Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, kami dari Kemboja. Nak tanya satu hukum mengenai zakat. Adakah saya dikenakan zakat untuk duit yang saya beri orang hutang selama 3 tahun? Jika duit itu orang itu sudah bayar kembali kepada saya selepas 3 tahun, adakah saya kena bayar zakat duit tersebut untuk 3 tahun atau setahun sahaja?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Suka saya nyatakan seseorang dikenakan zakat apabila harta itu adalah miliknya. Ini merupakan perkara yang amat jelas kerana syarat seseorang mengeluarkan zakat ialah seseorang itu adalah orang Islam, mempunyai harta yang mencukupi nisab dan sampai haul, yakni tempoh melebihi setahun. Inilah secara umum zakat harta diwajibkan. 

Persoalan di sini, seseorang yang diberi pinjam harta berskala besar dan dia dapat memanfaatkannya sama ada perniagaan, pelaburan, pertanian atau apa-apa yang membawa kepada keuntungan serta faedah yang diperolehi.

Justeru kami katakan bahawa wang yang dipinjam merupakan hutang di antara penghutang dan pemiutang. Ulama’ mazhab al-Syafie telah membahaskan isu berkenaan status wang pinjaman sama ada termasuk dalam zakat atau tidak. Imam al-Nawawi menyebut:

وَلَا يَمْنَعُ الدَّيْنُ وُجُوبَهَا 

Maksudnya: “Tidak terhalang hutang itu daripada kewajipan zakat.” (Lihat Minhaj al-Talibin, 72)

Kemudian, Imam al-Nawawi menyimpulkan bahawa diwajibkan zakat bagi harta batin atau zahir ataupun dari jenis hutang atau selain daripadanya. Beliau berkata:

فَالْحَاصِلُ أَنَّ الْمَذْهَبَ وُجُوبُ الزَّكَاةِ سَوَاءٌ كَانَ الْمَالُ بَاطِنًا أَوْ ظَاهِرًا أَمْ مِنْ جِنْسِ الدَّيْنِ أَمْ غَيْرِهِ قَالَ أَصْحَابُنَا سَوَاءٌ دَيْنُ الْآدَمِيِّ وَدَيْنُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Maka kesimpulannya di sisi mazhab wajib zakat sama ada harta itu harta batin atau zahir atau dari jenis hutang atau selainnya, menurut para ulama’ kami sama ada hutang itu hutang dengan manusia atau hutang dengan Allah” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/344)

Imam al-Mawardi pula menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan diwajibkan zakat bagi duit yang dipinjam adalah berdasarkan umum ayat dari surat Taubah ayat 103. Kata beliau:

وَالدَّلَالَةُ عَلَى صِحَّةِ الْقَوْلِ الثَّانِي عُمُومُ قَوْله تَعَالَى: (خُذْ مِنْ أَمْوَالِهمْ صَدَقَةُ تُطَهِّرَهُمْ وتُزَكِّيهِمْ بِهَا) 

Maksudnya: “Dalil atas pendapat kedua (diwajibkan zakat) adalah berdasarkan umum ayat Firman Allah “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/310)

Meskipun begitu, peminjam hanya diwajibkan zakat apabila ianya mencukupi haul dan juga nisab. Jika duit pinjaman tersebut sudah digunakan sebelum cukup haul maka tidak diwajibkan zakat ke atasnya.

Semoga kita menjadi golongan yang tegar dalam membayar zakat kerana ia membawa hak Allah SWT dan hak asnaf.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

1 thoughts on “#1390: Zakat Duit Yang Telah Diberi Sebagai Pinjaman

  1. Aswad Rani says:

    Assalamualikum Ustaz.
    Jelas dengan pencerahan berkenaan zakat untuk peminjam (pemuitang), yakni perlu zakat jika cukup haul & nisab.

    Persoalan disini, bagaimana pula dengan zakat untuk PEMBERI HUTANG?
    1. adakah PEMBERI HUTANG perlu memasukan dalam pengiraan zakat tahun tersebut duit yang telah dikeluarkan (untuk memberi pinjaman)?
    2. Jika pemuitang telah memulangkan duit tersebut pada tahun yang sama, adakah duit itu dikira cukup haul kepada PEMBERI HUTANG? contoh: pinjam April bayar pada oktober.
    3. soalan penulis – pemuitang telah bayar selepas 3 tahun, adakah PEMBERI HUTANG perlu membayar zakat untuk tahun tersebut dan tahun-tahun sebelumnya?
    4. Jika jawapan disoalan no.2 adalah TIDAK PERLU, bagaimana pula jika sesi hutang/bayar ini berlaku setiap tahun? contoh: pinjam april bayar oktober, kemudian tahun depan dia pinjam lagi pada april dan bayar pada oktober. dan berlarutan ke tahun berikutnya.

    Mohon pencerahan Ustaz.

    note: maaf sebab capslock, just nak highlight side pemberi hutang.

Leave a Reply