Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tips Dato’ Seri dalam memahami bahasa Arab dengan baik sehingga mampu membaca dan bercakap dalam bahasa arab. Kerana saya seorang mahasiswa. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”

(Surah Yusuf: 2)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT menjadikan al-Quran berbahasa Arab, dan menurunkannya dalam bahasa Arab yang jelas. Hal itu kerana bahasa Arab adalah bahasa yang paling fasih dan paling jelas, yang paling banyak mengungkap makna yang ada dalam jiwa. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/365)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ’, iaitu agar mereka dapat belajar apa yang mereka tidak mengetahui kisah-kisah dan berita-berita, adab dan akhlak, hukum dan syariat, konsep hidup kejayaaan dalam politik, masyarakat, ekonomi, sehinggalah urusan pentadbiran negara. Ia juga agar mereka mentadabbur makna-makna dan tujuan-tujuan yang ada di dalamnya dan membangunkan individu dan masyarakat atas dasar-dasar yang kuat dan kukuh. (Lihat Tafsir al-Munir, 6/432)k

Daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma iaitu:

أُحِبُّ الْعَرَبَ لِثَلاَثٍ: لِأَنِّي عَرَبِيٌّ، وَالْقُرْآنُ عَرَبِيٌّ، وَكَلَامُ أَهْلِ الْجَنَّةِ عَرَبِيٌّ

Maksudnya: “Aku mencintai arab kerana tiga perkara: Kerana aku adalah arab, al-Quran di dalam bahasa arab dan ucapan ahli syurga adalah Bahasa Arab.”[1]

Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (11441) dan al-Mu’jam al-Awsath (5583). Riwayat al-Tabarani juga di dalam al-Mu’jam al-Awsath (9147) daripada sahabat Nabi SAW iaitu Abu Hurairah R.A. 

Saidina Umar R.A pernah berkata:

تَعَلَّمُوا الْعَرَبِيَّةَ فَإِنَّهَا تَزِيدُ فِي الْمُرُوءَةِ

Maksudnya: “Belajarlah Bahasa Arab kerana sesungguhnya Bahasa Arab tersebut boleh meningkatkan ketinggian maruah dan adab.” (Lihat Syu’ab al-Iman oleh al-Baihaqi, 3/210; al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi oleh al-Khatib al-Baghdadi, 2/25)

Dalam menjawab persoalan ini, kami nyatakan bahawa bahasa Arab mempunyai pelbagai keistimewaan berbanding dengan bahasa-bahasa yang lain. Kami telah menjawab berkenaan dengan kelebihan bahasa Arab mengikut sebahagian riwayat bahasa ahli syurga, bahasa al-Quran, bahasa sunnah Nabi SAW dan lain-lain lagi. 

Yang kami maksudkan bahasa Arab di sini ialah bahasa Arab fushah atau bahasa sebenarnya  yang tidak bercampur-aduk dengan kesalahan nahu atau grammar. Dalam memahami bahasa Arab ini, saya berpendapat:

  • Belajarlah di markaz lughah sama ada mustawa 1,2 atau 3.
  • Belajarlah nahu atau grammar Arab beserta dengan sorof agar bahasa kita tidak menyalahi tatanahunya.
  • Bercakaplah dalam bahasa Arab, sebaik-baiknya dengan orang Arab atau guru bahasa Arab kita kerana dia mungkin dapat membetulkan bahasa kita dengan lebih baik. 
  • Bergaullah dengan rakan-rakan kita terutamanya dari bangsa Arab agar kita boleh melajukan lagi kefahaman bahasa Arab kita. 
  • Hafaz beberapa kalimah setiap hari dan muradifatnya yang ditulis dan dicatat serta diulang.
  • Hafaz beberapa ibarat setiap hari yang menjadi kegunaan kebiasaan bagi orang Arab. Ini membawa kepada ibarat yang kita lafazkan sama seperti orang Arab dan tidaklah nampak Arab Melayu.
  • Antara yang baik juga kita banyak membaca al-Quran secara kuat kerana ia dari bahasa Arab. Sudah tentu, kebiasaan ini akan memudahkan sebutan kita dalam bahasa Arab dengan lebih baik dan tepat. 

Inilah sebahagian dariapda nasihat saya untuk anda dalam menguasai bahasa Arab dengan lebih baik. 

[1] Antara ulama yang menilai hadith ini:

  • Imam al-‘Uqaili (322 H) menghukum riwayat Ibn Abbas sebagai munkar dan tiada asal baginya. (Lihat al-Dhu’afa’ al-Kabir, 348/3)
  • Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini sebagai palsu di dalam kitabnya. (Lihat al-Mawdhu’at, 41/2)
  • Imam al-Zahabi (748 H) menilai hadith ini sebagai palsu. (Lihat Mizan al-I’tidal, 103/3)
  • Imam al-Sakhawi (902 H) menilai hadith ini sebagai dhaif tetapi riwayat Abu Hurairah R.A ini lebih kuat berbanding riwayat Ibn Abbas R.Anhuma. (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, 64)

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith berkaitan bahasa ahli syurga adalah bahasa arab merupakan hadith yang terlalu dhaif walaupun dikatakan riwayat Abu Hurairah RA adalah lebih kuat atau sahih berbanding riwayat daripada Ibn Abbas R.anhuma tetapi kedua jalur ini terdapat perawi yang bertafarrud dalam meriwayatkan hadith tersebut.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply