#1430: Mandi Wajib Bagi Muallaf

Soalan:

Assalamualaikum, saya mahu bertanya, wajibkah mandi wajib untuk saudara baru masuk Islam? Bagaimanakah dengan solat atau amalan lain yang dikerjakan sebelum mandi wajib sekiranya ianya wajib? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan terlebih dahulu dengan mentakrifkan muallaf iaitu seseorang yang beragama selain daripada Islam telah memeluk agama Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah. Mengiyakan dalam hatinya dan melakukan dengan anggota lahirnya.

Hukum Mandi Wajib Bagi Muallaf

Dalam isu ini, ulama berbeza pandangan mengenainya sama ada ianya dihukum sunat ataupun wajib.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىَ تَغْتَسِلُواْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

Surah an-Nisa’ (43)

Begitu juga sabda Rasulullah SAW:

اذْهَبُوا بِهِ إِلَى حَائِطِ بَنِي فُلَانٍ، فَمُرُوهُ أَنْ يَغْتَسِلَ

Maksudnya: “Pergilah kalian bersamanya ke kebun Bani Fulan, dan perintahkan kepadanya untuk mandi.”

Riwayat Ahmad (8037)

Syeikh Abdullah al-Bassam menukilkan bahawa al-Khattabi berkata: Kebanyakan ulama’ berpegang kepada pandangan tentang istihbab mandi (bagi orang yang baru memeluk Islam), dan bukan wajib. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 1/381)

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya, beliau memperhalusikan masalah mandi wajib bagi golongan muallaf ini kepada tiga keadaan:

Pertama: Apabila seseorang yang pernah berjunub sebelum memeluk agama Islam dan tidak pernah mandi maka wajib baginya mandi wajib setelah memeluk agama Islam. Pendapat ini adalah disepakati oleh Imam al-Syafie.

Kedua: Apabila seseorang yang pernah berjunub sebelum memeluk agama Islam dan dia pernah mandi maka menurut pendapat yang paling kuat di sisi Imam al-Syafie adalah wajib baginya mengulangi mandi wajib setelah memeluk agama Islam. 

Ketiga: Apabila seseorang yang tidak mengalami hadas besar sebelum memeluk agama Islam, maka tidak wajib baginya untuk mandi wajib setelah memeluk agama Islam. Namun, jika sekiranya dia ingin mandi, maka hukumnya sunat sahaja. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 2/152)

Manakala di sisi mazhab Hanbali, apabila seseorang itu memeluk agama Islam, maka diwajibkan baginya mandi wajib. Hal ini kerana dia tidak terlepas dari pernah melakukan hubungan intim (jimak) atau ihtilam (mimpi basah) dan jika sekiranya dia telah mandi pada saat tersebut (tidak beriman), maka tidak sah mandinya kerana kewajipan dalam agama hanya sah dilaksanakan apabila seseorang itu telah beriman. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/112)

Tatacara Mandi Wajib

Sepertimana diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.”

Riwayat Bukhari (248)

Berdasarkan hadith di atas, dapat kita fahami:

1) Rukun mandi wajib: 

  • Niat mandi wajib

Niat umum:

نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ الْأَكْبَرِ للهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.

  • Menghilangkan kotoran atau najis di badan.
  • Meratakan air ke seluruh tubuh badan yang zahir.

2) Tatacara mandi wajib:

  • Niat apabila air sampai ke badan.
  • Membaca “Bismillah.”
  • Membasuh tangan tiga kali.
  • Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.
  • Membersihkan tangan kiri dengan sabun
  • Mengambil wuduk seperti yang biasa dilakukan sebelum solat, atau boleh tangguhkan membasuh kaki selepas selesai mandi.
  • Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara rata dan siram kepala 3 kali dengan air. Bagi perempuan yang mandi haid atau mandi junub, hendaklah ditanggalkan ikatan rambut.
  • Mulakan dengan bahagian kanan badan.
  • Menyapu air ke seluruh badan.
  • Berwuduk sekiranya ingin menunaikan solat fardhu.

Dari sudut qadha ibadat seperti solat dan seumpamanya, kami berpandangan tidak perlu bagi mereka yang baru memeluk agama Islam untuk menqadha’kan ibadat sebelum memeluk agama Islam. Hal ini kerana antara syarat wajib solat juga adalah Islam dan akan menakutkannya untuk masuk Islam. Bahkan menurut al-Nawawi, amalan kebaikan yang dilakukan ketika bukan Islam akan dianggap sebagai amalan yang diganjarankan pahala pada hari akhirat kelak. (Lihat Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/4)

Kesimpulan

Justeru itu, kami cenderung mengatakan bahawa hukum mandi wajib bagi mereka yang baru memeluk agama Islam adalah mengikut keadaan sepertimana yang telah kami jelaskan di atas. Namun demikian, dianjurkan juga bagi mereka yang tidak pernah mengalami hadas besar untuk mandi wajib, meskipun hukumnya sunat. Begitu juga dari sudut qadha, maka tidak perlu baginya menggantikan ibadatnya kerana ketika itu mereka masih belum memeluk agama Islam.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus mendalami ilmu agama dengan sebaiknya dan menyebarkan kefahaman dan keindahan Islam kepada seluruh masyarakat di sekeliling kita.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *