Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah bacaan dalam sujud sajadah ketika bacaan surah al-Sajadah pada subuh hari jumaat dan juga bacaan ketika sujud tilawah yang lain-lain di luar solat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sujud tilawah atau sujud sajadah adalah merupakan sujud yang yang dilakukan ketika seseorang itu membaca atau mendengar ayat sajadah. (Lihat Sujud Tilawah Wa Ahkamuhu, hlm. 17; al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 112)

Sujud tilawah membawa definisi yang sama dengan sujud sajadah. Akan tetapi perbezaan antara keduanya adalah sujud sajadah dilakukan di dalam sembahyang, manakala sujud tilawah dilakukan di luar solat.

Amalan ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، فَيَقْرَأُ سُورَةً فِيهَا سَجْدَةٌ، فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ، حَتَّى مَا يَجِدُ بَعْضُنَا مَوْضِعًا لِمَكَانِ جَبْهَتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika membaca al-Quran dan baginda membaca surah yang terdapat padanya ayat sajadah, maka baginda bersujud dan kami turut bersujud bersamanya sehingga tiada bagi kami tempat untuk sujud.”

Riwayat Muslim (575)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadith ini menunjukkan situasi ini berlaku di luar solat yang mana thabitnya sujud tilawah dan ia telah disepakati oleh para ulama’ dan juga di sisi kami serta jumhur ulama’ bahawa ia disunatkan dan bukannya wajib. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/74)

Terdapat beberapa tempat dalam al-Quran diperintahkan kita untuk sujud tilawah atau jika dalam solat disebut sebagai sujud sajadah. Antaranya:

  • Surah al-A’raf ayat 206
  • Surah al-Ra’d, ayat 15
  • Surah al-Nahl, ayat 49-50
  • Surah al-Isra’, ayat 109
  • Surah Maryam, ayat 58
  • Surah al-Hajj, ayat 18
  • Surah al-Hajj, ayat 77
  • Surah al-Furqan, ayat 60
  • Surah al-Naml, ayat 25-26
  • Surah al-Sajdah, ayat 15
  • Surah Fussilat, ayat 38
  • Surah al-Najm, ayat 62
  • Surah al-Insyiqaq, ayat 21
  • Surah al-’Alaq, ayat 19

Manakala dalam sujud sajadah ketika bacaan surah al-Sajadah pada solat subuh hari jumaat adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةُ وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ

Maksudnya: “Biasanya Nabi SAW membaca pada solat Subuh pada hari Jumaat, “الم تَنْزِيلُ” (iaitu Surah  al-Sajdah) dan “هَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ” (iaitu Surah  al-Insan).”

Riwayat al-Bukhari (1068)

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Pada hadith ini menunjukkan sunat membaca dua surah ini di dalam solat subuh pada hari tersebut (Jumaat). Ini kerana, daripada bentuk hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW melaziminya atau banyak melakukannya.” (Lihat Fath al-Bari, 2/378) 

Bacaan dalam Sujud Sajadah dan Tilawah

Sujud Tilawah adalah sunat bagi orang yang membaca ayat al-Quran yang mengandungi perkataan Sajdah sama ada semasa di dalam solat atau di luarnya. Begitu juga bagi orang yang mendengarnya semasa di luar solat. 

Imam al-Nawawi berkata bahawa disunatkan untuk membaca ketika sujud (tilawah dan sajadah) dengan lafaz:

سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ

Maksudnya: “Telah sujud wajahku kepada (Allah) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatan-Nya, maka Maha Berkat (serta Maha Tinggilah Kelebihan) Allah, sebaik-baik Pencipta.”

Dan dia melafazkan:

اللَّهُمَّ اكْتُبْ لِي بِهَا عِنْدَكَ أَجْرًا، وَاجْعَلْهَا لِي عِنْدَكَ ذُخْرًا، وَضَعْ عَنِّي بِهَا وِزْرًا، وَاقْبَلْهَا مِنِّي، كَمَا قَبِلْتَهَا مِنْ عَبْدِكِ دَاوُدَ

Maksudnya: “Ya Allah, tuliskan bagiku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga (di sisi-Mu) dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya dan terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hamba-Mu Dawud.”

Sekiranya dia melafazkan sepertimana dalam sujud solatnya, maka ia dibolehkan. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/322)

Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ali bin Abi Talib RA, bahawa ketika Rasulullah SAW melakukan sujud, baginda berkata: 

اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ. سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، تَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: Ya Allah, Kepada-Mu aku bersujud, dengan-Mu aku beriman, dan kerana-Mu aku berserah. Wajahku sujud kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya serta mengurniakan pendengaran dan penglihatannya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta.

Riwayat Muslim (771)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya berkenaan bacaan dalam sujud tilawah, beliau berkata: “Bacaan ketika sujud tilawah atau sajadah adalah sama dengan bacaan dalam sujud ketika solat, iaitu: “سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى.. سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى.. اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ ، سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، تَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ.. سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي”, dan dia boleh berdoa ketika sujudnya sebagaimana dia lakukan pada sujud solatnya.[1]

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, bacaan ketika sujud tilawah dan sujud sajadah dalam solat adalah sama dengan bacaan ketika sujud-sujud dalam solat seperti:

  • سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى 
  • سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي 
  • اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذَنْبِي كُلَّهُ: دِقَّهُ وَجِلَّهُ، وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، وَعَلاَنِيَتَهُ وَسِرَّهُ
  • اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ. سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، تَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

 

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/7452/مايقالفيسجودالتلاوة

Leave a Reply