#1420: Membuka Aib Ketika Mahu Berkahwin
Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada satu kemusykilan nak bertanya kepada Dato’ Seri Zulkifli:
Ada seorang lelaki ingin berkahwin kali kedua setelah bercerai dengan isteri pertama melalui mahkamah dan mempunyai sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan. Lelaki tersebut selalu culas dalam memberi nafkah anaknya setiap bulan sehinggakan keluarga pihak lelaki terpaksa membantu menghulurkan wang ringgit untuk kedua-dua anak lelaki tersebut. Setiap kali laporan dibuat di pejabat agama baru dia akan lunaskan untuk mengelakkan tindakan.
Dari segi keperibadian lelaki tersebut pula mempunyai akhlak buruk seperti pemalas, suka mencuri dan panjang tangan. Lelaki tersebut juga panas baran dan suka memaki orang termasuk adik-beradik dan keluarga mertuanya juga. Lelaki itu juga tidak taat kepada suruhan Allah seperti tidak solat dan tidak berpuasa di samping suka melihat gambar lucah dan pernah ditangkap berkhalwah dengan perempuan lain.
Selepas bercerai sifatnya tidak pernah berubah dan ibu kepada lelaki tersebut hanya meminta adik-beradik terdekat mendoakan lelaki tersebut agar berubah. Untuk pengetahun Dato’ Seri, ibu lelaki tersebut sentiasa menyebelahi lelaki tersebut di atas faktor anak bongsu. Sepanjang 10 tahun mereka berdoa tetapi sikap lelaki tersebut tidak berubah langsung. 3 tahun lepas dia ingin berkahwin secara diam-diam dengan sokongan ibunya tetapi dihidu oleh adik-beradik yang lain. Adik-beradik yang lain pergi berjumpa dengan keluarga pihak perempuan dan menceritakan keburukan adik lelaki mereka kepada keluarga perempuan tersebut supaya mereka berfikir sebelum meneruskan perkahwinan tersebut. Akhirnya keluarga perempuan tersebut memutuskan untuk tidak meneruskan perkahwinan anak perempuan mereka dengan lelaki tersebut.
Kali ini sekali lagi lelaki tersebut ingin berkahwin secara senyap-senyap tanpa pengetahuan adik-beradik yang lain tetapi telah dihidu oleh kakak-kakaknya. Kakaknya cuba untuk pergi berjumpa dengan keluarga pihak perempuan untuk menerangkan keburukan adik lelaki mereka kepada keluarga tersebut tetapi dihalang oleh abang sulung lelaki tersebut.
Di atas alasan jangan menderhaka kepada ibu kelak tidak cium bau syurga dan Allah menyuruh kita memelihara aib keluarga.
Alasan kakak lelaki tersebut untuk berjumpa dengan keluarga pihak perempuan ialah untuk menceritakan segala keburukan adik lelaki mereka supaya mereka berfikir sama ada mahu menerima lelaki tersebut sebagai menantunya. Kakaknya tidak mahu keluarga perempuan itu teraniaya sekiranya mereka tidak menceritakan kisah yang sebenar.
Apa pandangan Dato’ Seri?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sesungguhnya, perkahwinan adalah perintah Allah SWT dan ia digalakkan dengan nas yang banyak. Bahkan, Islam melarang hidup tanpa berkahwin. Daripada Saad bin Abi Waqqas RA. Rasulullah SAW bersabda:
رَدَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى عُثْمَانَ بْنِ مَطْعُوْنِ التَّبَثْلَ وَلَوْ أَذِنَ لَهُ لَاخْتَصَيْنَا
Maksudnya: “Rasulullah SAW menolak hidup membujang Uthman bin Maz’un kerana beribadat. Jika Baginda mem- benarkannya, sudah tentu kami mengkasikan diri kami.”
Riwayat Muslim (1042) dan al-Tirmizi (1083)
Sebenarnya, perkahwinan merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Perkahwinan yang menurut syarak dan terhormat akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman diri. Firman Allah SWT:
وَمِنْ ءَايَتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ يَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [1]
Surah al-Rum (21)
Demikianlah indahnya ungkapan ayat-ayat al-Quran yang menyatakan, betapa perlunya kepada perkahwinan dan bagaimanakah terhasilnya perlindungan, kebahagiaan dan ketenteraman. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: “Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka.”
Surah al-Baqarah (187)
Ayat ini menatijahkan suami isteri sebagai pakaian bagi pasangan masing-masing kerana mereka saling melindungi. Keperluan suami isteri kepada pasangannya sama seperti keperluan mereka dengan pakaian.
Sekiranya pakaian menutup keaiban tubuh badan dan menjaganya daripada sebarang kesakitan, suami isteri pula akan menjaga kemuliaan pasangannya, memelihara kehormatan dan memberi kerehatan serta ketenteraman.
Menjawab persoalan di atas, saya katakan terdapat dua isu.
Pertama, sikap dan sifat bakal suami yang telah dikenalpasti dengan perangai dan tanggungjawab yang lemah dan tidak baik. Begitu juga, kecuaian dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT seperti solat.
Kedua, niat ingin berkahwin, bagi mendirikan rumah tangga kali kedua.
Untuk yang pertama, perlu sebuah penegasan dari semua pihak terutamanya kaum keluarga untuk memaksa dan memerintah anak lelaki tersebut bagi menunaikan segala tanggungjawab nafkah kepada anak-anaknya dari isteri yang pertama.
Keperluan kepada mahkamah untuk menetapkan bayaran nafkah serta memaksa bayaran yang bersifat bulanan terutamanya makan minum, pakaian dan kesihatan serta yuran yang terkait dengan pendidikan wajib ditunaikan.
Di samping itu, nasihat, pesanan dan teguran hendaklah bersifat secara berterusan sesuai dengan perintah Allah SWT:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Surah al-‘Asr (3)
Maksud saling berpesan dengan kebenaran ialah:
وأوصى بعضهم بعضا بلزوم العمل بما أنزل الله في كتابه من أمره، واجتناب ما نهى عنه فيه
Maksudnya: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam KitabNya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarangNya. (Rujuk Tafsir al-Tabari, 24/590).
Manakala maksud saling berpesan dengan kesabaran pula ialah:
وأوصى بعضهم بعضا بالصبر على العمل بطاعة الله
Maksudnya: Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah.” (Rujuk Tafsir al Tabari, 24/590).
Seperkara lagi yang terkait dengan solat, sesungguhnya ia menjadi tiang agama dan paksi dalam kehidupan ini. Tanpanya, runtuhlah agama seseorang.
Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
Surah al-Baqarah (43)
Dalam institusi kekeluargaan, agama adalah elemen yang penting. Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah tonggak kebahagian rumah tangga seperti solat secara berjemaah dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Allah S.W.T memberikan suruhan kepada ketua keluarga agar menyuruh dan mengajak ahli keluarganya untuk menunaikan solat. Suruhan ini boleh dilihat pada firman Allah S.W.T:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى
Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.
Surah Toha (132)
Begitu juga sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دخلت من أي أبواب الجنة شاءت
Maksud hadith: “Apabila seseorang wanita itu menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan mentaati pasangannya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendakinya.”
Hadith sahih Riwayat Ibn Hibban (4163)
Melalui hadith ini, dapat difahami akan kewajipan menunaikan ibadah solat ke atas isteri. Maka, jika difahami secara mafhum al-mukhalafah yakni makna yang tersirat di sebaliknya, suami lebih ditekankan kewajipannya untuk menunaikan solat. Ini kerana suami merupakan ketua keluarga dan seorang ketua mesti menunjukkan sifat, contoh dan sikap yang baik terhadap ahli keluarganya, mendidik mereka dengan didikan agama dan membimbing mereka ke jalan yang betul.
Berbalik pada soalan yang diajukan, jika seorang suami atau ketua keluarga tidak menunaikan solat, maka perlulah dilihat terlebih dahulu akan sebab dan punca yang menyebabkan mereka tidak menunaikan solat itu. Jika seseorang itu meninggalkan solat dalam keadaan dia mengingkari akan kewajipan menunaikan solat, ataupun dia menunaikan solat tetapi pada masa yang sama dia mengingkari kewajipan itu, maka jatuhlah hukum kafir murtad ke atasnya berdasarkan ijma’ muslimin. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/14). Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith Nabi Muhammad SAW:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang syirik dan kafir, iaitu meninggalkan solat.
Riwayat Muslim (82)
Justeru, isu solat adalah yang utama yang perlu dititikberatkan oleh semua pihak terhadap bakal suami tersebut.
Kepada isu yang kedua, saya katakan niat dan ingin berkahwin itu adalah digalakkan. Tetapi, berhak bagi keluarga bakal isteri mengetahui aib atau kelemahan bakal menantunya. Ini tidak termasuk dalam ghibah atau mengumpat.
Di sini kami ingin nukilkan pandangan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitabnya. Mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar’i yang mana tidak akan dikecapi melainkan dengannya, terdapat enam jenis:
- Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
- Membantu dalam menentang perkara yang munkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
- Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
- Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
- Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
- Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.
Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. (Lihat Riyadh al-Solihin, 432-433)
Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya ada juga menyebut jenis-jenis mengumpat yang dibenarkan oleh syarak sama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 172-173)
Yang penting, di sini hanya satu, iaitu perubahan seseorang terutamanya yang menjadi ketua keluarga seperti suami atau ayah agar menjadi orang yang baik dan terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab seperti memberi nafkah kepada anak-anaknya yang asal dan keluarganya yang baru.
Begitu juga, hubungan dengan Allah SWT seperti solat dan berakhlak baik sentiasa menjadi keutamaan dan diislahkannya dari semasa ke semasa. Semoga, Allah SWT kurniakan kepada kita semua keluarga yang bahagia yang memperolehi sakinah, mawaddah dan sa’adah. Amin.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: ““Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
[1] Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lem but menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “S kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kasih sayang.”
Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H