#1391: Mengaibkan Pencuri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah dibolehkan menghukum seorang pencuri dengan mengaibkannya di media sosial?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perbuatan mencuri adalah haram dan dia termasuk dalam salah satu hukum hudud yakni hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti kesalahan mencuri, merompak, berzina, minum arak dan beberapa jenis yang lain. Allah SWT menyebut dalam al-Quran:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu pembalasan dengan apa yang mereka telah usahakan, (Ia juga sebagai) suatu hukuman daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” 

(Surah al-Maidah: 38)

Berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam dalam menjatuhkan hukuman adalah amat ketat, tetapi hasilnya adalah luar biasa. Sebagaimana yang berlaku pada zaman dahulu apabila dilaksanakan hukuman tersebut menyebabkan berlakunya keamanan dan manusia patuh kepada perintah Allah SWT serta sekali-kali tidak melakukan kecurian.

Dalam menjawab persoalan di atas, suka saya nyatakan bahawa para ulama menyebut hukum orang yang mencuri dipotong tangan kanannya, jika mencuri lagi dipotong kaki kirinya dan jika dicuri lagi apakah hukumannya? 

Ia menjadi khilaf di kalangan ulama:

  • Mazhab Hanafi dan Hanbali dipotong hanya dua kali kemudian mencuri kali ketiga hanya dipenjarakan sahaja. 
  • Mazhab Malik dan Syafi‘i dipotong setiap kali dia mencuri dan pada kali kelima hendaklah dipenjarakan.
  • Ada di kalangan mazhab Syafi‘i dan Maliki mengatakan dibunuh bagi yang mencuri kali yang kelima.

Pendapat mazhab Malik dan Syafi‘i bersandarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, sabda Baginda SAW:

إِذَا سَرَقَ السَّارِقُ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، وَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ، فَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، فَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang pencuri mencuri, maka potonglah tangannya. Jika ia mencuri lagi maka potonglah kakinya. Jika ia mencuri lagi, maka potonglah tangannya dan jika ia mencuri lagi maka potonglah kakinya.

Riwayat al-Daraqutni dalam al-Sunan (3392)

Adapun mazhab Hanafi dan Hanbali, ia bersandarkan kepada pendapat Saidina Ali RA, katanya:

إِذَا سَرَقَ السَّارِقُ قُطِعَتْ يَدُهُ الْيُمْنَى، فَإِنْ عَادَ قُطِعَتْ رِجْلُهُ الْيُسْرَى، فَإِنْ عَادَ ضَمِنَتْهُ السِّجْنُ حَتَّى يُحَدِّثَ خَيْرًا، إِنِّي أَسْتَحْيِي مِنَ اللَّهِ أَنْ أَدَعَهُ لَيْسَ لَهُ يَدٌ يَأْكُلُ بِهَا وَيَسْتَنْجِي بِهَا، وَرَجُلٌ يَمْشِي عَلَيْهَا

Maksudnya: “Apabila seseorang itu mencuri maka potong tangan kanannya dan jika dia mencuri lagi, maka potong kaki kirinya dan jika ia kembali mencuri maka penjaralah yang menjadi jaminannya sehingga dia berubah menjadi baik. Sesungguhnya, aku malu kepada Allah untuk meninggalkannya (pencuri) tiada baginya tangan untuk makan dan untuk beristinjak dan kaki untuk berjalan.

Riwayat al-Daraqutni dalam al-Sunan (3166)

Justeru, kami katakan isu ini diberi kuasa kepada pemerintah, bukan kepada orang ramai dalam menghukum termasuklah mengaibkannya. Adapun tindakan mengaibkan dalam media sosial adalah satu tindakan yang tidak tepat. Oleh itu, elakkanlah daripada mengambil tindakan seperti itu. Sebaik-baik tindakan adalah berasaskan kepada neraca syariat tanpa sebarang rekaan dari diri seseorang.

Semoga masyarakat Malaysia sentiasa mengikut neraca syariat dan sentiasa dalam keadaan aman. Amin. 

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *