Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu mendengar orang bercakap pasal wara’. Boleh tolong jelaskan, apa maksud wara’ dan siapakah sebenarnya orang yang wara’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada al-Hasan bin Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ ، فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ ، وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya:Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan dan kegelisahan.

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 61)

Al-Munawi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan tinggalkanlah yang meragukan, iaitu ragu sama ada hal itu baik atau buruk, dan ragu sama ada ia adalah halal atau haram. Justeru pilihlah yang tidak meragukan, iaitu yang diyakini baik dan halalnya. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/529)

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa makna hadith adalah jika engkau ragu pada sesuatu, maka tinggalkanlah. Meninggalkan perkara yang masih ragu seperti ini termasuk dalam masalah wara’ yang cukup penting. (Lihat Fath al-Bari, 4/343)

Abu ‘Abd al-Rahman al-‘Umari berkata bahawa seseorang disebut wara’ jika dia meninggalkan apa yang meragukannya dan dia memilih yang yakin dan tidak meragukannya. (Lihat Kunuz Riyadh al-Salihin, 2/23)

Nabi SAW pernah menasihati Abu Hurairah:

كُنْ وَرِعًا تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ

Maksudnya: “Jadilah kamu seorang yang wara’, nescaya kamu menjadi manusia yang paling beribadah.”

Riwayat al-Tirmizi (2305), Ahmad (8095) dan Ibn Majah (4217). Hadis ini dinyatakan Sahih li Ghairihi dalam Sahih al-Targhib (1741)

Sebahagian daripada para Sahabat berkata:

كُنَّا نَدَعُ سَبْعِينَ بَابًا مِنَ الْحَلَالِ مَخَافَةَ أَنْ نَقَعَ فِي بَابٍ مِنَ الْحَرَامِ.

Maksudnya: “Kita telah meninggalkan tujuh puluh persoalan yang berkaitan dengan perkara yang halal kerana takut terkait dengan persoalan yang haram.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/25)

Daripada Abu Zar al-Ghifari berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya: “Daripada keelokan Islam seorang ialah meninggalkan sesuatu yang tiada kena mengena dengannya.”

Riwayat al-Tirmizi (2318), Ibn Majah (3976) dan Ahmad (1737). Syeikh Ahmad Syakir dalam takhrij al-Musnad (3/177) menyatakan isnadnya sahih.

Imam Malik menyebutkan bahawa seseorang berkata kepada Luqman al-Hakim: “Apa yang menjadikan engkau mencapai darjat yang kami saksikan sekarang?” Jawabnya: “Berkata benar, menunaikan amanah dan meninggalkan apa sahaja yang tidak berguna bagi diriku.” (Lihat al-Muwatta’, 2/990)

Al-Hasan al-Basri berkata: “Antara tanda-tanda Allah berpaling daripada seseorang ialah Allah menjadikan kesibukan pada perkara yang tidak berkenaan dengan dirinya.”

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam al-Ghazali berkata: “Batas perkara yang tidak berkaitan (مَا لَا يَعْنِي) adalah apabila kamu bercakap dengan perkara yang jikalau diam sekalipun kamu tidak berdosa, dan tidak pula memudaratkan satu urusan pun, juga tidak memudaratkan harta…dan semua ini jikalau pun selamat dari perbualan maksiat, namun ia mungkin jatuh dalam masalah-masalah lain yang telah kami nyatakan sebelum ini (iaitu riya’ dan lain-lain) (Lihat Tuhfatu al-Ahwazi, 6/500; al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/381)

Kami nukilkan juga di sini beberapa kalam ulama tasawuf berkenaan wara’ seperti berikut:

  • Al-Qusyairi menukilkan bahawa ustaz al-Imam berkata:

أَمَّا الْوَرَع فَإِنَّهُ ترك الشُّبهَات

Maksudnya: “Yang dimaksud wara’ adalah meninggalkan perkara-perkara yang syubhat.”

  • Ibrahim bin Adham berkata:

الْوَرَعُ تَرْكُ كُلِّ شُبْهَةٍ، وَتَرْكُ مَالَا يَعْنِيكَ هُوَ تَرْكُ الْفَضَلَاتِ

Maksudnya: “Yang dimaksud wara’ adalah meninggalkan segala perkara yang syubhah dan yang tidak pasti. Dan meninggalkan apa yang tiada kena mengena denganmu adalah meninggalkan apa yang lebih (daripada yang menjadi keperluan). (Lihat Madarij al-Salikin, 2/24)

  • Al-Syibli berkata:

الْوَرَعُ أَنْ تَتَوَرَّعَ عَنْ كُلِّ مَا سِوَى اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Wara’ ialah usaha untuk menghindarkan diri daripada pelbagai hal yang tidak berkaitan dengan Allah SWT.”

Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang wara’ dan sentiasa menjaga urusan halal dan haram dalam kehidupan harian kita. Amin.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply