Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah dakwat di jari untuk mengundi dibolehkan dalam Islam kerana khuatir tidak menyerap air. Pada waktu ayah saya mengundi, dakwatnya hilang sedikit-sedikit, tetapi kali ini boleh terkopek pula. Mohon pencerahan ustaz. Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Surah al-Ma’idah (6)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, antara syarat  sah solat adalah bersih dari sebarang sesuatu yang boleh menghalang air sampai ke kulit. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa:

وَلَوْ بَقِيَ عَلَى الْيَدِ وَغَيْرِهَا أَثَرُ الْحِنَّاءِ وَلَوْنُهُ دُونَ عَيْنِهِ أَوْ أثر دُهْنٍ مَائِعٍ بِحَيْثُ يَمَسُّ الْمَاءُ بَشَرَةَ الْعُضْوِ وَيَجْرِي عَلَيْهَا لَكِنْ لَا يَثْبُتُ صَحَّتْ طَهَارَتُهُ

Maksudnya: “Sekiranya berbaki pada tangan kesan inai dan warnanya tanpa ain fizikalnya, atau kesan minyak cair yang jika air menyentuh dan lalu atas organ itu nescaya tidak akan melekat; sahlah taharahnya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab,1/467-468)

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami:

وَلَوْ كَانَ عَلَى أَعْضَائِهِ أَثَرُ دُهْنٍ مَائِعٍ فَتَوَضَّأَ وَأَمَسَّ الْمَاءَ الْبَشَرَةَ وَجَرَى عَلَيْهَا وَلَمْ يَثْبُتْ صَحَّ وُضُوءُهُ؛ لِأَنَّ ثُبُوتَ الْمَاءِ لَيْسَ بِشَرْطٍ

Maksudnya: “Sekiranya pada anggotanya terdapat kesan minyak yang cair (tidak pejal) lalu dia berwudhuk kemudian air wudhuk itu menyentuh dan lalu di atas kawasan anggota yang berminyak itu, sekalipun tidak melekat (kerana sifat minyak yang tidak bercampur dengan air), sah wudhuknya. Ini kerana melekatnya air bukanlah syarat sah wudhuk.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani `ala al-Tuhfah, 1/187)

Begitu juga, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Penggunaan Dakwat Kekal (Indelible Ink) Dalam Proses Pengundian Oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

  1. Berdasarkan pembentangan laporan analisis kimia, taklimat dan penjelasan daripada Jabatan Kimia Malaysia serta penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), adalah didapati Dakwat Kekal (Indelible Ink) yang akan digunakan oleh SPR tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memberikan kesan mudharat dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit (telap air) apabila digunakan.
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dari aspek syarak penggunaan Dakwat Kekal (Indelible Ink) tersebut adalah harus dan dibenarkan kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam. Keputusan ini hanya tertakluk kepada bahan yang telah dikemukakan oleh SPR dan diuji oleh Jabatan Kimia Malaysia sahaja”.

Justeru itu, kami nyatakan bahawa dalam isu ini harus dan sah hukumnya apabila seseorang itu berwuduk atau mandi wajib dalam keadaan ink di jarinya masih ada. Ini kerana dakwat tersebut tidak menghalang dari sampai ke kulit. Namun, sebaiknya kita cuba hilangkan sekadar yang mampu agar dakwat tersebut cepat hilang dan dapat mengelakkan sifat was-was. Isu ink berbeza pada setiap pilihanraya adalah isu yang sering berlegar dalam masyarakat. Namun, ianya penambahbaikan yang dilakukan oleh pihak SPR bagi mengelakkan unsur-unsur penipuan atau helah semasa proses pengundian dijalankan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply