#1458: Harga Qurban Lebih Mahal Daripada Harga Lembu Qurban

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum masjid memaparkan harga lembu qurban di facebook dengan harga tertentu. Kemudian membeli harga lebih rendah dari yang dipaparkan pada facebook. Adakah ianya dikira menipu dan bagaimana hasil wang yang diambil dari peserta qurban?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556)

Firman Allah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu.”

(Surah al-Hajj: 36)

Rasulullah SAW menggalakkan kita supaya berqurban terutamanya pada Hari raya dan hari-hari tasyrik. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mu’minin A’isyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang qurban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berqurban).”

Riwayat al-Tirmizi (1493)

Al-Mubarakfuri berkata: Hadis ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya aidiladha adalah dengan menumpahkan darah qurban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berqurban itu ketika melintasi titian sirat. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/61)

Dalam menjawab persoalan di atas, saya nyatakan bahawa tindakan pihak masjid itu tidaklah bertentangan kerana mengambil kira beberapa tanggungjawab di luar daripada harga lembu seperti kos penghantaran, kos minyak, dan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan. 

Yang penting, lebihan daripada harga asal lembu mempunyai kemunasabahan dan selepas daripada itu, seaulanya digunakan untuk urusan qurban seperti membeli bekas plastik untuk diletakkan daging qurban bagi pengagihan dan lain-lain. 

Semoga Allah SWT tautkan hati kita untuk saling mengukuhkan lagi ukhuwwah dan dapat melaksanakan ibadah qurban dengan sebaik mungkin. Amin.

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *