#1691: Tinggal di Asrama Tempat Kerja: Bolehkah Jamak Qasar?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada sedikit kemusykilan agama berkaitan solat jamak qasar. Situasinya, saya telah menetap (bermastautin) di Ipoh, Perak. Saya dapat bertugas di tempat kerja baru di Sg. Buloh, Selangor yang jaraknya 177 km dari Ipoh dan buat sementara saya duduk di asrama yang disediakan oleh majikan, sementara mencari rumah sewa baru.

Soalan saya, bolehkah saya melakukan jamak qasar di tempat kerja/asrama/rumah sewa di Sg. Buloh, Selangor sekiranya saya berulang dari Ipoh-Sg. Buloh, pergi kerja pada hari Isnin, dan pulang semula ke Ipoh pada hari Jumaat (setiap minggu).

Kalau ikut kefahaman saya, jika tidak termasuk hari pergi dan balik, saya berada di Sg. Buloh adalah tiga hari. Dan saya memang bercadang untuk minta pertukaran kerja balik ke Ipoh satu hari nanti apabila telah cukup syarat pertukaran kerana keluarga saya (isteri dan anak-anak) berada di Ipoh serta telah beli rumah di Ipoh.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan terlebih dahulu dengan menjelaskan definisi mastautin dan mukim seperti berikut:

Maksud Mastautin

Orang yang bermastautin ialah orang yang tinggal di suatu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain. (Lihat Kamus Pelajar Edisi Kedua) Manakala Syeikh Ahmad bin Umar al-Syatiri mendefinisikan mastautin sebagai orang yang tidak bermusafir dari tempat yang mereka menetap (bermukim) pada musim panas atau sejuk melainkan ada keperluan seperti berniaga atau ziarah. (Lihat Nail al-Raja’ bi Syarhi Safinah al-Naja’, hlm. 157)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata: Bermastautin bermaksud tempat tinggal hakikinya. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/187)

Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff menyebut:

ضَابِطُ المُسْتَوْطِنِ هُوَ الذِّي لَا يَظْعَنُ {لَا يُسَافِرُ} صَيْفًا وَلَا شِتَاءً إِلَّا لِحَاجَةٍ

Maksudnya: “Batasan seseorang disebut mastautin adalah orang yang (menetap di suatu tempat), tidak bermusafir sama ada pada musim panas mahupun musim dingin, kecuali ada keperluan tertentu.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 324)

Justeru, secara ringkasnya, mastautin ialah orang yang tinggal di satu-satu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain walaupun dia lahir di tempat lain.

Maksud Muqim

Ibn Hajar al-Haitami menyebut: “Tidaklah dikira sebagai bermastautin bagi orang yang bermukim (menetap pada satu tempat) dengan berazam untuk pulang semula ke kota asalnya selepas suatu tempoh, walaupun selepas tempoh yang lama.” (Lihat al-Manhaj al-Qawim bi Syarh Masail al-Ta’lim, hlm 175)

Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff menyebut:

ضَابِطُ الْمُقِيْمِ هُوَ الَّذِي نَوىَ الإِقَامَةَ فِي بَلَدٍ أَرْبَعَةَ أَيَّامٍ فَأَكْثَرَ غَيْرَ يَوْمَيْ الدُّخُولِ وَالْخُرُوجِ وَفِي نِيَّتِهِ الرُّجُوْعُ لِوَطَنِهِ وَلَوْ بَعْدَ زَمَنٍ طَوِيْلٍ.

Maksudnya: “Batasan seseorang disebut muqim adalah orang niat menetap di suatu tempat selama tempoh empat hari atau lebih, selain hari ketika dia sampai dan hari ketika dia pulang, serta terdapat niat untuk kembali semula di tempat tinggalnya, meskipun setelah tempoh waktu yang lama.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 324)

Justeru, dapat difahami bahawa muqim (مقيم) bermaksud orang yang tinggal di suatu kawasan atau daerah dengan maksud untuk tempoh tertentu. Dia tidak berniat untuk kekal selama-lamanya di situ.

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hukumnya adalah tidak dibolehkan kerana dia sudah dianggap bermukim di kawasan tersebut. Ini adalah berdasarkan qarinah seperti dia mempunyai penempatan iaitu asrama yang disediakan oleh majikannya, dia bekerja mencari rezeki di kawasan tersebut dan dia juga ingin mencari rumah sewa bagi menetap di situ meskipun sementara.

Tetapi, dalam perjalanan pergi dan balik, maka dia dikira musafir. Maka, ketika itu, dia boleh melakukan solat Qasar dan Jamak.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

1 thoughts on “#1691: Tinggal di Asrama Tempat Kerja: Bolehkah Jamak Qasar?

  1. Mohd Fele Akmal says:

    Assalamualaikum Ustaz. Bagaimana jika bermukim dengan duduk hotel? Adakah terdapat beza antara hotel dan rumah sewa selama bermukim di kawasan tempat kerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *