Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah memakai pewarna rambut yang halal yang berada di pasaran? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (3462) dan Muslim (2103)

Begitu juga dalam hadith lain, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

غَيِّرُوا الشَّيْبَ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ

Maksudnya:Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi.

Riwayat al-Tirmizi (1752)

Dapat difahami daripada hadith-hadith ini bahawa ‘illah syarak dalam mewarnakan rambut atau janggut adalah untuk menyelisihi ahli kitab. Oleh sebab itu, terdapatnya penegasan bahawa ia suatu perbuatan yang digalakkan (sunat). Apatah lagi Rasulullah SAW sendiri berlebih-lebihan dalam menyelisihi mereka dan memerintahkan untuk melakukannya. Selain itu, sunnah ini (mewarnakan rambut dan janggut) sangat diambil berat oleh ulama salaf. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 11/172).

Secara umumnya, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/279-280) dinyatakan bahawa mewarnakan rambut dan janggut boleh dengan hinna’ (inai),[1] hinna’ bersama katam,[2] wars,[3] za‘faran, warna hitam dan lain-lain.

Seterusnya, digalakkan mewarnakan rambut dan janggut dengan hinna’ dan katam berdasarkan hadith, “غَيِّرُوا الشَّيْبَ” (iaitu ubahlah warna uban) dan ia adalah suatu perintah yang menunjukkan kepada galakkan (sunat). Hal ini juga adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَحْسَنَ مَا غَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الْحِنَّاءُ وَالْكَتَمُ

Maksudnya:Sesungguhnya sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mengubah warna uban ialah pohon hinna’ (inai) dan katam.”

Riwayat Ibn Hibban (5474) dan al-Tirmizi (4991)

Dapat difahami daripada hadith di atas bahawa bahawa hinna’ (inai) dan katam adalah antara pewarna terbaik untuk mengubah warna uban. Akan tetapi bahan untuk mewarnakan uban tersebut tidak hanya terhad kepada kedua-dua bahan itu sahaja, malah terdapat juga bahan pewarna lain yang sama fungsinya yang turut boleh digunakan dalam asal-usul kecantikan. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Anas R.A, katanya: “Abu Bakar mewarnakan (rambut dan janggutnya) dengan hinna’ (inai) dan katam. Manakala Umar pula mewarnakan (rambut dan janggutnya) hanya dengan hinna’ (inai).”

Begitu juga mewarnakan rambut dan janggut dengan menggunakan bahan wars dan za‘faran. Ia juga termasuk dalam hukum asal galakkan (sunat) itu sebagaimana mewarnakannya dengan bahan daripada hinna’ dan katam. Malah terdapat sebahagian sahabat yang mewarnakan rambut dan janggut mereka dengan kedua-dua bahan tersebut. Abu Malik al-Asyja‘i meriwayatkan daripada bapanya, katanya:

كَانَ خِضَابُنَا مَعَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْوَرْسَ وَالزَّعْفَرَانَ

Maksudnya:Bahan pewarna yang kami gunakan (untuk mewarnakan rambut dan janggut) bersama Rasulullah SAW ialah wars dan za‘faran.”

Riwayat Ahmad (15882)[4]

Begitu juga hadith daripada al-Hakam bin ‘Amr al-Ghifari, katanya:

دَخَلْتُ أَنَا وَأَخِي رَافِعُ بْنُ عَمْرٍو عَلَى أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، وَأَنَا مَخْضُوبٌ بِالْحِنَّاءِ، وَأَخِي مَخْضُوبٌ بِالصُّفْرَةِ، فَقَالَ لِي عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: هَذَا خِضَابُ الْإِسْلَامِ، وَقَالَ لِأَخِي رَافِعٍ: هَذَا خِضَابُ الْإِيمَانِ

Maksudnya:Aku dan saudaraku Rafi‘ bin ‘Amr masuk menemui Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab, dalam keadaan (rambut dan janggutku) diwarnakan dengan (warna) hinna’, manakala saudaraku pula (rambut dan janggutnya) diwarnakan dengan warna kekuning-kuningan. Lalu Umar bin al-Khattab berkata kepadaku: ‘Ini adalah pewarna Islam,’ dan berkata kepada saudaraku Rafi‘: ‘Ini adalah pewarna Iman.’”

Riwayat Ahmad (20660)[5]

Manakala berkenaan hukum mewarnakan rambut dan janggut dengan warna hitam pula para ulama berselisih pendapat berkenaannya. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah makruh pada selain perang. Manakala semasa perang, ia adalah diharuskan secara ijma‘, bahkan sangat digalakkan. Ada juga dalam kalangan mereka yang berpendapat, haram untuk mewarnakan rambut dengan warna hitam kepada selain para mujahidin (ahli perang), dan ini merupakan pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Begitu juga pengecualian untuk mewarnakan dengan warna hitam hanya diberikan kepada mereka yang ada keperluan seperti untuk menghilangkan aib kerana uban yang berlebihan di rambut atau janggutnya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar dan seumpamanya. Perbahasan lanjut berkenaan ini, kami telah menjawabnya secara panjang lebar dalam artikel kami, dalam Ahkam Syar‘iyyah  yang bertajuk: “Warnakan Rambut dengan Warna Hitam.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sekiranya seseorang itu ingin mewarnakan rambut atau janggut mereka, dia boleh menggunakan apa sahaja pewarna yang ada di pasaran, dan tidak semestinya hanya dengan hinna’ (inai), asalkan ia memenuhi beberapa syarat yang telah digariskan oleh para ulama.

Di antaranya, bahan pewarna tersebut tidak menghalang air untuk sampai ke kulit. Para fuqaha telah bersepakat bahawa terdapatnya sesuatu di atas anggota wuduk atau anggota mandi wajib yang menghalang air daripada sampai ke kulit menjadi penghalang antara kesahan wuduk dan mandi wajib tersebut. Seseorang yang mewarnakan rambut dengan bahan-bahan yang telah disebutkan di atas seperti hinna’, katam, wars, za‘faran dan seumpamanya tidak menghalang kesahan wuduk dan mandi wajibnya kerana selepas dia membuang atau membersihkan bahan-bahan tersebut melalui basuhan, maka yang tinggal hanyalah warna semata-mata, dan warna sahaja tidak menjadi penghalang untuk air sampai ke kulit. Oleh itu, ia tidak menjejaskan kesahan wuduk dan mandi wajib seseorang. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqahiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/282).

Selain itu, bahan-bahan pewarna yang ingin digunakan mestilah bukan bahan yang mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan atau memberikan risiko dan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan. Justeru, setiap perkara yang mendatangkan risiko kesihatan dan mudarat perlu dielakkan demi menjaga nyawa seseorang manusia. Hal ini bertepatan dengan larangan menerusi firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38.). Tambahan lagi, agama Islam selalu mengingatkan penganutnya agar menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan diri. Kaedah ada menyebutkan bahawa:

وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Seterusnya, ulama dalam kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i, dan Hanbali berpendapat, apa sahaja yang dicelup dengan sesuatu yang mutanajjis (yakni yang terkena najis), boleh dibersihkan (disucikan) dengan membasuhnya sebanyak tiga kali. Justeru, jika seseorang lelaki atau perempuan mewarnakan rambut dengan hinna’ (inai) yang mutanajjis, lalu membasuhnya sebanyak tiga kali, maka ia kembali menjadi suci. Namun, jika pewarnaan itu menggunakan sesuatu bahan yang najis, maka ia tidak dikira suci melainkan setelah hilangnya ain najis itu, rasa dan juga baunya, serta air yang keluar adalah jernih. Akan tetapi warna yang tinggal adalah dimaafkan kerana sesuatu kesan (iaitu warna) yang susah untuk dihilangkan, kekalnya itu tidak memudaratkan (yakni tidak mengapa). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqahiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/282).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat seseorang itu boleh menggunakan apa sahaja bahan pewarna atau produk pewarna rambut yang ada di pasaran dengan syarat ia memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama sebagaimana yang kami telah nyatakan. Dalam erti kata lain, bahan-bahan pewarna yang digunakan tidak hanya terhad kepada hinna’, katam, wars dan za‘faran semata-mata, tetapi jika ada bahan lain yang mempunyai fungsi seumpamanya dan memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan, maka ia boleh untuk digunakan. Lebih-lebih lagi, kini terdapat banyak produk-produk kosmetik pewarna rambut yang berada di pasaran yang memenuhi syarat tersebut, malah sebahagiannya sudah mempunyai panel syariah dalam memantau agar ia selari dengan kehendak syarak.

Begitu juga seseorang itu boleh untuk mewarnakan rambutnya dengan apa-apa warna selain warna hitam melainkan adanya keperluan seperti untuk menghilangkan aib kerana uban yang berlebihan di rambut atau janggutnya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar dan seumpamanya. Akan tetapi pada masa yang sama, jauhilah warna yang boleh mengundang tohmahan kepada dirinya seperti warna yang menyerupai gaya hidup orang bukan Islam, orang fasiq atau syiar agama lain. Hal ini kerana sedangkan agama Islam menuntut penganutnya agar berbeza dengan mereka. Perkara ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud (4031)

Al-San‘ani menjelaskan, maknanya ialah sesiapa yang menyerupai atau meniru orang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah, maka dia termasuk dalam kalangan mereka — yakni sama seperti mereka. Dalam erti kata lain, dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka. (Lihat Subul al-Salam, 4/175).

Selain itu juga, ingatlah sebagai seorang Muslim, kita turut diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama. Hal ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[6]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

[1] Hinna’ ialah sejenis pokok yang daun dan batangnya seperti daun dan batang delima, bunganya pula berwarna putih, daunnya diambil untuk dijadikan pewarna merah. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/الْحِنَّاءِ/. Diakses pada 27 April 2023).

[2] Katam ialah sejenis tumbuhan yang dicampur dengan daun wasmah (dikenali juga sebagai daun Nil), lalu digunakan untuk mewarnakan rambut hitam. Namun, ada yang berpendapat, ia adalah wasmah. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2827).

[3] Wars ialah sejenis tumbuhan yang ditanam di Yaman dan India. Buahnya apabila masak, ditutup dengan kelenjar kuning, dan terdapat sedikit bulu di atasnya, yang digunakan untuk mewarna pakaian. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/الورس/. Diakses pada 28 April 2023). Ia adalah tumbuhan seperti bijan, dan mempunyai bau yang harum. Ia menjadi bahan pewarna antara warna merah dan kuning. (Lihat Jawahir al-Iklil Syarh Mukhtasar Khalil, 1/189).

[4] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (25/216) menilai sanadnya sebagai sahih. Beliau juga menyatakan, semua perawinya adalah thiqah dan merupakan perawi kitab al-Sahih melainkan Bakr bin Isa dan dia daripada perawi sunan al-Nasa’i dan dia adalah thiqah.

[5] Hadith al-Hakam bin ‘Amr al-Ghifari, diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Di dalamnya terdapat perawi bernama ‘Abd al-Rahman bin Habib, dan dia dinilai sebagai thiqah oleh Ibn Ma‘in tetapi dinilai sebagai dha’if oleh Imam Ahmad. Manakala baki perawi-perawinya yang lain adalah thiqah. (Lihat Majma‘ al-Zawa’id, 5/159).

[6] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H

Leave a Reply