Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah yang dimaksudkan dengan keldai liar itu? Adakah keldai liar itu hanyalah kuda belang (zebra)? Mohon pencerahan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
Keldai liar merupakan salah satu daripada haiwan buruan yang halal dimakan. Malah para ulama telah menukilkan Ijma‘ akan keharusan memakan dagingnya.[1] Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada riwayat Abu Qatadah, beliau berkata:
كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا بَيْنَ مَكَّةَ وَالمَدِينَةِ وَهُمْ مُحْرِمُونَ، وَأَنَا رَجُلٌ حِلٌّ عَلَى فَرَسٍ، وَكُنْتُ رَقَّاءً عَلَى الجِبَالِ. فَبَيْنَا أَنَا عَلَى ذَلِكَ، إِذْ رَأَيْتُ النَّاسَ مُتَشَوِّفِينَ لِشَيْءٍ، فَذَهَبْتُ أَنْظُرُ، فَإِذَا هُوَ حِمَارُ وَحْشٍ. فَقُلْتُ لَهُمْ: مَا هَذَا؟ قَالُوا: لاَ نَدْرِي. قُلْتُ: هُوَ حِمَارٌ وَحْشِيٌّ. فَقَالُوا: هُوَ مَا رَأَيْتَ. وَكُنْتُ نَسِيتُ سَوْطِي، فَقُلْتُ لَهُمْ: نَاوِلُونِي سَوْطِي. فَقَالُوا: لاَ نُعِينُكَ عَلَيْهِ. فَنَزَلْتُ فَأَخَذْتُهُ. ثُمَّ ضَرَبْتُ فِي أَثَرِهِ، فَلَمْ يَكُنْ إِلَّا ذَاكَ حَتَّى عَقَرْتُهُ. فَأَتَيْتُ إِلَيْهِمْ، فَقُلْتُ لَهُمْ: قُومُوا فَاحْتَمِلُوا. قَالُوا: لاَ نَمَسُّهُ. فَحَمَلْتُهُ حَتَّى جِئْتُهُمْ بِهِ، فَأَبَى بَعْضُهُمْ، وَأَكَلَ بَعْضُهُمْ. فَقُلْتُ لَهُمْ: أَنَا أَسْتَوْقِفُ لَكُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَأَدْرَكْتُهُ فَحَدَّثْتُهُ الحَدِيثَ. فَقَالَ لِي: «أَبَقِيَ مَعَكُمْ شَيْءٌ مِنْهُ؟» قُلْتُ: نَعَمْ. فَقَالَ: كُلُوا، فَهُوَ طُعْمٌ أَطْعَمَكُمُوهُ اللَّهُ
Maksudnya: “Aku bersama Nabi SAW di satu tempat di antara Makkah dan Madinah dan mereka sedang dalam keadaan berihram sedangkan aku tidak berada dalam keadaan berihram (dan aku sedang berada) di atas kuda serta (pada ketika itu) aku sedang mendaki gunung. Ketika aku sedang mendaki gunung, aku mendapati orang ramai sedang memerhatikan sesuatu, lalu aku pergi untuk melihatnya dan ternyata ia adalah keldai liar. Maka, aku bertanya kepada mereka: ‘Apakah ini?’ Mereka menjawab: ‘Kami tidak tahu.’ Aku berkata: ‘Ini ialah keldai liar.’ Mereka pun berkata: ‘Ia sebagaimana yang kamu lihat.’ Pada ketika itu, aku lupa (untuk mengambil) cemetiku, lalu aku pun berkata kepada mereka: ‘Berikan kepadaku cemetiku.’ Mereka berkata: ‘Kami tidak akan membantumu untuk menangkapnya.’ Lalu aku turun dan mengambilnya (cemeti tersebut). Kemudian aku pergi menjejakinya dan terus (mengejarnya) sehinggalah aku berjaya (menangkapnya dan) menyembelihnya. Kemudian aku datang bertemu mereka dan aku berkata: ‘Bangunlah dan angkatlah ia.’ Mereka berkata: ‘Kami tidak akan menyentuhnya.’ Lalu aku telah mengangkatnya sehinggalah aku membawanya kepada mereka. Sebahagian daripada mereka enggan (untuk memakannya) manakala sebahagian yang lain pula telah memakannya. Lalu aku berkata kepada mereka: ‘Aku akan meminta penjelasan untuk kamu daripada Nabi SAW.’ Setelah itu, aku telah bertemu dengan Baginda dan menyampaikan kepadanya mengenai kejadian itu. Baginda SAW bertanya kepadaku: ‘Adakah masih terdapat bersama kamu sesuatu daripadanya (lebihan daging tersebut)?’ Aku menjawab: ‘Ya.’ Baginda SAW bersabda: ‘Makanlah kerana ia adalah makanan yang Allah kurniakan kepada kamu semua.’”[2]
Oleh itu, tidak ada syak lagi mengenai keharusan memakan daging keldai liar. Namun, persoalan yang berbaki ialah mengenai penentuan keldai liar tersebut. Adakah sifat-sifatnya sama seperti keldai jinak dari segi warna dan rupa bentuk atau sebenarnya berbeza sama sekali?
Keldai liar
Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, terdapat pada keldai liar itu sebahagian daripada ciri-ciri keldai jinak melainkan saiz tubuhnya adalah lebih kecil berbanding keldai liar dan keldai liar itu dikenali sekarang sebagai al-Wadhihi (الوضيحي).[3] Manakala dalam kitabnya yang lain, beliau menyatakan bahawa keldai liar ini dinamakan sebagai al-Fara’ (الفراء), dan ia dapat hidup lama — yakni umurnya panjang — sebagaimana dinukilkan daripada al-Damiri dalam kitabnya.[4]
Selain itu, Dr. Soleh bin ‘Abd al-‘Aziz Sindi[5] juga ada menyebutkan bahawa sebahagian ulama kontemporari berpendapat bahawa keldai liar itu ialah al-Mahah (المهاة — iaitu oryx) atau dikenali sekarang sebagai al-Wadhihi. Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa pendapat ini tidak benar kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan ulama terdahulu yang menyebutkan sedemikian. Bahkan mereka telah meletakkan al-Mahah atau oryx ini termasuk dalam kategori lembu liar dan bukannya keldai liar.[6]
Di samping itu juga Syeikh al-Jawhari dalam kitabnya menyebut al-Mahah ialah lembu liar.[7] Begitu juga, Kamaluddin al-Damiri telah menyenaraikan al-Mahah, rusa, yahmur (sejenis rusa) dan hartebeest (sejenis antelope) termasuk dalam kategori lembu liar.[8]
Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa al-Mahah atau oryx itu bukanlah keldai liar yang dimaksudkan oleh para ulama.
Keldai liar menyerupai keldai jinak
Mengenai perkara ini, Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan ada menyatakan bahawa keldai liar adalah salah satu daripada haiwan buruan yang menyerupai keldai jinak dan daging keldai liar itu termasuk dalam benda yang baik.[9] Begitu juga, al-Mawardi menyatakan bahawa keldai liar dan keldai jinak, berhimpun pada kedua-duanya nama yang sama serta rupa bentuk yang serupa. Namun, kedua-duanya berbeza pada hukum iaitu dihalalkan keldai liar untuk dimakan dan diharamkan keldai jinak kerana kedua-duanya tinggal di tempat yang berbeza sekalipun sama di atas daratan.[10]
Syeikh Muhammad bin Ibrahim secara jelas menyebutkan bahawa terdapat banyak keldai liar di Kepulauan Arab suatu masa dahulu. Rupa bentuknya menyerupai keldai jinak dari segi ia mempunyai huf (hoof), dua telinga panjang dan ciri-ciri yang lain. Ia bukanlah berasal daripada keldai jinak, kemudian menjadi liar. Akan tetapi ia adalah daripada jenis yang berasingan — yakni tersendiri. Oleh itu, keldai liar dagingnya termasuk dalam benda yang baik manakala keldai jinak pula dagingnya termasuk dalam benda yang buruk.[11]
Kuda belang termasuk dalam jenis keldai liar
Kuda belang dan keldai liar adalah dua spesies yang berbeza sekalipun tergolong dalam genus dan family yang sama iaitu genus Equus dalam family Equidae. Menurut Ensiklopedia Dunia, keldai liar kelihatan seperti kuda belang tetapi tidak berbelang, kecuali kadangkala pada kakinya. Antara spesies keldai liar ialah kiang, kulan dan onager (Equus hemionus). Kesemua keldai liar jarang ditemui dan mengalami kepupusan. Manakala bagi kuda belang terdapat tiga spesies kuda belang iaitu kuda belang biasa (Equus burchelli), kuda belang Grevy, dan kuda belang gunung. Ada satu lagi spesies kuda belang iaitu quagga, tetapi telah pupus pada akhir tahun 1800-an.[12]
Tambahan lagi, terdapat beberapa perbezaan yang jelas antara kuda belang dan keldai iaitu: [13]
- Kuda belang mempunyai jalur hitam dan putih di seluruh tubuh sedangkan warna antara keldai-keldai adalah berbeza-beza serta tidak ada jalur.
- Kuda belang dijumpai secara khusus di savana Afrika, manakala keldai pula tidak terhad hanya di Afrika, tetapi banyak juga di tempat-tempat yang lain.
- Kuda belang adalah lebih besar dan berat berbanding keldai.
- Hidung kuda belang adalah sentiasa berwarna hitam, sedangkan keldai tidak semestinya.
- Keldai mempunyai telinga panjang dan runcing manakala telinga kuda belang adalah sepertimana telinga kuda biasa.
Sekalipun dari segi saintifik dan ciri-cirinya ada sedikit perbezaan. Namun, di dalam Bahasa Arab kuda belang (zebra) ini dipanggil sebagai Himar al-Wahsyi al-Mukhattat (حمار الوحش المخطط) atau Himar al-Zarad (حِمَارُ الزَّرَدِ).[14]
Selain itu, Dr. Soleh bin Abd al-‘Aziz Sindi juga telah mengkelaskan kuda belang (zebra) sebagai salah satu daripada jenis keldai liar.[15] Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Syihab al-Din al-Nuwairi yang menyebutkan beberapa jenis keldai liar. Beliau menyebutkan bahawa terdapat daripada jenis keldai liar yang berbelang hitam putih berbentuk segi empat panjang di sepanjang anggota-anggotanya, dan padanya juga ada yang berbentuk bulat yang sama (pembahagiannya). Ada juga jenis yang dinamakan sebagai Akhdari iaitu yang paling panjang umurnya. Sesungguhnya Abu al-Faraj al-Babbagha’ telah menyifatkannya di dalam risalahnya dengan menyebut terdapat juga keldai betina yang berwarna hitam putih.[16]
Tambahan lagi, al-Munawi juga secara tidak langsung turut menyebutkan beberapa ciri keldai liar dalam kitabnya iaitu memiliki garisan-garisan pada badannya. Hal ini adalah sebagaimana katanya:
فما هو إلا كحمار الوحش يدخل به البلد فيطيف الناس به معجبين لتخطيط جلده
Maksudnya: “Tidaklah dia melainkan seperti seekor keldai liar yang dibawa masuk ke dalam suatu negeri. Lalu orang ramai mengelilinginya kerana kehairanan disebabkan oleh garisan-garisan di kulitnya…”[17]
Walau bagaimanapun, keldai liar tidak hanya terhad kepada jenis yang berjalur hitam putih atau kuda belang ini sahaja. Ia hanyalah salah satu daripada jenisnya sahaja. Sebenarnya, terdapat banyak lagi jenis-jenis lain yang berbeza-beza warnanya. Ini adalah sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Kamaluddin al-Damiri bahawa warna keldai liar itu berbeza-beza.[18]
Tambahan pula, jenis keldai liar yang berjalur atau kuda belang (zebra) ini lebih dikenali pada masa kini berbanding jenis-jenis yang lain kerana jumlahnya yang masih banyak dan amat sedikit jenis lain yang masih tinggal kerana kebanyakannya sudah mengalami kepupusan. Dr. Soleh bin Abd al-‘Aziz Sindi menyebutkan, sekiranya kita membelek dan membaca kitab-kitab al-Adab klasik kita akan mengetahui terdapat banyak keldai liar dijumpai di Kepulauan Arab tetapi tidak ada satu pun yang menyebutkan mengenai jenis keldai liar yang berjalur ini.[19] Dr. ‘Abd al-Rahman Naseer al-Saeed menyebutkan bahawa ciri-ciri keldai liar yang disebutkan di dalam syair-syair arab klasik warnanya ialah warna debu dengan sedikit merah keputihan, sisinya berwarna putih (sedikit) dan inilah (warna putih disisi) yang menjadi perbezaannya yang utama dengan keldai jinak. Generasi terawal bangsa Arab tidak mengetahui —yakni mengenali — kuda belang ini. Ia mula-mula sekali dikenali penduduk Iraq pada akhir kurun ke-4H dan di Mesir pada kurun ke-8H.[20]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa keldai liar tidak hanya terhad kepada jenis yang berjalur sahaja iaitu yang lebih dikenali sekarang sebagai kuda belang (zebra). Akan tetapi terdapat juga jenis-jenis keldai liar yang lain seperti onager, kiang, kulan dan lain-lain. Namun, kebanyakannya — yakni selain daripada zebra — kurang dikenali kerana hampir kesemuanya sudah mengalami kepupusan.
Begitu juga kesemua jenis keldai liar itu adalah halal untuk dimakan, sama ada daripada jenis yang berjalur seperti zebra ataupun tidak. Selain itu, keldai liar juga bukanlah berasal daripada keldai jinak — yakni asalnya liar kemudian dijinakkan — tetapi kedua-duanya adalah daripada jenis dan spesies yang berbeza sekalipun secara kasarnya ada persamaan dan keserupaan. Dr. ‘Abd al-Rahman Naseer al-Saeed menyebut, timbulnya kekeliruan kepada kebanyakan orang atau masyarakat dalam menentukan keldai liar (حمار الوحش) ini adalah kerana tiadanya gambaran yang jelas mengenainya disebabkan oleh kebanyakan daripada spesiesnya telah pun pupus.[21]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 8 Februari 2022 bersamaan 6 Rejab 1443H
[1] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/9, Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 9/203 dan Taudhih al-Ahkam, Cet. Dar Ibn Hazm, 3/496.
[2] Riwayat al-Bukhari (5492)
[3] Lihat Taisir al-‘Allam Syarh ‘Umdah al-Ahkam, hlm. 711.
[4] Lihat Taudhih al-Ahkam, Cet. Dar Ibn Hazm, 3/496 dan Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/359.
[5] Beliau ialah pensyarah di Universiti Islam Madinah.
[6] Lihat artikel bertajuk: Apakah keldai liar itu? oleh Dr. Soleh bin Abd al-‘Aziz Sindi, (https://www.salehs.net/mk10x.pdf).
[7] Lihat al-Sihah, 6/2499.
[8] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/220.
[9] Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 9/203.
[10] Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/62.
[11] Lihat Fatawa wa Rasail al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim Âli al-Syeikh, 12/203.
[12] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 10/531; 11/560 dan 15/336.
[13] Lihat tulisan bertajuk Difference Between Zebra and Donkey oleh Naveen, Doctoral Student in Agroforestry, former Research Scientist and an Environmental Officer. (https://www.differencebetween.com/difference-between-zebra-and-vs-donkey/).
[14] Lihat Jurnal bertajuk The Wild Ass in Ancient Arabic Poetry : Description and Identification (حمار الوحش في الشعر العربي القديم الوصف والتعيين) oleh Dr. Abdurrahman Naseer al-Saeed, King Saud University. Lihat juga https://ar.wikipedia.org/wiki/حمار_الزرد.
[15] Lihat artikel bertajuk: Apakah keldai liar itu? oleh Dr. Soleh bin Abd al-‘Aziz Sindi, (https://www.salehs.net/mk10x.pdf).
[16] Lihat Nihayah al-Arab fi Funun al-Adab, 9/327.
[17] Lihat Faidh al-Qadir, 1/481.
[18] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/359.
[19] Lihat artikel bertajuk: Apakah keldai liar itu? oleh Dr. Soleh bin Abd al-‘Aziz Sindi, (https://www.salehs.net/mk10x.pdf).
[20] Lihat Jurnal bertajuk The Wild Ass in Ancient Arabic Poetry : Description and Identification (حمار الوحش في الشعر العربي القديم الوصف والتعيين) oleh Dr. Abdurrahman Naseer al-Saeed, Department of Arabic Language and Literature, King Saud University, hlm. 193.
[21] Ibid