#139 Jawab Azan dalam Tandas

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ketika saya berada di dalam tandas, saya terdengar azan dilaungkan dari masjid. Perlukah saya menjawabnya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Azan merupakan zikir yang khusus, yang disyariatkan sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ‘ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/337).

Pada asasnya, hukum menjawab azan adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut). Ketika azan dilaungkan, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar meninggalkan segala aktiviti yang sedang dilakukan serta dalam masa yang sama perlulah menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan. Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ ، لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya“Apabila kamu semua mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan. Kemudian selawatlah ke atasku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepadaku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali. Kemudian mohonlah kepada Allah agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba Allah. Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaatku akan diberikan kepadanya.”

Riwayat Muslim (384), Abu Daud (523) dan al-Nasa’i (678)

Antara sunnah bagi orang yang mendengar azan adalah:

  • Diam ketika mendengar azan dan menjawabnya samada dalam keadaan bersih atau berhadas, junub atau haidh, besar atau mumayyiz. Kemudian perlu menjawab apa yang diucapkan oleh muazzin kecuali pada lafaz (حي على الصلاة) dan (حي على الفلاح).
  • Selawat kepada Nabi SAW dengan suara yang perlahan, kemudian memohon kepada Allah wasilah dan berdoa kepada-Nya selepas selesai azan dengan jarak yang tidak lama.
  • Berdoa untuk diri sendiri kerana waktu tersebut adalah waktu yang mulia, berkat dan mustajab. Disunatkan berdoa selepas azan dan sebelum iqamah. (Lihat al-Wasit, 1/82-83).

Berkenaan dengan isu di atas kami datangkan perbahasan berkenaan hadis Nabi SAW tidak menjawab salam ketika menunaikan hajat. Hadis riwayat Imam Muslim daripada Ibnu Umar R.A:

أَنَّ رَجُلاً مَرَّ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَبُولُ فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ ‏‏

Maksudnya: “Seorang lelaki ketika melewati dan Nabi SAW ketika itu sedang menunaikan hajat lalu ia memberi salam dan Baginda SAW tidak menjawabnya.”

Riwayat Muslim (370)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini berkata: Makruh berkata-kata serta berzikir ketika sedang menunaikan hajat sama ada ketika di padang pasir atau di dalam binaan. Ini termasuk juga berkata-kata dalam hal yang lain melainkan dalam keadaan yang darurat sahaja. Selain itu apabila bersin tidak perlu menjawab Alhamdulillah ketika berada di dalam tandas. Juga tidak perlu menjawab salam dan menjawab azan. (Lihat Futuhat al-Rabbaniah ‘ala al-Azkar al-Nawawiyah, 1/221).

Ini bagi menjaga kesucian nama Allah SWT begitu juga apa yang dilakukan Nabi SAW dengan menanggalkan cincinnya yang tertera nama Allah SWT sebelum menunaikan hajat. Daripada Anas bin Malik RA:

كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ ‏- صلى الله عليه وسلم ‏-إِذَا دَخَلَ اَلْخَلَاءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasullullah SAW apabila memasuki bilik air Baginda akan menanggalkan cincinnya.”

Riwayat Abu Daud (19), Ibn Majah (303), al-Tirmizi (1746), al-Nasa’i (5213)

Selain itu dibenarkan untuk mengqadha jawab azan setelah selesai menunaikan hajat atau bersama isteri seperti yang dinyatakan Imam al-Nawawi di dalam kitabnya: “Dan dikecualikan daripada ini (menjawab azan) bagi orang yang sedang solat, orang yang berada di dalam tandas dan orang yang sedang berjimak. Apabila telah selesai daripada menunaikan hajat dan berjimak, maka bolehlah dia mengikutinya (menjawab azan).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/118).

Begitu juga dibenarkan untuk menjawab azan di dalam hati ini seperti yang dinyatakan Imam al-Nawawi: “Sekiranya bersin maka ucapkanlah Alhamdulillah di dalam hatinya dan tanpa menggerakkan lidahnya ianya hal itu tidak mengapa. Begitu juga jika dalam keadaan berjimak.” (Lihat Futuhat al-Rabbaniah ‘ala al-Azkar al-Nawawiyah, 1/221).

Justeru, berkenaan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hukum menjawab azan adalah disunatkan kepada setiap mukallaf yang mendengarnya. Adapun sekiranya ketika berada di dalam tandas ulama melarangnya serta makruh menjawabnya. Hal ini bagi menjaga syiar atau kebesaran nama Allah SWT dan merupakan salah satu daripada adab-adab memasuki tandas. Selain itu kita boleh qadanya selepas selesai menunaikan hajat ataupun menjawabnya di dalam hati.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *