Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada soalan tentang musafir. Jika saya dari KL, ingin pulang ke kampung selama satu minggu, bermula Isnin ke Kuantan. Hari Khamis pula balik kampung halaman isteri di Kuala Terengganu. Dan akan pulang ke KL pada hari Ahad. Adakah saya dikira musafir sepanjang minggu kerana tidak menetap selama 3 hari dan lebih, atau dikira pemukim dan hanya musafir ketika dalam perjalanan? Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ada tiga syarat sah solat musafir yakni jamak dan qasar berkaitan dengan perjalanan:

  • Perjalanan yang jaraknya hingga 81 km dan lebih. Oleh itu, tidak diambil kira perjalanan yang kurang daripada jarak tersebut. Dia juga hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. Apabila berniat menetap selama empat hari jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja.
  • Perjalanan yang tentu tempat tujuannya. Oleh itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat yang tertentu, dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak di bawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh. Ini kerana telah diyakini jauh perjalanannya.
  • Perjalanan tersebut tidak bertujuan maksiat. Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba’ atau menyamun. Ini kerana qasar merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab, dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.

Manakala, tiada syarat sah yang mewajibkan bermalam. Sebaliknya, Hukum Syarak hanya menetapkan waktu maksimum iaitu 3 hari tidak termasuk hari pergi dan hari keluar. Ini berdasarkan hadith al-Ala` bin al-Hadhrami RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ لِلْمُهَاجِرِ بَعْدَ الصَّدَرِ

Maksudnya: “Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji).”

                                                                              Riwayat al-Bukhari (3933) dan Muslim (1352)

Berkata Imam Abu Ishak al-Syairazi sebelum berdalilkan hadis ini: “Jika seorang musafir itu berniat muqim (menetap) empat hari selain hari masuk dan hari keluar maka jadilah sebagai seorang mukim (semata-mata dengan niat itu), dan terpotonglah (yakni terhentilah) rukhsah musafirnya kerana berniat menetap tiga hari tidak menjadikan musafir itu seorang mukim.”(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab, 4/359)

Justeru, saya katakan apa yang saudara lakukan adalah dibolehkan untuk qasar dan jamak sementelahan, semata-mata menziarahi dalam tempoh yang masih dibenarkan melakukannya. Paling penting, kita sentiasa dapat mendirikan solat walau dalam apa jua keadaan sekali pun.

Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (41-42)

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

Leave a Reply