Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kalau saya terbeli sikat daripada bulu babi, wajib ke sertu sarung bantal, cadar, tudung dan lain-lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Allah SWT mengharamkan umat Islam untuk memanfaatkan apa sahaja bahan yang diambil daripada babi. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).

(Surah al-Maidah: 3)

Menurut Ibn Kathir, bahawa yang dimaksudkan dengan daging khinzir tersebut adalah secara umum (aghlabiyyah), bahkan ia juga termasuk kesemua anggota khinzir hatta lemaknya sekalipun. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/36)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77)

Selain itu, dalam satu hadith Nabi SAW, daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ الله وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ الله، أَرَأَيْتَ شُحُومَ الْمَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الْجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ، فَقَالَ: لَا هُوَ حَرَامٌ، ثُمَّ قَالَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ الله الْيَهُودَ إِنَّ الله لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا، جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT dan rasul-Nya telah mengharamkan jual-beli arak, bangkai, khinzir dan patung berhala. Lalu ditanya kepada Rasulullah SAW, “Adakah kamu tahu bahawa lemak daripada bangkai haiwan tersebut, sedangkan ia digunakan untuk mengecat kapal-kapal dan kulit binatang serta digunakan oleh manusia. Maka Rasulullah SAW menjawab, “Bahkan, ia tetap haram.” Kemudian, Rasulullah SAW bersabda pada ketika tersebut, “Semoga Allah SWT menghancurkan golongan Yahudi. Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan lemak haiwan tersebut, namun mereka memperelokkannya dan menjualnya serta mengambil keuntungan daripadanya!”

Riwayat al-Bukhari (2082) dan Muslim (2960)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Jumhur (majoriti) ulama menyatakan, sebab (‘illah) timbulnya larangan menjual bangkai, khamar dan babi adalah kerana keberadaannya yang najis. Akan tetapi, pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki menyatakan bahawa babi adalah suci. (Lihat Fath al-Bari, 12/425)

Apabila babi itu najis, maka demikian juga bulunya. Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, dinyatakan:

ذَهَبَ الْجُمْهُورُ إِلَى نَجَاسَةِ شَعْرِ الْخِنْزِيرِ فَلاَ يَجُوزُ اسْتِعْمَالُهُ لأَنَّهُ اسْتِعْمَالٌ لِلْعَيْنِ النَّجِسَةِ.

Maksudnya: “Jumhur ulama’ menyatakan najisnya bulu babi. Maka tidak boleh memakainya kerana najis ‘ainiyyah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 20/35)

Ibn ‘Abidin berkata: Menurut Imam Abu Yusuf, yang merupakan riwayat yang kuat dalam mazhab Hanafi, bulu babi dianggap kotor dan tidak suci. Inilah yang dipilih oleh al-Kasani dalam al-Bada’i‘ dan al-Musili dalam al-Ikhtiyar. Justeru, jika seseorang solat dengan bulu babi lebih daripada satu dirham, maka solatnya tidak sah. (Lihat Radd al-Mukhtar, 1/206)

Seperti yang dinyatakan di atas, bahawa terdapat pendapat yang menyatakan bahawa babi tidak najis. Ini merupakan pendapat mazhab Maliki. Dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah:

وَذَهَبَ الْمَالِكِيَّةُ إِلَى طَهَارَةِ شَعْرِ الْخِنْزِيرِ

Maksudnya: “Mazhab Malik menyatakan bahawa bulu babi itu adalah suci.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 20/35)

 

Penutup

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hukumnya adalah dimaafkan. Hal ini sepertimana disebut dalam firman Allah SWT:

عَفَا اللَّـهُ عَمَّا سَلَفَ

Maksudnya: “Allah maafkan apa yang telah lalu.”

(Surah al-Maidah: 95)

Ibn Kathir berkata: Allah memaafkan apa yang telah lalu pada masa Jahiliyah bagi orang yang berbuat baik dalam Islam, mengikuti Syariat Allah, serta tidak melakukan perbuatan maksiat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/661)

Namun, sikat yang telah dibeli itu memang tidak boleh digunakan lagi kerana sifatnya daripada unsur babi yang diharamkan penggunaannya sepertimana yang telah dijelaskan di atas.

Kami berpendapat, isu seperti ini eloklah kita taqlidkan kepada mazhab Maliki agar tidak datang kepada kita rasa syak dan ragu, yang berpanjangan sehingga sentiasa dalam keadaan tidak yakin. Hal ini menjadikan kita sentiasa berada dalam kebersalahan dan sukar untuk menentukan di mana permulaannya dan ke mana kesudahannnya isu penggunaan sikat dari khinzir ini. Ia sudah tentu akan meletihkan. Maka, pakailah kaedah yang berdasarkan hadith daripada al-Hasan bin Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ

Maksudnya:Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 61)

Akhir kalam, semoga Allah ampuni dosa kita dan sentiasa memandu kita ke arah yang terbaik dalam melayari bahtera kehidupan sehingga mengenali yang benar itu benar dan yang batil itu batil.

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply