Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seorang yang ingin solat fardhu tapi berimamkan kepada imam yang solat sunat? Hal ini berlaku ketika saya terlewat datang solat fardhu di masjid, kemudian melihat seorang lelaki sedang melakukan solat sunat lalu saya mengikutinya, adakah sah solat saya?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Para ulama’ berbeza pendapat berkenaan adakah dibolehkan bagi seorang yang solat fardhu berimamkan kepada orang yang solat sunat. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ia tidak dibolehkan dan sebahagian lagi membolehkannya. Pendapat yang membolehkan ini merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Syafi‘ie dalam kitabnya al-Umm (1/200-201).

Imam al-Nawawi berkata: “Kami telah menyebutkan bahawa mazhab kami (al-Syafi‘ie) mengharuskan solat sunat dan solat fardhu di belakang orang yang solat sunat dan solat fardhu dalam fardhu yang lain. Ini merupakan pendapat yang disebut oleh Ibn al-Munzir daripada Taus, ‘Ata’, al-Auza‘ie, Ahmad, Abi Thaur dan Sulaiman, katanya: ia juga merupakan pendapat daripada mazhab Dawud. Sebahagian lagi menyebutkan bahawa tidak boleh orang yang solat sunat solat dibelakang orang yang solat fardhu, dan tidak boleh bagi orang yang solat fardhu solat dibelakang orang yang solat sunat, dan juga tidak boleh orang yang solat fardhu solat dibelakang orang yang solat fardhu lain, dan ini merupakan pendapat daripada al-Hasan al-Basri, al-Zuhri, Yahya bin Sa’id al-Ansari, Abu Qilabah dan juga pendapat riwayat daripada mazhab Malik. Manakala al-Thauri dan Abu Hanifah berpendapat bahawa tidak boleh solat fardhu di belakang orang yang solat sunat dan juga solat fardhu di belakang solat fardhu yang lain, tetapi dibolehkan bagi orang yang solat sunat solat di belakang orang yang solat fardhu. Pendapat ini juga sebagaimana diriwayatkan daripada Malik. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/271)

Pernah terjadi pada sahabat Nabi SAW bernama Muadz bin Jabal R.A yang solat Isya’ bersama Nabi SAW, kemudian beliau kembali kepada kaumnya dan mengimami mereka dengan solat Isya’. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya:

كَانَ مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ يَرْجِعُ، فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ، فَصَلَّى العِشَاءَ، فَقَرَأَ بِالْبَقَرَةِ…

Maksudnya: Bahawa Mu‘az bin Jabal pernah solat bersama-sama Nabi SAW, kemudian dia pulang dan mengimamkan kaumnya pula. Maka dia menunaikan solat Isyak dan membaca Surah al-Baqarah.…

Riwayat al-Bukhari (701) dan Muslim (465).

Dalam riwayat Imam al-Syafi‘ie, disebutkan:

كَانَ مُعَاذٌ يُصلِّي مَعَ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم الْعِشَاءَ ، ثُمَّ يَنطَلِقُ إِلَى قَوْمِهِ فَيُصَلِّيهَا بِهِمْ، هِيَ لَهُ تَطَوَّعٌ، وَلَهُم مَكْتُوبَةٌ

Maksudnya: “Pernah suatu hari Muaz solat Isyak bersama-sama dengan Nabi SAW. Kemudian beliau kembali kepada kaumnya dan dia solat menjadi imam kepada mereka, baginya solat sunat dan bagi kaumnya adalah solat fardhu.

Riwayat Imam al-Syafi‘ie dalam al-Umm (2/347)

Imam Al-Nawawi berkata: Hadith ini menunjukkan bahawa dibolehkan bagi orang yang melaksanakan solat fardhu untuk solat di belakang orang yang solat nafilah (solat sunat), Hal ini kerana Muaz pernah solat fardhu bersama Rasulullah SAW, maka selesailah kewajipannya, kemudian dia solat kali kedua bersama kaumnya, maka solat yang kedua itu adalah sunat baginya dan wajib bagi kaumnya. Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam riwayat lain selain daripada Sahih Muslim, dan ini dibenarkan menurut Imam al-Syafi’ie dan lain-lain. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/181)

Begitu juga dengan soalan saudara berkenaan saudara mengikut orang yang sedang mendirikan solat sunat, tidak menjadi masalah jika seseorang itu memulakan solatnya seorang diri dan kemudian menjadi imam apabila orang lain menyertainya. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

 بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ، فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ، فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ بِرَأْسِي، وَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ.

Maksudnya: Aku pernah bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimunah. Nabi SAW bangun dan melaksanakan solat malam, lalu aku turut bangun dan solat bersama Baginda. Aku berdiri di sebelah kiri Baginda. Setelah itu Baginda memegang kepalaku dan mengalihkan aku ke sebelah kanan Baginda.

Riwayat al-Bukhari (699) dan Muslim (763).

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa seseorang yang ingin solat hanya boleh mengikuti imam dalam solat sunat, tetapi tidak boleh mengikutinya jika dia ingin solat fardhu berimamkan solat sunat. Namun, pendapat yang tepat ialah ia sah dalam kedua-dua keadaan bagi solat fardhu dan solat sunat.

Dalam hal ini, Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Ibn Taimiyah berkata: Pandangan yang tepat adalah ia dibolehkan bagi solat fardu dan juga solat sunat. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 22/258)

Begitu juga dengan jawapan daripada Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, katanya: Pandangan yang tepat bagi situasi ini ialah ia sah bagi solat fardu dan juga solat sunat. Adapun bagi solat sunat, ia disebutkan dalam nas dengan jelas, manakala bagi solat fardhu kerana apa ditetapkan oleh sunat juga ditetapkan pada solat fardhu, kecuali ada dalil yang sebaliknya.  (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 2/304)

Ibn Abd al-Barr menukilkan bahawa Imam al-Syafi‘ie berkata: Perbezaan niat tidak memberikan kesan pada sahnya solat, maka sah solat orang yang solat pada waktunya, solat qadha’, solat fardhu, solat sunat dibelakangnya dan begitu juga sebaliknya. (Lihat al-Istizkar, 5/388)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan untuk seorang yang solat fardu mengikut dan berimamkan dengan orang yang bersolat sunat berdasarkan hujah dan dalil di atas. Hal ini kerana solat-solat tersebut merupakan jenis yang sama sebagaimana yang disebut oleh para ulama’ yang membolehkannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply