Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Antara isu yang mengganggu saya ialah penggunaan plasma darah. Ini kerana saya mendengar pelbagai jawapan, antara yang boleh dan tidak boleh. Justeru, apa hukumnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Apakah plasma darah?

Plasma ialah bahagian cecair darah. Kira-kira 55% daripada darah kita adalah plasma, dan baki 45% adalah sel darah merah, sel darah putih dan platelet yang terampai dalam plasma.

Plasma adalah kira-kira 92% air. Ia juga mengandungi 7% protein penting seperti albumin, gamma globulin dan faktor anti-hemofilik, dan 1% garam mineral, gula, lemak, hormon dan vitamin.

Pakar fiqh kontemporari telah mempertimbangkan permasalahan hukum plasma darah ini berpandukan beberapa sumber hukum utama yakni al-Quran, al-Sunnah Rasulullah SAW dan juga al-Qiyas. Secara umumnya, terdapat dua perbezaan pendapat iaitu ada yang membolehkan dan juga tidak membenarkan. Wujud perbezaan pendapat yang menyatakan bahawa darah itu secara umumnya tidak najis berdasarkan dalil hukum asal sesuatu perkara adalah suci sehingga datang dalil yang mengharamkannya. 

Menurut Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ (9/58) menyatakan bahawa larangan mendapatkan rawatan menggunakan najis dan perkara dilarang hanya apabila tiada keperluan dan ada alternatif lain selain menggunakan perkara yang dilarang seperti darah. Imam Nawawi menyatakan bahawa rawatan menggunakan najis selain minuman yang memabukkan adalah dibenarkan kecuali najis tersebut boleh memabukkan. Pendapat ini dipegang oleh majoriti ulama’ mazhab syafie. (Irsyad Al-Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2016)

Justeru itu, timbul persoalan isu yang perlu dikaji iaitu konsep plasma darah itu dalam Islam menurut pandangan empat mazhab. Hal ini disebabkan darah dan juga plasma darah itu adalah dua entiti yang berbeza. Plasma darah terdiri daripada 91-92% air, 8.9% protein, 0.9% garam-garam tak organik serta bahan lain. 

Plasma darah terdiri daripada 92% air, 8% bahan larut seperti glukosa, protein, vitamin, mineral, urea, asid urik, karbon dioksida, hormon dan antibodi. Oleh yang demikian, khilaf ulama’ mengenai hal ini membuka ruang untuk kita mengkaji dengan lebih mendalam sejauh mana had kebenaran menggunakan plasma darah ini. Wujud kelompongan yang boleh kita kaji tentang konsep plasma darah ini khususnya dari sudut kosmetik. Perkara ini seiring dengan perkembangan semasa yang mana penggunaan serta konsep plasma darah ini semakin meluas bukan sahaja dalam bidang perubatan bahkan di dalam bidang dermatologi serta kosmetologi.

Dalam menjawab persoalan di atas, saya nyatakan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.”

(Surah al-Maidah: 3)

Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan darah disamakan juga dengan bangkai dan daging babi dari sudut keharamannya. Tetapi Allah SWT juga menyebut dalam firman-Nya:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Berdasarkan isu di atas, para ulama menyebut dalam kaedah qiyas dengan keharusan menggunakan darah apabila berlaku darurat sebagai mana dibolehkan memakan daging babi. Ini kerana kaedah menyebut:

 إِلْحَاقُ الْمَسْكُوتِ بِالْمَنْطُوقِ

Iaitu menghubungkan hukum yang tidak disebut dengan hukum yang disebut. Dalam pengecualian tidak disebut darah tetapi hanya disebut daging babi sahaja. Justeru, saya katakan hukumnya harus jika perkara tersebut dalam kategori dharuriyyat atau hajiyyat. Ini bertepatan dengan kaedah

 الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Perkara yang darurat boleh mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 85)

Akan tetapi kaedah ini terikat dengan

الضَّرُورَاتُ تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا

Maksudnya: “Perkara yang darurat hendaklah ditakdirkan berdasarkan kadarnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 184-186).

Semoga jawapan ini dapat memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan hukum penggunaan plasma darah.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *