Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Datuk. Saya ingin bertanya tentang rujuk selepas talak, adakah ia memerlukan persetujuan dan izin isteri atau tidak?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami nyatakan terlebih dahulu maksud rujuk, di dalam Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat, ‘Rujuk’ bermaksud kembali berkahwin dengan isteri yang sudah diceraikan mengikut syarat-syarat tertentu.

Rujuk berasal dari bahasa Arab iaitu ‘رَجَعَ يَرْجِعُ رَجْعًا وَرُجُوعًا’ yang bermaksud kembali atau mengembalikan. Rujuk menurut istilah adalah mengembalikan status hukum perkahwinan secara penuh setelah berlaku talaq raj‘i yang dilakukan oleh bekas suami terhadap bekas isterinya dalam tempoh iddahnya dengan ucapan tertentu. (Lihat Fiqh Munakahat,  hlm. 174)

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili menyatakan: ‘’(Ruju’) adalah lafaz yang ringkas maka tidak sah ruju’ melainkan dengan perkataan. Hendaklah ia merupakan lafaz yang sarih dan ia tidak memerlukan kepada niat. Seperti ucapan ‘aku ruju’ kamu’, dan lain-lain’’. (Lihat Al-Mu’tamad, 4/185 – 190).

Perkahwinan ialah ikatan syarie antara pasangan suami dan isteri. Dengan hanya akad dan kalimah yang ringkas ini, telah mengubah berbagai macam hukum antara pasangan tersebut. Allah SWT menyebutnya sebagai (ميثاقاً غليظاً) yang bermaksud ikatan yang kuat, ini sebagaimana firman-Nya:

وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang kuat dari kamu.”[1]

Islam amat menggalakkan supaya dikekalkan hubungan perkahwinan di antara suami isteri. Meskipun begitu, menjadi adat dalam berumahtangga, pasti boleh berlaku perselisihan dan salah faham sesama pasangan, yang mana ia mungkin membawa kepada kesukaran untuk dipertahankan ikatan perkahwinan tersebut. Maka Islam mensyariatkan talak (penceraian) sebagai jalan keluar untuk sekalian umatnya.

Islam menjadikan asal bagi talak adalah merupakan talak raj’ie (yang boleh dirujuk semula) yang tidak memutuskan ikatan perkahwinan secara menyeluruh. Kerana itulah syarak memberikan hak kepada seorang suami untuk merujuk semula dengan isterinya selama dalam tempoh iddah. Firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ ۚ

Maksudnya: “Dan wanita-wanita yang diceraikan itu maka mereka ‘mengurung’ diri mereka selama tiga kali suci.”

(Surah Al-Baqarah: 228)

Dalam tempoh tersebut, suami mempunyai hak untuk merujuk kembali isterinya yang telah diceraikan. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam sambungan ayat di atas:

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا ۚ

Maksudnya: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.”

(Surah Al-Baqarah: 228)

Imam al-Syafi‘ie ketika mengulas ayat di atas, beliau berkata: “Memperbaiki talak adalah dengan cara melakukan rujuk.” (Lihat Al-Umm, 5/260)

Ibn Qudamah mengatakan, isteri yang masih di dalam tempoh iddah apabila suaminya merujuknya tanpa pengetahuannya, maka sah rujuk tersebut. Hal ini kerana rujuk tidak memerlukan kepada redha isteri, maka ia juga tidak memerlukan kepada pengetahuan isteri tersebut sepertimana talak (tidak memerlukan kepada redha dan pengetahuan isteri). (Lihat Al-Mughni, 10/573)

Disebutkan di dalam Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah bahawa jumhur fuqaha’ mengatakan bahawasanya hukum memberitahu isteri bahawa dia telah dirujuk adalah sunat. Hal ini kerana pemberitahuan tersebut boleh meredakan persengketaan yang berlaku antara pasangan suami isteri. (Lihat Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 22/114)

Kesimpulan

Kami mengatakan sepertimana yang dikatakan oleh majoriti ulama’, bahawa rujuk seorang suami adalah sah sekalipun tanpa mendapat persetujuan isterinya.

Akan tetapi, dalam kes-kes begini, kami menasihatkan agar pasangan tersebut merujuk kembali ke Mahkamah Syariah agar hakim memutuskan sama ada rujuk tersebut berlaku dan ia tidak menzalimi si isteri. Ia juga bagi memastikan tindakan si suami merujukkan isterinya itu tidak menyalahi undang-undang yang diperuntukkan di dalam Enakmen Keluarga Islam negeri masing-masing.

Yang lebih penting dari itu agar ikatan kali kedua ini melalui rujuk akan menjadikan rumah tangga mereka lebih matang serta stabil dari sebarang anasir dan faktor yang boleh meruntuhkan rumah tangga. Kami yakin dengan semangat dari kedua-dua belah pihak, rumah tangga akan bertambah kukuh. Ingatlah nasihat Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Perkataan imsakun bil ma’ruf memberi makna rujuk yang dilakukan hendaklah dengan nawaitu, tekad, azam dan cita-cita untuk menjadikan rumah tangga dalam keadaan makruf lagi baik. 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahualam.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply