Soalan :
Assalammualaikum, saya nak tanya, adakah jatuh talak sekiranya suami berjanji nak ubah perangai dia, contohnya, suami main judi, si isteri dapat tahu dan suami nak berubah dan berkata sekiranya dia main judi lagi, maka jatuh talak terhadap isteri? Maka jatuh ke talak tersebut? Dan jika masa dia cakap itu, dia bagi tahu dia tarik balik.
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Taʻliq ialah suami menggantungkan talaq kepada isterinya dengan sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain atau berlaku pada masa hadapan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)
Fuqaha empat mazhab sependapat sabit talaq dengan lafaz ta’liq. Hal ini kerana fuqaha berhujah berdasarkan dalil pensyariatan talaq secara mutlak merupakan hak suami sebagaimana firman Allah SWT:
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ
Maksudnya : “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.”
Surah al-Baqarah (229)
Ayat ini bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung (التنجيز) mahupun tidak langsung tergantung (التعليق). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/447)
Perkataan yang digunakan bagi pensyaratan ta’liq ialah jika, apabila, kalau dan seumpamanya. Sebagai contoh “Kamu tercerai sekiranya keluar daripada rumah ini”. (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/444)
Rasulullah SAW bersabda :
الْمُسْلِمُونَ عند شُرُوطِهِمْ
Maksudnya : “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
Riwayat al-Hakim (1352)
Implikasi talaq ta’liq:
- Tidak jatuh talaq selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
- Mereka kekal sebagai suami isteri selagi syarat yang dikaitkan dengan ta’liq tidak berlaku walaupun ia pasti berlaku “Apabila tiba bulan ramadhan engkau tercerai”
- Jatuh talaq apabila syarat yang berkaitan itu berlaku (Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (2/128)
Dalam bab “Syarat Dalam Talak” al-Syirazi menyatakan : Jika perceraian dikaitkan dengan syarat yang bukanlah suatu hal yang mustahil seperti masuk ke rumah atau datangnya bulan, maka ia tergantung pada menepati syarat tersebut. Jika syarat tersebut dipenuhi maka,berlakulah perceraian, dan jika syarat tersebut tidak terpenuhi,maka tidak berlakulah perceraian.(Lihat al-Muhazzab Fi Fiqh al-Imam al-Syafie,3/21)
Tarik Semula Lafaz Ta’liq
Fuqaha berselisih pendapat terhadap isu tarik semula lafaz ta’liq kepada beberapa pandangan berikut :
- Majoriti fuqaha mazhab berpendapat bahawa lafaz ta’liq tidak boleh dibatalkan apabila telah diucapkan, Hal ini kerana lafaz cerai bersyarat seolah suami telah melaksanakan lafaz talaq.
- Mazhab Hanbali berpendapat harus membatalkan atau menarik semula lafaz ta’liq. Hal tersebut berdasarkan qiyas (menyamakan) seseorang yang menyatakan kepada hambanya “ Apabila datang awal bulan, maka kamu dibebaskan” Maka, tuan mempunyai hak untuk menarik kembali pembebasan hambanya.(Lihat al-Furu,5/103 )
- Syeikh Ibn Taymiyyah berpendapat harus menarik semula lafaz ta’liq sekiranya akad itu adalah akad mua’wadhah (tukar ganti). Sebagai contoh lafaz seorag suami “Sekiranya kamu berikan aku seribu, maka kamu akan tertalaq”. Maka, suami berhak merujuk semula ( tarik semula) selagi isteri tidak memberikannya seribu. (Lihat: al-Syarh al-Mumti’ (13/ 127- 129)
Kembali kepada persoalan di atas,kami menyatakan bahawa sabit talaq dengan lafaz ta’liq apabila berlaku perkara yang disyaratkan dan tidak boleh ditarik balik berdasarkan pandangan majoriti fuqaha.Walaubagimanapun,kami berpandangan untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah satu usaha untuk membuktikan adakah si suami berniat untuk mentalakkan atau tidak.
Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.
Kami menutup dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H