Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum keluarkan air mani untuk tujuan kesihatan seperti ujian kesuburan? Dan didahulukan prosedur ujian tersebut dengan menonton video lucah, adakah dibolehkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu tentang maksud ujian air mani dan prosedurnya.

Ujian Air Mani

Analisis air mani (SFA) biasanya dilakukan untuk membantu menentukan mengapa pasangan mengalami kesukaran untuk hamil. Ia merupakan pemeriksaan yang paling mudah untuk menilai tahap kesuburan bagi seorang lelaki. SFA juga dilakukan untuk mengikuti perkembangan selepas rawatan yang boleh memberi kesan kepada buah zakar atau fungsi kelenjar aksesori sistem reproduktif lelaki, atau selepas prosedur vasektomi. Akan tetapi, ramai lelaki mengalami kebimbangan dan keresahan untuk menjalani ujian SFA dan mengetahui keputusannya.

Pengulangan sekurang-kurangnya dua kali SFA adalah komponen penting bagi mencapai diagnosis yang tepat. Ini kerana sampel normal tunggal mungkin tidak cukup tepat bagi mengenal pasti potensi kesuburan. Adakala, terdapat perbezaan yang ketara pada parameter-parameter yang dianalisa daripada sampel yang berbeza tetapi dihasilkan oleh pesakit yang sama.

Perasaan tertekan, mengalami kesulitan untuk menghasilkan sampel dan pengambilan ubat-ubatan yang tertentu juga boleh menyebabkan keputusan SFA  kurang tepat.

Pesakit lelaki biasanya akan menyimpan air mani lebih daripada satu kitaran spermatogenik (dua bulan), terutamanya jika faktor yang boleh menjejaskan spermatogenesis seperti pendedahan kepada virus atau toksin telah berlaku. Keputusan SFA yang tidak normal selepas beberapa pengulangan akan ditakrifkan sebagai faktor  ketidaksuburan lelaki. Dilaporkan bahawa di Amerika Syarikat sahaja, faktor ini telah menyumbang kepada 20% hingga ke 40% masalah ketidaksuburan.

 

Prosedur Persampelan yang Baik

Setiap sampel haruslah diambil selepas tempoh pantang ejakulasi (abstinen) selama 2 ke 7 hari. Pesakit lelaki akan menghasilkan sampel sama ada dengan masturbasi, seks menggunakan kondom, seks dengan pengeluaran sebelum ejakulasi, rangsangan elektrik atau rangsangan dubur. Kaedah masturbasi adalah kaedah yang sering menjadi pilihan di pusat-pusat rawatan.

Sampel hendaklah dikumpulkan dalam bekas steril yang lebar dan dikekalkan sehampir mungkin kepada suhu badan. Sampel tersebut perlu sampai ke makmal dalam masa 20 minit dan dianalisis dalam tempoh 1 jam untuk mendapat keputusan yang tepat. Sampel air mani dibenarkan untuk mencair dan diperiksa dibawah mikroskop.

 

Parameter untuk Dianalisis

Air mani yang baru dihasilkan berwarna putih kelabu dan likat yang mencair dengan sendirinya dalam tempoh 15 hingga 60 minit. Air mani yang berwarna merah atau kuning mungkin menandakan hematospermia (kehadiran darah) atau penyakit kuning. Pencairan dan kelikatan yang tidak normal boleh menandakan adanya jangkitan, kecacatan enzim proteolitik prostatik,
atau ketiadaan kelenjar seminal atau komponen prostatik.

Parameter utama yang dianalisa adalah isipadu air mani, pH, kepekatan, jumlah, pergerakan, dan morfologi sperma. Nilai normal parameter ini diringkaskan dalam jadual dibawah.

Nilai-nilai ini tidak menggambarkan nilai purata bagi setiap lelaki, tetapi ia adalah untuk mengenal pasti nilai minimum parameter air mani seseorang yang mungkin berisiko untuk menyumbang kepada masalah ketidaksuburan dalam satu-satu pasangan. (Lihat Ujian Air Mani, MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/ujian-air-mani/ )

 

Takrif Onani atau Masturbasi

Onani ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1097) Istilah masturbasi (masturbate) pula ditakrifkan sebagai melancap atau merancap. Menurut portal MyHealth oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, melancap ialah perbuatan yang melibatkan sentuhan atau gosokan pada bahagian kemaluan seseorang yang menyebabkan keseronokan seksual sehingga ke tahap kepuasan nafsu (orgasm). (Lihat http://www.myhealth.gov.my/melancap/ )

Lafaz “الاسْتِمْنَاء” atau onani berasal daripada kata terbitan “اسْتَمْنَى” iaitu usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah pula ia bermaksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97)

 

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan bahawa ia berbalik kepada kaedah:

الْأُمُور بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair li al-Subki, 1/54)

Jika tujuannya adalah untuk mengambil air mani bagi tujuan ujian kesuburan kerana bermatlamatkan untuk ikhtiar mendapatkan anak, maka hukumnya adalah dibolehkan. Meskipun begitu, disyorkan untuk mencari alternatif lain. Sepertimana diterangkan di atas, masih terdapat kaedah-kaedah yang lain, yang lebih sopan untuk dilakukan bagi tujuan mendapatkan sampel air mani.

Akhir kalam, kami mendoakan agar pasangan yang masih belum dikurniakan zuriat, agar dikurniakan rezeki dengan anak. Marilah kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Selain itu, boleh juga beramal dengan doa Nabi Zakaria AS seperti yang terkandung di dalam al-Quran seperti mana firman Allah SWT:

رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖإِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”

(Surah Ali-Imran: 38)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di menyatakan, “Bahawa ini merupakan doa Nabi Zakaria AS supaya diberikan rezeki anak yang soleh dan berakhlak mulia. Supaya dapat disempurnakan nikmat dunia dan juga akhirat. Maka Allah SWT telah memakbulkan doanya kerana sifat ikhlas dan bersungguh-sungguh Baginda AS.” (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/129)

Semoga kita sentiasa dapat mematuhi titah perintah Allah SWT dan Rasul-Nya mengikut neraca dan syariat Islam. Amin.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply