Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya berkenaan dengan cari kerja menggunakan orang dalam/kabel. Adakah boleh kita menggunakan kabel yang seolah-olah mencuri peluang orang lain. Itu sahaja. Terima kasih Dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, kami ucapkan tahniah atas usaha saudara untuk mencari kerja. Daripada al-Miqdam R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:  

مَا كَسَبَ الرَّجُلُ كَسْبًا أَطْيَبَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ، وَمَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَخَادِمِهِ فَهُوَ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Tiada seorang pun yang memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada jerih payah tangannya sendiri. Dan tidaklah seseorang itu memberi nafkah kepada dirinya, isterinya, anak-anaknya dan hamba-hambanya melainkan ia dikira sebagai sedekah.”

Riwayat Ibn Majah (2138) dan Ahmad (17190). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (5660)

Nas di atas menunjukkan seseorang bekerja dengan kudrat yang ada padanya dan kebolehan yang dimilikinya adalah jauh lebih baik sebagai memperolehi punca pendapatannya. 

Dalam riwayat lain, daripada al-Miqdam R.A, bahawa  Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ، وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ.

Maksudnya: “Tidak ada satu makanan pun yang dimakan oleh seseorang, yang lebih baik selain daripada hasil usaha sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud memakan makanan hasil dari usaha Baginda sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (2072)

Syeikh al-Bassam menyebut bahawa mencari rezeki dengan apa sahaja cara yang harus, adalah lebih baik daripada meminta-minta. Adapun jenis pekerjaan itu, maka setiap insan berbeza-beza dengan apa yang sesuai dengan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam Syarh Bulugh al-Maram, 3/142)

Berkenaan mencari kerja menggunakan orang dalam, perlu dilihat, adakah kita sememangnya layak untuk posisi tersebut? Begitu juga, adakah ianya dibenarkan seperti mendapatkan sokongan secara bertulis yang menjadi polisi bagi sesebuah jabatan sebagaimana dalam bahasa Arab disebut ‘tazkiyyah’. Jika ini semata-mata, maka hukumnya dibolehkan. Tetapi tazkiyyah tersebut mestilah benar-benar dengan sifat yang ada pada orang yang diberi tazkiyyah itu. 

Sebaliknya, jika tidak layak dan tidak dibenarkan dalam permohonan tersebut, maka hukumnya adalah tidak boleh. Allah SWT berfirman:

‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”

(Surah al-Nisa’: 29)

Imam al-Qurtubi berkata: Perkataan batil (الْبَاطِل) juga boleh dimaksudkan kepada sesuatu yang bukan hak.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/150)

Mengambil dengan cara yang batil adalah dianggap sebagai perbuatan menzalimi orang lain kerana telah mengambil harta orang lain tanpa kebenarannya. Imam al-Mawardi pula menyatakan bahawa cara yang batil tersebut boleh berlaku dalam bentuk merampas, menzalimi, menang hasil daripada perjudian. (Lihat Jami’ al-Bayan, 552/3; Tafsir al-Mawardi, 248/1; Tafsir al-Baghawi, 210/1)

Syeikh Sayyid Tantawi berkata: “Ayat ini bermaksud Allah SWT menyeru orang Islam supaya tidak mengambil serta memakan harta saudaranya secara batil, dan begitu juga penggunaannya akan menjerumus kepada kemaksiatan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 3/125)

Justeru, kami nyatakan bahawa, ia bukanlah tidak dibolehkan secara mutlak. Sebaliknya, ia mestilah dilihat secara pra syarat. Yang paling penting adalah kelayakan dan kemampuan.

Kami kemukakan juga di sini hadith daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).

Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)

Semoga kita memperolehi kerja berdasarkan kelayakan hakiki  yang kita miliki. Percayalah kepada qadha’ dan qadar, jika hak kita maka sudah tentu ia menjadi milik kita, tetapi jika bukan hak kita, usahalah seupaya apa pun maka ia tidak akan kita perolehinya. 

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *