Soalan:

Assalamulaikum Dato Seri, saya nak tanya soalan berkaitan qurban. Contoh ada tiga ekor lembu dengan harga jual RM 650 bagi satu bahagian, tapi setelah disembelih, dagingnya dicampur semua sekali dan ditimbang, dengan alasan berat lembu berbeza dan bayaran yang bahagian sama, tujuannya untuk bagi sama rata, boleh ke begitu. Setahu saya daging qurban tak boleh campur dan bermaksud (bertukar). Mohon pencerahan Dr. Jazakallah khairal jaza.

Jawapan:

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556)

Firman Allah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu.”

(Surah al-Hajj: 36)

Al-Tabari berkata: Lafaz ‘الْبُدْنَ’ bermaksud segala sesuatu yang besar. Makna ayat ini adalah: Dan unta yang gemuk tubuhnya serta besar, Kami menjadikannya bagi kamu semua wahai manusia sebagai sebahagian daripada syiar Allah. Syiar di sini maksudnya adalah tanda-tanda perintah Allah terhadap kamu semua dalam manasik haji, ketika kamu mengalungkannya pada unta dan menjadikannya sebagai syiar (tanda), sehingga diketahui dan ditandakan bahawa kamu semua telah melakukan demikian pada unta dan lembu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 18/502)

Firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Hajj: 36)

Ibn Kathir berkata: Yakni, maka makanlah sebahagiannya. Sebahagian ulama’ salaf menjelaskan perintah di sini menunjukkan ibahah (boleh), dan bukan wajib. Kemudian, Ibn Kathir menyebut bahawa para ulama’ berbeza pendapat berkenaan maksud ‘الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ’. Setelah mengemukakan pendapat-pendapat ulama, beliau berkata: “Daripada seluruh pendapat, kenyataan yang paling kuat adalah bahawa ‘الْقَانِعَ’ adalah orang yang menjaga kehormatan yang duduk di rumahnya meskipun dia memerlukan. Manakala ‘الْمُعْتَرَّ’ adalah orang yang meminta yang menghadang dan meminta. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/681)

Firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”

(Surah al-Hajj: 28)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Maka sebutlah nama Allah SWT atas sembelihan-sembelihan tersebut, makanlah sebahagian darinya, dan gunakan sebahagian yang lain untuk memberi makan kepada kepada orang yang mengalami kesusahan dan kefakiran. Perintah untuk ikut memakan daging haiwan sembelihan itu kerana masyarakat jahiliyyah menghindarkan daripada memakan haiwan korban mereka.

Dalam hal ini, mazhab Syafi’i menyatakan bahawa ikut memakan hukumnya sunat, sedangkan menggunakannya untuk memberi makan kepada fakir miskin adalah wajib. Jika memang orang yang bersangkutan memberikan semuanya kepada fakir miskin, maka ia dibolehkan dan memadai. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/186)

Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

كُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا ‏

Maksudnya: “Makanlah, simpanlah dan bersedekahlah.”

Riwayat Muslim (1971), Abu Daud (2812), al-Nasa’ie (4431) dan Ahmad (24294)

Daripada Salamah bin al-Akwa’ R.A,

كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا

Maksudnya: “Makanlah, jamulah orang lain makan dan simpanlah.” [1]

Riwayat al-Bukhari (5569), Muslim (1973), al-Nasa’ie (4434) dan Ahmad (11543)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Lafaz ‘كُلُوا وَأَطْعِمُوا’ (makanlah dan berilah makan), kalima ini dijadikan dasar oleh mereka yang mewajibkan makan daging haiwan korban. Namun, ini tidak menjadi dalil, kerana perintah itu disebut setelah larangan sehingga hanya memberi petunjuk mubah (boleh). (Lihat Fath al-Bari, 27/371)

Syeikh al-‘Uthaimin berkata: Lafaz al-it’am (الإطعام) mencakupi sedekah untuk orang-orang fakir dan hadiah untuk orang-orang kaya. (Lihat Ahkam al-Udhiyyah oleh al-Uthaimin, 2/251)

Dalam menjawab persoalan di atas, perbuatan tersebut adalah tidak dibolehkan, kecuali apabila semua pihak telah bersetuju untuk melakukannya. Hal ini kerana, bahagian-bahagian tersebut adalah dengan nama secara berasing-asingan begitu juga, jumlah pembayaran tidak sama.

Kami juga ingin menasihatkan di sini, supaya tidak menjadikannya sebagai satu masalah yang besar, sehingga membawa kepada pertelingkahan. Hal ini kerana masing-masing pelaku ibadah korban berniat untuk memperoleh ganjaran pahala atas ibadah korban yang dilakukan.

[1]

 Daripada Salamah bin al-Akwa’, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ مَنْ ضَحَّى مِنْكُمْ فَلاَ يُصْبِحَنَّ بَعْدَ ثَالِثَةٍ وَفِي بَيْتِهِ مِنْهُ شَىْءٌ‏‏.‏ فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَفْعَلُ كَمَا فَعَلْنَا عَامَ الْمَاضِي قَالَ :‏‏ كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا فَإِنَّ ذَلِكَ الْعَامَ كَانَ بِالنَّاسِ جَهْدٌ فَأَرَدْتُ أَنْ تُعِينُوا فِيهَا

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan korban janganlah kamu menyimpan sesuatu pun daripada daging tersebut di rumah. Ketika mana tibanya tahun hadapan, para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, adakah perlu kami melakukan sepertimana tahun lepas. Jawab Baginda SAW: “Makanlah kalian, berikanlah makan kepada orang lain dan simpanlah kerana pada waktu itu (tahun yang lepas) manusia berada di dalam kesusahan (iaitu kelaparan) dan aku menginginkan agar kamu membantu yang lain”.

Riwayat al-Bukhari (5569) dan Muslim (1974)

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply