Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana solat seseorang yang didirikan dengan memakai baju yang ada simbol atau lambang salib padanya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Salib atau dalam Bahasa Inggeris disebut cross ialah merupakan simbol yang terbentuk daripada pertembungan dua garisan bersilang pada pusatnya yang terdiri daripada empat arah lengan atau bahagian. (Lihat The Encyclopedia of Religion, Eliade, hlm. 155).

Simbol salib, setelah melalui sejarah yang panjang, ia akhirnya menjadi lambang Jesus Christ dan lambang kepercayaan bagi penganut agama Kristian. (Lihat The New Encyclopedia Britannica, Jacob E Safra, hlm. 753).

Sepertimana yang sedia maklum bahawa lambang salib merupakan simbol yang khusus hanya kepada agama Kristian tanpa sebarang pertikaian. Ia merupakan sesuatu yang sedia diketahui dan dapat difahami oleh semua orang tanpa memerlukan mereka untuk berfikir atau mengkaji. Oleh itu, lambang salib, lambang yang mempunyai gambar orang disalib atau yang sebegitu sifatnya, maka haram dipakai walaupun tanpa niat untuk meniru atau menyerupai orang kafir.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Dalam isu di atas, solat memakai baju yang jelas padanya simbol salib adalah haram dan wajib dihilangkan lambang salib tersebut. Ini jika itulah maksud yang dikehendakinya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Imran bin Hitthan, bahawa A’isyah R.Anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ

Maksudnya“Nabi SAW tidak meninggalkan satu pun barang yang masuk ke rumah beliau, yang ada gambar yang bersalib, kecuali Baginda akan menghapusnya.”

Riwayat al-Bukhari (5952)

Imam al-Baghawi berkata: “Al-Tasalib (التَّصَالِيب) ialah apa yang adalah ia atas gambar yang bersalib.” (Lihat Syarh al-Sunnah, 12/132).

Imam al-Syaukani pula berkata: “Al-Tasalib (التَّصَالِيب) iaitu gambar yang bersalib daripada sulaman atau jahitan baju atau selainnya. Salib tersebut ialah gambar yang disangkakan Nabi Isa AS yang disembah oleh Nasrani.

Perkataan Naqadhahu (نَقَضَهُ) membawa maksud memecahkannya, menghilangkannya dan mengubah gambar salib. (Lihat Nail al-Authar, 3/143 dan Syarh Sunan Abi Daud oleh Ibn Ruslan, 16/453).

Al-Lajnah al-Daimah li al-Ifta’[1] pernah mengeluarkan fatwa berkaitan isu ini. Antara lain mereka menyebut bahawa sekiranya baru diketahui ada gambar salib di baju setelah membelinya, maka haram menggunakannya untuk solat. Gambar salib itu wajib dihilangkan dengan apa cara sekalipun yang dapat menghilangkan gambar tersebut. Sama ada dengan cara dikikis atau dicelup warna (sehingga tidak kelihatan lambang salib tersebut), atau cara lainnya.

Ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari daripada Imran bin Hitthan, bahawa A’isyah R.Anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ

Maksudnya: “Nabi SAW tidak meninggalkan satu pun barang yang masuk ke rumah beliau, yang ada gambar salib, kecuali Baginda akan menghapusnya.”

Riwayat al-Bukhari (5952)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 juga telah membincangkan isu ini. Antara lain menyebut: “Orang Islam adalah dilarang menggunakan barangan yang mempunyai lambang agama lain seperti salib sekiranya lambang-lambang tersebut dinyatakan secara zahir dan jelas.”

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan kepada khalayak ummah agar sentiasa cakna dan prihatin dalam pembelian pakaian atau makanan.

Sebagai kesimpulan, solat dengan memakai baju yang jelas padanya simbol salib adalah haram dan wajib dihilangkan lambang salib tersebut sama ada dengan cara dikikis, dicampur dengan warna lain sehingga tidak kelihatan lambang salib tersebut.

Walaupun begitu, solatnya sah jika pakaian itu menutup aurat dalam mazhab kita. Ini dikenali sebagai ‘jihah munfakkah’ (جهة منفكة). Dalam bahasa yang lain, solat sah tetapi memakai baju itu haram hukumnya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

[1] Lihat Fatwa Lajnah, 19/24

Leave a Reply