#1724: Penggunaan Wise Card

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mohon pandangan, adakah dalam Islam dibenarkan penggunaan Kad Wise? Kita perlu masukkan duit dalam kad tersebut, dan memilih jenis mata wang mengikut negara yang kita mahu, kemudian purchasing instant berdasarkan jumlah duit yang telah dimasukkan sahaja. Lebih kurang kad debit tetapi boleh pilih mata wang yang kita mahu mengikut negara yang kita pergi.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pertamanya, kami mulakan terlebih dahulu dengan sedikit pengenalan mengenai Wise. Ia dahulunya dikenali sebagai Transfer Wise, iaitu sebuah institusi e-money yang menawarkan tukaran mata wang kos rendah, pembayaran antarabangsa, dan akaun berbilang mata wang yang didatangkan bersama kad debit antarabangsa. Kad ini membolehkan seseorang berbelanja dan membuat pengeluaran di lebih 175 negara, dalam lebih 150 mata wang.

Wise Card juga menggunakan mid-market exchange rate (kadar tukaran wang pasaran pertengahan) tanpa sebarang markup atau margin, serta tiada caj tersembunyi dikenakan. Selain itu, terdapat 2 caj lain dinyatakan secara jelas oleh pihak Wise:

  • Fixed fee (tetap): Merangkumi kos tetap berkenaan transaksi tersebut. Untuk mata wang utama dunia, caj tetap ini adalah antara RM 1.80 – RM 2.40
  • Variable fee (berubah): Merangkumi kos tukaran wang asing. Untuk mata wang utama dunia, caj yang dikenakan adalah sekitar 0.5% ke 0.6% daripada jumlah transfer.

Wise Card juga menggunakan teknologi tukaran wang secara automatik ketika pengguna kad membuat pembayaran di luar negara. Bermaksud, tukaran tersebut berlaku secara terus (التَقَابُضُ) tanpa menunda penukaran wang tersebut hingga tempoh tertentu.[1]

 

Hukum Penggunaan Wise Card

Pada zahirnya, Wise Card menyerupai kad debit, di mana seseorang mempunyai akaun bank tertentu dan kemudiannya menggunakan kad debit bank tersebut untuk melakukan transaksi pembayaran, menggunakan jumlah wang yang terdapat di dalam baki akaun bank sahaja.

Kata Syeikh Bakr bin Abdullah Abu Zaid bahawa hukum asal muamalat dengan penggunaan kad adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku sebarang kezaliman atau mudharat kepada kedua-dua pihak, atau kepada salah satu pihak. (Lihat Bitaqah al-I’timan, hlm. 20)

Diriwayatkan di dalam sebuah hadith qudsi daripada Abu Zarr al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman:

يَا عِبَادِي إنِّيِ حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا

Maksudnya: “Wahai hamba-hambaku, sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriku kezaliman, dan aku mengharamkannya di kalangan kalian, maka janganlah berbuat zalim.”

Riwayat Muslim (2577)

Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma katanya, Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)

Dr Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa hukum menggunakan kad Debit adalah dibenarkan jika terdapat padanya syarat-syarat tersebut:

  • Pemilik kad mengeluarkan duit menggunakan kad debit tersebut daripada akaun simpanannya sahaja.
  • Tidak dikenakan caj tambahan (riba) kepada pemilik kad ketika mengeluarkan wang simpanannya.
  • Dibolehkan juga untuk dia mengeluarkan lebih daripada wang simpanannya (seperti pinjaman), jika pihak bank membenarkan perkara tersebut tanpa menetapkan sebarang caj tambahan.

(Lihat al-Mu’amalat al-Maliyyah al-Mu‘asirah, hlm. 540)

Jika terdapat unsur riba, maka hukumnya adalah haram. Pengharaman ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Adapun tukaran mata wang yang berlaku secara terus di dalam akaun apabila Wise Card tersebut digunakan di negara lain, perlu diteliti terlebih dahulu kerana mata wang termasuk di dalam kategori item ribawi.

Pertukaran matawang termasuklah dalam kategori item riba Fadhl, ia boleh diqiaskan dengan emas dan perak yang mempunyai nilai padanya, dan digunakan sebagai item pertukaran ketika akad jual beli. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa riba Fadhl merujuk kepada riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantiti, sedangkan kedua-duanya daripada jenis item yang sama. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/363)

Diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ،

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh).”

Riwayat Muslim (1587)

Berdasarkan hadith di atas juga, para fuqaha’ mengeluarkan beberapa syarat bagi membolehkan jual beli barangan yang sama berlaku secara sah menurut syara‘:

  1. Mestilah sama kuantiti (التَمَاثُلُ).
  2. Mestilah berlaku penerimaan (التَقَابُضُ), tanpa tangguhan.

Akan tetapi, setiap negara menggunakan jenis mata wang yang berbeza, maka nilai mata wang bagi setiap negara juga adalah berbeza. Oleh yang demikian, tidaklah disyaratkan kuantiti yang sama semasa membuat tukaran mata wang asing mengikut mid-market exchange rate (kadar tukaran wang pasaran pertengahan).

Disebutkan di dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah bahawa jual beli seperti tukaran mata wang ini adalah dibolehkan dengan syarat berlakunya penerimaan (التَقَابُضُ) tanpa tangguhan ketika akad jual beli. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 11/97)

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A

فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya: “Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara tunai (taqabudh).”

Riwayat Muslim (1587), al-Tirmizi (1240), al-Nasa’ie (4579), dan Abu Dawud (3349)

 

Kesimpulan

Selepas meneliti perincian mengenai Wise Card, dan memahami perbahasan yang dibincangkan berkenaan penggunaan kad debit dan urusniaga tukaran mata wang, kami katakan bahawa hukum penggunaan Wise Card adalah diharuskan selagi mana tidak mempunyai unsur riba ataupun gharar (ketidakpastian).

Jika kadar tukaran adalah jelas, dan semua pengguna kad tersebut dapat mgetahui jika berlakunya kenaikan kadar tukaran atau pengurangannya, maka tiada lagi isu gharar yang berlaku.

Tukaran wang yang berlaku mengikut mid-market exchange rate (kadar tukaran wang pasaran pertengahan) adalah secara taqabudh, maka urusniaga yang berlaku ini telah pun menepati syarat tunai (يَدًا بيَدٍ) yang disebutkan seperti di dalam hadith Ubadah bin al-Samit R.A.

Wallahua‘lam

 

[1] Lihat https://wise.com/ms-my/blog/cara-guna-wise-malaysia#cara-guna-kad-wise-di-malaysia. Disemak pada 22 Mei 2023.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *