Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah saya membuat susu badan saya yang berlebihan sebagai sabun? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً نُسْقِيكُمْ مِمَّا فِي بُطُونِهِ مِنْ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terhasil dari dalam perutnya, yang lahir daripada antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl: 66)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan bahawa sesungguhnya pada haiwan-haiwan ternakan itu yang mana Allah SWT telah tundukkan (sediakan) buat manfaat kamu semua, ada sesuatu yang boleh kamu ambil pelajaran daripadanya iaitu ia menunjukan kepada kesempurnaan kekuasaan Allah serta luasnya belas kasihan-Nya. Bila mana Dia telah memberi kamu minum apa yang terhasil daripada dalam perut haiwan-haiwan tersebut yang terdiri daripada kotoran dan darah. Dia telah keluarkan daripada antara kedua-dua perkara tersebut, susu yang bersih daripada apa-apa yang mengeruhkannya (tidak bercampur dengan apa-apa selainnya), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya kerana kelazatannya. Juga kerana ia menghilangkan dahaga serta mengenyangkan. Tidaklah perkara-perkara ini (terjadi) melainkan dengan kekuasaan Allah SWT, bukan semata-mata tabiat semula jadi. Apakah ada sesuatu yang secara tabiat semula jadinya boleh menukarkan kotoran yang dimakan oleh haiwan-haiwan serta minuman yang diminumnya yang terdiri daripada air tawar dan masin menjadi susu yang bersih (daripada sebarang anasir-anasir lain), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 443).

Kesucian susu ibu

Secara umumnya, susu badan atau susu ibu adalah suci. Berkenaan kesucian susu badan atau susu ibu itu, Mengenai kesucian susu ibu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa susu badan adalah suci menurut mazhab al-Syafi‘i dan ia adalah pendapat yang diputuskan oleh para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) kecuali pengarang kitab al-Hawi kerana beliau telah menukilkan satu pendapat daripada al-Anmati yang merupakan salah seorang daripada ulama mazhab Syafi‘i yang menyatakan, susu badan adalah najis, dan ia halal diminum oleh kanak-kanak kerana darurat (keadaan terpaksa). Sebenarnya pendapat ini tiada apa-apa nilai, bahkan jelas kesilapannya. Akan tetapi beliau telah menukilkan pendapat seperti ini bertujuan supaya berhati-hati daripada ditipu dengannya (pendapat tersebut). Sesungguhnya Syeikh Abu Hamid telah menukilkan bahawa kaum Muslimin telah menyatakan ijma’ akan kesucian susu badan. Al-Ruyani menyebutkan, sekiranya kita berpendapat mengikut pendapat mazhab (al-Syafi‘i) bahawa manusia itu tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Jadi, apabila seorang wanita itu mati dan di dalam buah dadanya itu ada susu. Maka, susu tersebut adalah suci serta diharuskan untuk meminumnya dan dijual. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/569).

Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyatakan bahawa susu haiwan yang dimakan dagingnya seperti susu kuda, sekalipun ia telah melahirkan baghal adalah suci. Firman Allah SWT:

لَّبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِّلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “(iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl: 66)

Kemudian beliau menambah, demikianlah juga susu manusia kerana tidak sesuai dengan kemuliaannya untuk dikatakan ia berasal (sumber) daripada najis. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/234). Begitu juga al-Mardawi turut menyatakan bahawa susu manusia dan susu haiwan yang dimakan adalah suci secara sepakat para ulama (tanpa perselisihan). (Lihat al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 1/343).

Membuat Sabun daripada Susu Ibu

Pada asalnya membuat sabun daripada susu atau bahan yang suci seperti susu kambing dan lembu adalah diharuskan. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal pada sesuatu itu adalah harus sehingga terdapatnya dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya.

Tidak dapat dinafikan bahawa perbincangan dan perbahasan mengenai susu ibu banyak berkisar Sekalipun begitu, kami berpendapat sebaik-baiknya tidak menjadikan susu ibu sebagai sabun.

Maqasid atau tujuan dijadikan susu ibu itu adalah sebagai minuman kepada bayi dan kanak-kanak. Ini adalah sebagaimana mafhum daripada firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya:Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa hukum-hukum ini telah ditetapkan oleh syarak bertujuan menjaga dan melindungi anak-anak supaya dapat terus hidup serta menjamin masa depannya. Sesiapa yang berpaling daripada hukum ini, maka dia telah berdosa dan mendapat hukumannya di hari akhirat kerana agama Islam itu adalah rahmat bagi seluruh alam, tidak kira yang masih kecil atau dewasa. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/130).

Maka, susu ibu itu sepatutnya diberikan kepada bayi atau anak-anak sebagai minuman kepada mereka dalam memastikan pertumbuhan dan tumbesaran mereka dengan baik, bukannya digunakan untuk perkara yang lain. Tidak dapat dinafikan susu ibu merupakan susu yang paling baik untuk bayi dalam membekalkan nutrien yang terbaik buat mereka, di samping menguatkan sistem imuniti bayi dan melindungi mereka daripada jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis, radang paru-paru dan lain-lain.[1]

Apatah lagi sabun biasanya digunakan untuk membersihkan dan menyucikan badan daripada kotoran dan najis. Sedangkan kedudukan manusia itu tinggi di sisi Allah SWT berbanding makhluk yang lain, jadi semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia yang suci perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci dan membersihkan kotoran. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

(Surah al-Isra’: 70)

Justeru, perkara ini bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai‘ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu serta merendah-rendahkan kemuliaan seorang manusia.

Di samping itu, sabun termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyyat (keperluan) atau dharurah (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang Allah SWT sediakan buat manusia untuk diambil manfaat daripadanya selain susu ibu untuk dijadikan sebagai sabun seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.  Firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499).

Selain daripada itu, hal ini juga termasuk dalam larangan yang telah ditetapkan di dalam Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia yang menyatakan bahawa semua bahan-bahan yang tersenarai di dalam Annex II tidak boleh digunakan bagi menghasilkan produk kosmetik. (Lihat Guidelines for Control of Cosmetic Product in Malaysia, Bhg. Cosmetic Ingredients, hlm. 10). Antara bahan-bahan terlarang yang telah disenaraikan di dalam Jadual Annexe II Part I ialah sel, tisu atau sebarang bahan yang berasal daripada manusia. Oleh itu, susu ibu adalah termasuk di dalam larangan tersebut dan sabun adalah merupakan salah satu daripada produk kosmetik.

Selain itu, larangan ini juga adalah selaras sebagaimana keputusan mesyuarat panel pakar syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke-86 yang tidak membenarkan penggunaan susu ibu sebagai bahan kosmetik termasuk dalam penyediaan sabun.  Keputusan itu juga adalah dengan mengambil kira dasar Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) Kementerian Kesihatan yang menetapkan susu ibu atau sebarang bahan berasal daripada manusia tidak boleh digunakan dalam penghasilan produk kosmetik termasuk dalam penyediaan sabun.[2]

Pada kesempatan ini, kami juga ingin menasihati semua wanita yang mempunyai lebihan susu yang selamat daripada penyakit atau kesan ubat-ubatan yang diambil sebelum susu diperah adalah lebih baik sekiranya dia boleh mencari anak susuan yang benar-benar memerlukan susu ibu untuk diberikan. Moga-moga ia boleh menjadi salah satu amal kebaikan yang diterima oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/kebaikan-susu-ibu/. Diakses pada 3 Februari 2022.

[2] Lihat Facebook Berita Harian Online bertarikh 25 Julai 2014 (https://bit.ly/3OEjSsp)

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply