Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu pertanyaan, adakah dibenarkan membuat rawatan collagen inducer. Ia berbeza dengan collagen injection di mana collagen inducer memakai kaedah microneedling di mana ia akan mencederakan kulit secara terkawal dan seterusnya akan merangsang proses penyembuhan kulit serta kulit baru yang sihat akan terbentuk. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur: 31)

Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512).

Begitu juga firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90).

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”

(Surah al-Rum: 30)

Allah SWT turut berfirman:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222).

Definisi Kolagen

Kolagen ialah protein utama yang terdapat pada tisu penghubung, kulit, tulang dan tulang rawan, yang menghasilkan gelatin apabila direbus.[1] Ahli dermatologi di New York City, Dr Debra Jaliman menyatakan bahawa kolagen adalah protein yang paling banyak terdapat di dalam kulit, membentuk 75-85% organ yang mengagumkan. Berserta tisu elastik, kolagen ditemui pada dermis atau lapisan tengah kulit dan menyebabkan kulit anjal. Selain itu, kolagen juga terdapat dalam tulang, tendon, ligamen, otot, saluran darah dan rambut. Ia merupakan komponen utama tisu penghubung tubuh.[2]

Kolagen mempunyai kekuatan tegangan yang sangat baik – ia adalah salah satu protein struktur berserabut panjang yang memberikan sel menstruktur daripada luar, serta menyokong majoriti tisu badan. Sebagai asid amino, kolagen adalah diperbuat daripada kumpulan berfungsi amina (-NH2) dan asid karboksilik (-COOH). Unsur utama kolagen ialah hidrogen, oksigen, nitrogen, dan karbon.

Kolagen mengandungi tiga-kandas segmen berheliks daripada struktur serupa. Kelimpahan luar biasa tiga asid amino glisina, prolina, dan hidroksiprolina, memberikan kolagen struktur berheliks tiga kali ganda. Komposisi kolagen dianggap unik dalam memberikan kandungan tinggi hidroksiprolina.[3]

Proses Terapi Induksi Kolagen

Terapi Induksi Kolagen, juga dikenali sebagai microneedling, adalah prosedur kosmetik invasif minimum yang bertujuan untuk menangani pelbagai masalah kulit seperti garis halus. Menggunakan peranti pegang tangan kecil dengan jarum steril, tebukan kecil dibuat pada kulit untuk mendorong tindak balas penyembuhan luka. Ini mengakibatkan penghasilan kolagen dan elastin baru. Apabila seseorang berumur, kulit cenderung kehilangan protein struktur ini, menyumbang kepada garis halus dan kedutan. Oleh itu, microneedling ini meningkatkan pengeluaran semula jadi anda bagi dua elemen penting kulit muda yang sihat ini, mewujudkan penampilan kulit yang lebih licin, lebih tegang dan lebih kepada rona kulit. Prosedur ini digunakan terutamanya pada muka dan juga boleh merawat parut dan liang yang membesar.[4]

Microneedling adalah prosedur penjagaan kulit menggunakan jarum mikro yang disterilkan dengan panjang 0.5 – 2.5 mm, dengan tujuan untuk merawat pelbagai masalah kulit. Proses ini dikenali sebagai terapi induksi kolagen menggunakan alat seperti pen dengan jarum kecil (microneedling) untuk merawat pelbagai masalah kulit.

Rawatan invasif minima ini dijalankan dengan jarum dimasukkan ke dalam kulit supaya hasilnya dapat meningkatkan peredaran darah, membantu pertumbuhan sel kulit dan kadangkala proses rawatan boleh merangkumi ubat lain seperti asid hialuronik dan vitamin C supaya ia meresap lebih dalam ke dalam kulit dan berfungsi dengan lebih berkesan. Kesan kecederaan pada kulit juga bertujuan untuk mencetuskan rangsangan lebih banyak protein dalam kulit seperti kolagen dan elastin, supaya nanti sel kulit akan kelihatan lebih muda.

Jika anda mahu prosedur rawatan ini, pastikan anda tidak hamil, kemudian anda tidak mempunyai luka terbuka, jerawat teruk atau masalah penyembuhan luka. Sebelum menjalankan prosedur ini, doktor biasanya akan menyapu krim anestetik pada muka untuk mengurangkan kesakitan. Biasanya rawatan ini mengambil masa lebih kurang 20 – 30 minit bergantung kepada keluasan kawasan rawatan.

Semasa prosedur microneedling, doktor membuat tusukan kecil di bawah kulit dengan alat seperti pen. Kemudian, doktor akan mengalihkan alat tersebut secara merata pada kulit dan membuat luka. Luka yang terhasil mungkin menyebabkan sedikit pendarahan, tetapi keadaan ini merangsang kulit untuk menghasilkan lebih banyak kolagen sehingga diharapkan tisu kulit baru dengan tekstur yang lebih licin dan anjal akan terbentuk. Selepas proses selesai, mungkin doktor akan sapukan krim antibiotik dan pelembap pada muka anda untuk mengelakkan jangkitan dan kekeringan.[5]

Di antara manfaat prosedur microneedling atau terapi induksi kolagen ini ialah:

  •     Menyamarkan kedutan dan garis halus.
  •     Memudarkan parut jerawat.
  •     Meningkatkan kecerahan kulit.
  •     Memperbaiki tekstur kulit muka.

Seperti semua prosedur kosmetik, microneedling datang dengan kesan sampingan dan risiko. Kesan sampingan yang paling biasa ialah iritasi kulit ringan sejurus selepas prosedur. Anda juga mungkin melihat kulit menjadi merah selama beberapa hari.

Sekalipun begitu, segera dapatkan pemeriksaan jika anda mengalami kesan sampingan yang lebih serius, seperti:

  •     Berdarah.
  •     Lebam
  •     Jangkitan.
  •     Kulit mengelupas.

Di samping itu, anda mungkin tidak dinasihatkan untuk menjalani prosedur microneedling jika:

  •     Mempunyai keadaan kulit tertentu, seperti psoriasis atau ekzema.
  •     Mempunyai luka terbuka atau jerawat aktif.
  •     Baru menjalani terapi radiasi.
  •     Mempunyai sejarah parut kulit.

Manakala bagi wanita hamil, perlu mendapat persetujuan daripada doktor pakar sebelum menjalani prosedur rawatan.[6]

Rawatan: Antara Kecantikan dan Keperluan Perubatan

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Hukum Terapi Induksi Kolagen atau Microneedling

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, secara umumnya rawatan kecantikan melalui microneedling adalah bertujuan untuk merawat pelbagai masalah kulit. Prosedur ini dijalankan dengan jarum dimasukkan ke dalam kulit supaya hasilnya dapat meningkatkan peredaran darah, membantu pertumbuhan sel kulit dan kadangkala proses rawatan boleh merangkumi ubat lain seperti asid hyaluronik dan vitamin C supaya ia meresap lebih dalam ke dalam kulit dan berfungsi dengan lebih berkesan. Kesan kecederaan pada kulit juga bertujuan untuk mencetuskan rangsangan lebih banyak protein dalam kulit seperti kolagen dan elastin secara semulajadi, supaya nanti sel kulit akan kelihatan lebih muda, lebih licin dan lebih tegang. Ia juga boleh merawat parut dan liang yang membesar.

Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  •   Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  •   Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  •   Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Begitu juga Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali dalam persidangan mereka yang ke-18, di Putrajaya, Malaysia, dari 24-29 Jamadil Akhir 1428 Hijrah, bersamaan dengan 9-14 Julai 2007 khususnya berkaitan tajuk: “Al-Jirahah al-Tajmiliyyah wa Ahkamuha (Pembedahan Kosmetik dan hukum-hukumnya).” Di antara keputusan tersebut adalah tidak boleh melakukan pembedahan kosmetik yang tidak termasuk dalam rawatan perubatan dan bertujuan untuk mengubah kejadian yang asal (normal) kerana menurut hawa nafsu dan keinginan meniru orang lain seperti pembedahan mengubah bentuk muka supaya kelihatan dengan penampilan tertentu, atau bertujuan menipu dan menyelewengkan keadilan, mengubah bentuk hidung, membesarkan atau mengecilkan bibir, mengubah bentuk mata dan membesarkan tulang pipi.[7]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa prosedur microneedling atau terapi induksi kolagen adalah diharuskan sekiranya ada keperluan bagi melakukannya seperti untuk menghilangkan aib kerana kedutan yang berlebihan di wajahnya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar, untuk tujuan rawatan seperti merawat parut dan liang yang membesar, mengembalikan rona kulit yang hilang akibat penuaan yang tidak normal dan seumpamanya.

Sekalipun begitu, ia juga terikat dengan syarat prosedur tersebut tidak memberikan mudarat kepada penerima rawatan tersebut dan bahan-bahan ubat tambahan seperti asid hialuronik dan vitamin C yang hendak digunakan itu diambil daripada bahan yang suci dan bukannya najis.

Adapun jika prosedur ini dilakukan untuk kecantikan tambahan semata-mata (tahsiniyyah), bukan untuk mengembalikan kecantikan kulit yang hilang, akibat penuaan yang tidak normal kerana pemakanan yang tidak sihat, penyakit, kemalangan, kecuaian menjaga kesihatan dan seumpamanya, atau terdapatnya penipuan bagi menghilangkan kedutan supaya dilihat lebih muda dari usianya yang sebenar, maka ia adalah dilarang dan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri ia termasuk dalam pengubahan yang diharamkan. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati (ihtiyat).

Walau bagaimanapun, kami turut menasihatkan agar seseorang yang ingin mendapatkan rawatan melalui microneedling ini, sebaiknya rujuklah terlebih dahulu pakar bagi membuat pemeriksaan dan mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum melakukannya — yakni sama ada rawatan itu sesuai ataupun tidak buat mereka — bagi mengelakkan sebarang komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam.

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kolagen. Diakses pada 30 Mac 2023.

[2] Lihat artikel yang ditulis oleh Farah Aziz dan disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor pada 29/07/2020. https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/minuman-kolagen-benar-benar-bermanfaat-atau-hanya-helah-kecantikan/. Diakses pada 2 April 2023.

[3] Lihat https://hellodoktor.com/sihat-bergaya/penjagaan-kulit/apa-anda-perlu-tahu-mengenai-kolagen/. Diakses pada 2 April 2023.

[4] Lihat https://www.coldspringplasticsurgery.com/non-surgical-skin-care/what-are-the-benefits-of-collagen-induction-microneedling-therapy/#:~:text=Collagen%20Induction%20Therapy%2C%20also%20known,induce%20a%20wound%20healing%20response. Diakses pada 16 Mei 2023.

[5] Lihat https://www.heystetik.com/treatment/about/microneedling. Diakses pada 16 Mei 2023.

[6] Lihat https://www.halodoc.com/artikel/4-manfaat-prosedur-microneedling-untuk-kesehatan-kulit. Diakses pada 16 Mei 2023.

[7] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/2283.html. Diakses pada 13 April 2023.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply