Soalan: 

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum Dato Seri, apa hukum mengebumikan jenazah seorang Muslim di dalam kawasan tanah perkuburan orang bukan Islam? Adakah hal ini dibolehkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat larangan untuk menguburkan jenazah Muslim di kawasan perkuburan non-Muslim. Dalam hadith daripada Basyir al-Khasasiyyah R.A, katanya:

كُنْتُ أَمْشِي مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَرَّ عَلَى قُبُورِ الْمُسْلِمِينَ فَقَالَ ‏:‏ لَقَدْ سَبَقَ هَؤُلاَءِ شَرًّا كَثِيرًا‏.‏ ثُمَّ مَرَّ عَلَى قُبُورِ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ :‏ لَقَدْ سَبَقَ هَؤُلاَءِ خَيْرًا كَثِيرًا ‏‏.‏

Maksudnya: “Aku berjalan bersama Rasulullah SAW, lalu Baginda melalui kubur umat Islam, Baginda pun bersabda: “Mereka telah mendahului (iaitu mati sebelum berlaku) keburukan (fitnah) yang banyak.” Kemudian Baginda melalui kubur orang Musyrik, Baginda bersabda: “Mereka telah mendahului (iaitu mati sebelum menemui) kebaikan yang banyak.”

Riwayat al-Nasa’i (2048)

Hadith ini menjadi dalil bahawa kubur umat Islam dan yang bukan Islam perlu diasingkan. Imam al-Nawawi berkata:

اتَّفَقَ أَصْحَابُنَا رَحِمَهُمْ اللَّهُ عَلَى أَنَّهُ لَا يُدْفَنُ مُسْلِمٌ فِي مَقْبَرَةِ كُفَّارٍ، وَلَا كَافِرٌ فِي مَقْبَرَةِ مُسْلِمِينَ

Maksudnya:Ulama’-ulama’ kami bersepakat bahawa tidak boleh dikebumikan jenazah Muslim di tanah perkuburan bukan Muslim, begitu juga tidak boleh dikebumikan jenazah kafir di perkuburan Muslim.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/285)

Disebut juga dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah: Para fuqaha’ bersepakat bahawa diharamkan mengebumikan jenazah muslim di perkuburan orang kafir, dan begitu juga sebaliknya, melainkan jika ada darurat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 21/19)

Fatwa al-Lajnah al-Da’imah menyatakan:

لا يجوز للمسلمين أن يدفنوا مسلما في مقابر الكافرين لأن عمل أهل الإسلام من عهد النبي صلى الله عليه وسلم والخلفاء الراشدين ومن بعدهم مستمر على إفراد مقابر المسلمين عن مقابر الكافرين وعدم دفن مسلم مع مشرك فكان هذا إجماعا عمليا على إفراد مقابر المسلمين عن مقابر الكافرين

Maksudnya:Tidak dibenarkan mengebumikan jenazah Muslim di perkuburan bukan Muslim kerana apa yang diamalkan oleh umat Islam sejak zaman Nabi SAW, al-Khulafa’ al-Rasyidin, dan golongan selepas mereka di mana semuanya berterusan mengasingkan kubur Muslim daripada kubur bukan Muslim, dan tidak dikebumikan Muslim bersama orang Musyrik. Ini merupakan ijma’ secara amali untuk mengasingkan kubur umat Islam daripada kubur bukan Islam.” (Lihat Fatawa Islamiyyah, 2/36)

Justeru, kami nyatakan bahawa tidak boleh dikebumikan jenazah Muslim di perkuburan bukan Muslim.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply