#1653: Solat Sunat Nikah Selepas Asar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon pencerahan bolehkah solat sunat nikah selepas waktu Asar? Setahu saya tidak ada solat sunat selepas Asar.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan merupakan Sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-Quran dan Hadis, inilah fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempuna dan bahagia. Perkahwinan adalah suatu ibadah yang mempunyai tujuan-tujuan dan hikmahnya yang tertentu.

Berbalik kepada persoalan di atas, terdapat beberapa waktu yang dilarang untuk melaksanakan solat. Diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma, iaitu:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَشْرُقَ الشَّمْسُ، وَبَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ‏

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW, telah melarang dari melakukan solat (sunat) selepas solat subuh sehingga terbitnya matahari dan selepas solat asar sehingga terbenamnya matahari.

Riwayat Al-Bukhari (581)

Menurut Imam al-Nawawi, telah ijma’ bahawa dimakruhkan untuk melakukan solat yang tiada sebab untuk melakukannya pada waktu yang disebutkan di atas. Namun, solat sunat (nawafil) yang mana mempunyai sebab (untuk melakukannya) seperti solat tahiyyatul masjid, solat al-‘Eid, solat Jenazah, solat al-Kusuf, sujud tilawah dan syukur dan juga qadha’ solat fardu yang ditinggal, maka mazhab al-Syafi’e mengharuskan tanpa memakruhkannya. Adapun mazhab Abu Hanifah dan yang lainnya tidak membenarkan kerana termasuk dalam keumuman larangan hadis. (Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/110).

Solat Sunat Selepas Akad Nikah

Terdapat beberapa athar daripada perbuatan Sahabat yang menunjukkan kepada perbuatan solat sunat selepas akad nikah. Namun yang dimaksudkan di sini bukanlah dilakukan secara langsung selepas akad nikah, tetapi ianya dilakukan ketika mana mendatangi dan menemui si isteri di dalam bilik. Solat ini dilakukan bersama-sama yang mana si isteri menjadi makmumnya.

Hal ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya yang mana seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Abdullah bin Mas’ud RA lalu berkata:

إِنِّي تَزَوَّجْتُ جَارِيَةً شَابَّةً، وَإِنِّي أَخَافُ أَنْ تَفْرَكَنِي قَالَ: فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: إِنَّ الْإِلْفَ مِنَ اللَّهِ، وَالْفَرْكَ مِنَ الشَّيْطَانِ، يُرِيدُ أَنْ يُكَرِّهَ إِلَيْكُمْ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ، فَإِذَا أَتَتْكَ فَمُرْهَا أَنْ تُصَلِّيَ وَرَاءَكَ رَكْعَتَيْنِ.

Maksudnya:Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang hamba perempuan yang masih dara dan aku takut dia akan membenciku. Berkata Abdullah bin Mas’ud: “Sesungguhnya rasa kasih sayang serta kelembutan itu daripada Allah, dan kebencian itu daripada syaitan. Dia (syaitan) mahu menyemai rasa kebencian kepada kalian apa yang telah Allah halalkan. Sekiranya kamu mendatangi isterimu, arahkan dia untuk solat di belakangmu dua rakaat.”

 Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (17156)

Dalam sebuah athar yang lain diriwayatkan daripada Abu Sa’id maula Abu Usaid al-Ansari telah berkata:

تَزَوَّجْتُ وَأَنَا مَمْلُوكٌ ، فَدَعَوْتُ نَفَرًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ – صلى الله عليه وسلم – فِيهِمْ ابْنُ مَسْعُودٍ وَأَبُو ذَرٍّ وَحُذَيْفَةُ – رضي الله عنهم – فَعَلَّمُونِي فَقَالُوا: إذَا أُدْخِلَ عَلَيْكَ أَهْلُكَ فَصَلِّ عَلَيْكَ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ سَلْ اللهَ تَعَالَى مِنْ خَيْرِ مَا دَخَلَ عَلَيْكَ، وَتَعَوَّذْ بِهِ مِنْ شَرِّهِ، ثُمَّ شَأنَكَ وَشَأنَ أَهْلِكَ.

Maksudnya: “Aku telah berkahwin dan aku masih dalam keadaan seorang hamba yang dimiliki. Aku telah mengajak sebahagian sahabat Nabi SAW dan di kalangan yang hadir itu adalah Ibn Mas’ud, Abu Dzar dan Huzaifah R.Anhum. Mereka telah mengajarkanku dengan mengatakan: “Jika kamu masuk menemui isterimu, maka solatlah dua rakaat kemudian mintalah kepada Allah SWT kebaikan daripada isterimu dan mohonlah perlindungan daripada keburukan isterimu dan kemudian urusanmu dan juga isterimu.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (17153) 

Kesimpulan

 Justeru itu, melihat kepada nas athar di atas juga, ia adalah solat yang dilakukan di dalam bilik ketika si suami memasuki untuk bertemu, mendatangi si isteri dan bukannya dilakukan secara terbuka sejurus selepas nikah. Hal ini juga agar terjaga aurat isteri. Meskipun begitu, sekiranya tidak dilakukan, ianya juga dibolehkan.  Sebahagian ulama menggalakkan pelakuan solat sunat selepas nikah kerana hal ini amat baik dalam memukadimahkan pembinaan rumah tangga agar menjadi ‘Baiti Jannati’ (rumahku syurgaku). Oleh itu, dalam isu ini kami sarankan agar saudara solat sunat nikah bersama isteri, diluar waktu asar bagi keluar daripada khilaf. Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *