar R.A menyatakan:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُول: “هَذِهِ الصَّلَاة كَفَّارَةُ أَرْبَعَمِائَة سَنَة حَتَّى قَالَ عَلِى كَرَّمَ اللهُ وَجْهَهُ هِيَ كَفَّارَة أَلْف سَنَة. قَالُوا يَا رَسُولَ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم ابْن آدَم يَعِيش سِتِّينَ سَنَة أَوْ مِائَةُ سَنَة فَلِمَن تَكُون الصَّلاة الزَّائِدَة، قَالَ: تَكُون لِأَبَوَيْهِ وَزَوْجَتِهِ وَلِأَوَلَادِهِ فَأقَارِبه وَأَهْلُ الْبَلَد.

Maksudnya: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Solat tersebut sebagai kaffarah (pengganti) solat 400 tahun. Dan menurut Ali bin Abi Talib, solat tersebut sebagai kaffarah 1000 tahun. Maka para sahabat bertanya: “Umur manusia itu hanya 60 tahun atau 100 tahun, lalu untuk siapa kelebihannya?”. Rasulullah SAW menjawab: “Untuk kedua ibu bapanya, untuk isterinya, untuk anak-anaknya dan untuk kaum kerabatnya serta orang-orang dalam lingkungannya.”

Kedua kenyataan ini yang dikatakan riwayat daripada Nabi SAW berkenaan solat yang boleh dilakukan oleh seseorang yang meninggalkan solat dan tidak mengingati bilangan solat yang ditinggalkan boleh menjadi kaffarah bagi amalannya, adalah pembohongan dan disifatkan secara dusta dengan ajaran Islam.

Imam al-Syaukani berkata: “Hadith “Sesiapa yang solat fardhu lima waktu pada waktu malam dan siang pada Jumaat terakhir Ramadhan, maka ia akan menggantikan solat yang tertinggal pada tahun itu” tidak diragukan lagi bahawa ia adalah palsu dan maudhu’. Aku tidak dapat menemuinya dalam mana-mana buku yang ditulis oleh penulis yang menyusun hadith-hadith palsu, tetapi ia terkenal dalam kalangan sekumpulan orang yang mengaku berilmu di kota San’a pada masa kini, dan ramai antara mereka yang melakukannya! Aku tidak mengetahui siapa yang mereka-rekanya kepada mereka; semoga Allah melaknat orang-orang yang berdusta ini.” (Lihat al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, hlm. 54)

Mulla ‘Ali al-Qari pula menyatakan: “Hadith sesiapa yang menggantikan solat-solat fardhu pada akhir Jumaat pada bulan Ramadhan, maka ia telah memadai dengan solat yang ditinggalkan ketika hidupnya sehingga 70 tahun, maka ia adalah batil secara qat’ie kerana ia telah bercanggah dengan ijma’ bahawa tidak ada suatu pun daripada ibadah yang boleh menggantikan ibadah yang ditinggalkan bertahun-tahun. Bahkan tidak ada yang meriwayatkannya dan juga mensyarahkannya, dan mereka yang meriwayatkan riwayat ini bukanlah daripada kalangan muhaddithin dan tidak membawa sanad pada hadith ini, dan mereka juga bukan dalam kalangan mereka yang boleh mengeluarkan hadith”(Lihat al-Masnu’ fi Ma’rifah al-Hadith al-Maudhu’, hlm. 191)

Syeikh Atiyyah al-Saqar dalam fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan: “Kata-kata yang tersebar ini adalah mengajak untuk manusia meninggalkan solat disebabkan satu solat pada Jumaat terakhir Ramadhan sudah memadai. Dalam hal ini tidak ada seorang pun ulama yang mengatakan sebegini. Bahkan walaupun mereka menerima hadith-hadith yang mengatakan bahawa satu solat di masjid Makkah bersamaan seratus ribu solat di tempat lain, dan di masjid Madinah bersamaan seribu solat, dan di Masjid al-Aqsa dengan lima ratus kali solat, namun mereka mengatakan bahawa ia tidak melepaskan kefardhuan solat fardhu dan ia tidak boleh menggantikan solat yang tertinggal, tetapi yang dimaksudkan ialah banyaknya pahala solat di tempat-tempat suci ini. Dan aku memperingatkan kepada mereka yang menyebarkan perkara ini, maka ia pendustaan terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan Allah SWT berfirman: “Mereka yang mengada-adakan dusta terhadap Allah tidak akan berjaya.”[Surah al-Nahl : 116], Dan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempatnya dalam neraka.” (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 9/144)

Al-Lajnah al-Da’imah dalam fatwanya menyebut: “Hadith ini adalah hadith palsu yang direka dan tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Bahkan, sesiapa yang tertinggal solat, hendaklah dia menyegerakan mengqada’nya apabila dia mengingatinya sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tidur lalu tertinggal solat atau dia terlupa, hendaklah dia solat apabila dia teringat, dan tidak ada kaffarah baginya kecuali hal itu.” Manakala dalam solat yang disebut di atas dengan mengulangi bacaan surah al-Qadr dan al-Kauthar dalam solat tersebut sebanyak 15 kali, solat itu ialah solat bid’ah yang direka-reka dan bercanggah dengan solat yang disyariatkan.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 3/210)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika ditanya berkenaan solat ini maka beliau menjawab, “Hukum solat ini adalah bid’ah dan tidak ada asasnya dalam ajaran Islam; Ia hanya akan menjauhkan seseorang daripada Tuhannya, kerana Rasulullah SAW bersabda: “Setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan di neraka.” Tidak kira betapa pengikut bid’ah menyukainya dan menganggapnya sebagai baik dalam fikiran mereka sendiri, ia adalah sesuatu yang buruk di hadapan Allah SWT. (Lihat Majmu’ Fatawa al-‘Uthaimin, 12/227-228)

Begitu juga dengan Syeikh Soleh al-Fauzan ketika ditanya berkenaan hadith ini maka beliau menjawab: “Perkara ini tidak ada asal dalam Sunnah Rasulullah SAW. Apa yang dibuktikan daripada Rasulullah SAW ialah: “Sesiapa yang lupa solat atau tidur lalu tertinggal solat, hendaklah ia mengerjakannya apabila dia teringat. Tidak ada kaffarah untuk itu kecuali ini”. (Lihat Majmu’ Fatawa al-Syeikh Soleh al-Fauzan, 1/303-304)

Kesimpulan

Hadith yang dikatakan bahawa terdapatnya Solat Kaffarah yang menggantikan solat-solat fardhu yang ditinggalkan semasa hidupnya, bukanlah hadith Rasulullah SAW, bahkan tidak ada langsung sumber yang menceritakannya dan ia dinilai sebagai hadith maudhu’ yang direka dan disandarkan kepada Nabi SAW.

Para ulama’ menyatakan bahawa haram bagi kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuti dan ramai lagi termasuk ulama’-ulama’ hadith masa kini. Hukum ini terbina berdasarkan hadith-hadith berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW. Akan tetapi, hukum ini tidak terpakai kepada hadith dhaif kerana ia boleh diriwayatkan di dalam perkara fadhail apabila menepati syarat-syaratnya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani. 

Hal ini sebagaimana hadith mutawatir yang diriwayatkan daripada ramai para sahabat, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291), Muslim di dalam Muqaddimah Sahih Muslim (4) dan Ahmad (18202)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka disebabkan perkara ini, maka dia tidak akan kekal di dalamnya. Ini kerana, seseorang itu akan dikeluarkan daripada neraka dengan kelebihan dan rahmat Allah SWT selagimana ada iman atau tauhid di dalam jiwanya. Terdapat beberapa fiqh hadith atau kaedah-kaedah yang boleh diambil daripada hadith yang penting ini. Di antaranya adalah:

  • Pertama: Menurut kaedah ahli sunnah, berdusta adalah satu khabar daripada seorang yang memang sengaja atau lalai terhadap sesuatu yang mana khabar tersebut menyalahi hakikat yang sebenar.
  • Kedua: Besarnya pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW dan ia merupakan perkara yang begitu keji dan termasuk di dalam dosa-dosa besar. Akan tetapi, seseorang itu belum lagi kufur jika dia berdusta melainkan sekiranya dia menghalalkan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab daripada pelbagai sudut.
  • Ketiga: Tidak ada perbezaan pada pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW sama ada pada hukum-hakam atau tidak seperti pada bab targhib (galakan) atau tarhib (ancaman), mawa’izh (peringatan) dan sebagainya. Ini kerana, kesemuanya adalah haram dan ia termasuk di dalam dosa yang besar serta seburuk-buruk perkara menurut ijma’ umat Islam.
  • Keempat: Haram meriwayatkan sesebuah hadith yang mana diketahui akan kepalsuannya atau seseorang itu merasakan bahawa hadith tersebut adalah palsu. Barangsiapa yang meriwayatkan sesebuah hadith yang diketahui akan kepalsuannya atau pada sangkaannya hadith tersebut adalah palsu dan dia tidak menjelaskan hal tersebut, maka dia termasuk di dalam ancaman hadith ini. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/69-71)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *