Soalan

Adakah dibolehkan menerima wakaf daripada bukan islam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Wakaf menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Menurut Ibn Manzdur, wakaf berasal dari bahasa Arab iaitu al-waqf (الوَقَف), iaitu nama terbitan (masdar) dari kata kerja waqafa (وَقَفَ). Ia mempunyai pelbagai makna mengikut tujuan dan penggunaan ayat itu sendiri. Dari segi bahasa, waqf membawa maksud berhenti (السَكن), menegah (المَنع) dan menahan (الحَبس). (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359).

Dari segi istilah wakaf adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta agar manfaatnya boleh disedekahkan. Maka jadilah pemilikan harta tersebut beralih kepada pemilikan Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/85).

Dr. Wahbah al-Zuhayli menyebut, wakaf ialah menahan harta benda yang kekal zatnya serta boleh dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan dan ia diserahkan kepada pihak yang telah ditentukan dengan harapan ia dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 8/155).

Agama Islam amat menggalakkan amalan wakaf dalam kalangan umat Islam itu sendiri. Dari segi istilah, wakaf bermaksud menahan sesuatu harta yang tidak susut fizikalnya serta boleh digunakan dan diambil manfaat darinya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376).

Menjawab kepada persoalan di atas, hukum menerima harta wakaf daripada Bukan Islam adalah dibolehkan dan sah penerimaan tersebut. Hal ini termasuklah wakaf yang diberikan kepada masjid-masjid walaupun perbuatan tersebut bukan berniat mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. (Lihat Hasyiah al-Baijuri, 2/80).

Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَظْلِمُ مُؤْمِنًا حَسَنَةً يُعْطَى بِهَا فِي الدُّنْيَا وَيُجْزَى بِهَا فِي الآخِرَةِ وَأَمَّا الْكَافِرُ فَيُطْعَمُ بِحَسَنَاتِ مَا عَمِلَ بِهَا لِلَّهِ فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا أَفْضَى إِلَى الآخِرَةِ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَةٌ يُجْزَى بِهَا

Maksudnya:Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seorang mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan juga di akhirat. Orang kafir pula akan menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Adapun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya.”

Riwayat Muslim (2808)

Berdasarkan kepada hadith di atas, seorang Bukan Islam akan mendapat ganjaran di dunia sesuai dengan wakaf atau kebaikan yang dilakukan tersebut. Namun begitu, dia tidak akan beroleh apa-apa kebaikan atau pahala di akhirat kelak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/183).

Berdasarkan persoalan ini, kami melihat adalah dibolehkan untuk menerima harta wakaf daripada bukan Islam sekalipun dalam perkara-perkara yang melibatkan masjid. Hal ini kerana Bukan Islam juga adalah termasuk dalam golongan yang berhak untuk bersedekah. Justeru, penerimaan harta wakaf daripada Bukan Islam ini adalah dibolehkan.

Semoga dengan penjelasan yang diberikan ini mampu memberi kefahaman kepada kita semua dalam menjalani kehidupan ke arah yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 2 Disember 2021 M bersamaan  27 Rabiul Akhir 1443 H

Leave a Reply