Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya, saya nak mengerjakan ibadah umrah. 4 hari sebelum bertolak ke Madinah saya telah datang haid, sebelum itu saya telah mendapatkan nasihat doktor untuk mendapatkan ubat bagi lambatkan haid saya. Isunya, sebelum pergi, darah telah keluar sedikit, tetapi saya masih makan ubat. Sekiranya darah berhenti, adakah tempoh haid saya dikira telah habis? Kemudian sekiranya selepas saya kembali ke Malaysia, tiba-tiba darah keluar semula, adakah itu masih dikira darah haid atau bukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara keistimewaan kaum hawa adalah haid. Ia adalah kitaran normal bagi setiap perempuan apabila sudah mencapai umur akil baligh. Nabi SAW bersabda:

إِنَّ هَذَا شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ

Maksudnya: “Ini (kitaran haid) adalah sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan bagi anak cucu perempuan Adam.”

Riwayat Muslim (2976)

Pada asasnya, organ reproduktif wanita tidak seperti lelaki mengalami perubahan berkala setiap bulan, bagi persediaan kepada proses persenyawaan dan kehamilan. Haid ialah campuran darah bersama-sama bahan daripada lapisan dalaman rahim yang luruh apabila persenyawaan tidak berlaku. Kitaran haid adalah merujuk kepada perubahan berkala berlaku kepada rahim dan ovari bagi tujuan reproduktif (pembiakan). Bila haid berlaku secara berkala setiap bulan, ia dipanggil kitaran haid. Jangkamasa kitaran ini dikira dari hari pertama perdarahan haid hingga ke hari pertama haid yang akan datang. Jangkamasa kitaran haid wanita berbeza antara seorang wanita dengan seorang wanita yang lain diantara 25 – 35 hari, dimana puratanya adalah 28 hari. Biasanya tempoh perdarahan ini berlaku selama lebih kurang 2-8 hari. Kitaran haid ini dikawal oleh perubahan hormon yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari di otak dan juga ovari.

Bagi mereka yang datang haid, tidak dibenarkan untuk melakukan beberapa perkara yang biasa dilakukan ketika suci.  Perkara yang dilarang dilakukan ketika haid ialah :

  • Menunaikan solat sama ada solat fardu atau solat sunat
  • Tawaf
  • Memegang mushaf Al-Quran
  • Duduk di ruangan masjid
  • Membaca Al-Quran
  • Puasa
  • Melintasi masjid jika takut mengotorkan masjid
  • Bergaul bersama suami (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, hlm. 172-175)

Dalam mazhab al-Syafi’i, waktu minimum haid adalah sehari semalam. Inilah yang difatwakan oleh Imam al-Syafi’I dalam al-Umm dan dipegang oleh para ashab. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/376)

Menurut Syeikh Zakariyya al-Ansari, pengertian tempoh sehari semalam itu adalah 24 jam. Kata beliau dalam kitabnya, “Kadar siang dan malam itu adalah 24 jam.” (Lihat Manhaj al-Tullab, 1/99)

Hukum Mengambil Ubat Penahan Haid

Imam al-Buhuti berpendapat bahawa seorang perempuan boleh mengambil ubat-ubatan yang harus hukumnya bagi menghentikan haid selama mana ia selamat daripada sebarang kemudaratan. (Lihat Kasyaf al-Qina‘, 1/218)

Di samping itu, Ibn Hajar al-Haitami juga seolah-oleh memberi isyarat akan keharusan penggunaan ubat bagi perempuan untuk menahan haidnya, supaya dia dapat menyempurnakan ibadah hajinya dengan pergi melakukan tawaf ifadhah sekalipun darah haidnya kembali semula selepas musafir.  (Lihat Hasyiah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala Syarh al-Idhah fi Manasik al-Haj, hlm. 387-388)

Bekas Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz pernah ditanya mengenai penggunaan pil-pil pencegah haid bagi kaum perempuan, agar dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan. Beliau menjawab, tidak ada masalah (tidak mengapa) jika seseorang perempuan mengambil pil-pil bagi menahan haid mereka sehingga membolehkan mereka solat dan berpuasa bersama orang ramai — di bulan Ramadhan. Namun, dengan syarat perkara itu adalah selamat dan tidak memudaratkannya. Begitu juga, hal itu mestilah setelah berbincang dan mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan, serta mendapat persetujuan daripada pihak suami (yakni bagi yang sudah berkahwin), supaya ia tidak memudaratkan dirinya, mahupun menyebabkannya berdosa ke atas suaminya — jika suaminya tidak bersetuju.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga pernah ditanya berkenaan perkara ini. Beliau berpendapat bahawa sebaik-baiknya wanita itu mengikut sifat kejadian semula jadinya. Haid adalah sesuatu yang tabi‘i dan tidak dapat dielakkan. Ia datang daripada Allah. Sekiranya wanita itu hendak memakan ubat bagi melewatkan haidnya agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadan, hukumnya tidak mengapa, dengan syarat ubat itu tidak memudaratkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat daripada pakar, atau doktor mengenai ubat itu sehingga dapat dipastikan bahawa menelan pil-pil itu tidak memberikan sebarang mudarat. Apabila sudah dipastikan perkara tersebut dan mereka menelan pil itu. Lalu kedatangan haid mereka dapat dilewatkan dan membolehkan mereka untuk berpuasa — genap sebulan Ramadhan. Maka, puasa-puasa mereka itu akan diterima Allah, insya-Allah.

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa beliau ditanya tentang wanita haid yang meminum ubat untuk menghentikan haidnya, sehingga dia dapat tawaf dan nafar, maka beliau mengizinkan.” (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab, 2/81)

Penggunaan pil pencegah haid bagi kaum perempuan adalah termasuk di dalam perkara-perkara keduniaan. Bahkan perkara tersebut membantu dan memudahkan lagi mereka dalam menyempurnakan beberapa ibadah seperti ibadah haji, umrah dan puasa. Dalam aspek hal-hal keduniaan, prinsip asasnya ialah hukum asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”  (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Selain itu, penggunaan pil itu juga dilihat bertepatan dengan seruan agama yang menginginkan kemudahan kepada penganut-penganutnya, agar dapat menyempurnakan ibadah mereka. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Walau bagaimanapun, sekiranya terbukti dari sudut perubatan bahawa penggunaan pil-pil seumpama ini akan memudaratkan penggunanya baik dari sudut jangka masa pendek atau panjang, maka hukumnya berubah daripada harus kepada haram. Hal ini adalah berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa apa yang di alami oleh saudari, iaitu darah haid yang terputus antara haid tersebut disebabkan oleh pil penahan haid boleh dianggap sebagai fatrah al-Naqa’. Maka amalan dan ibadah yang dilakukan dalam fatrah al-Naqa’ seperti tawaf, solat adalah sah. 

Dalam hal ini juga, tempoh keluar darah 24 jam itu boleh jadi secara berterusan, atau secara terputus-putus. Sekiranya seorang wanita itu keluar darah haid secara terputus-putus selama 4 hari, kemudian barulah cukup 24 jam, maka pada hari yang empat itu barulah dia dianggap berhaid 1 hari. Setelah itu, sekiranya darah terhenti sebelum datang kembali beberapa hari kemudian, tempoh berhenti darah itu, atau disebut tempoh naqa’, dianggap sebagai tempoh keluar darah haid mengikut pendapat yang muktamad. Manakala mengikut pendapat yang kedua dalam mazhab, tempoh naqa’ itu adalah suci dan menerima sahnya solat dan puasa yang dibuat pada waktu itu.

Selain itu, syarat darah yang terputus-putus itu keluar mestilah tidak melebihi 15 hari untuk dikira sebagai darah haid. Sekiranya lebih, maka keseluruhan darah itu adalah darah fasid, atau rosak, dan bukan darah haid. Oleh itu, apabila berlalunya 15 hari tanpa cukup 24 jam darah keluar, sama ada berterusan atau putus-putus, maka jika datang darah selepas 15 hari itu hendaklah dianggap permulaan keluar darah.

Di samping itu, terdapat syarat-syarat untuk menjadikan tempoh naqa’ sebagai waktu haid, iaitu:

  • Tempoh naqa’ tidak melebihi 15 hari bersama dengan darah haid.
  • Tempoh naqa’ itu hendaklah termasuk dalam himpunan tempoh haid yang tidak kurang daripada sehari semalam.
  • Tempoh naqa’ itu mesti lebih daripada fatrah yang adat. Fatrah bermaksud waktu darah tidak keluar, tetapi jika dimasukkan kapas ke bahagian faraj akan ada kesan darah. Waktu fatrah adalah haid tanpa khilaf ulama’. (Lihat Tuhfah al-A`izza’, hlm. 92)

Hal ini kerana dalam isu fatrah al-Naqa’ terdapat dua pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Pertamanya, pendapat al-Sahb — dan ini merupakan pendapat yang muktamad — iaitu fatrah al-Naqa’ (tempoh faraj bersih daripada darah) yang berada pada waktu selang antara keluarnya darah haid, yang di dalam tempoh 15 hari, juga dianggap sebagai haid kerana kerana adat kebiasaan haid seorang wanita boleh berubah. Manakala darah yang keluar melebihi 15 hari dianggap sebagai darah istihadhah. Manakala pendapat kedua pula, yakni pendapat al-Laqt, iaitu menganggap fatrah al-Naqa’ itu sebagai waktu suci. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 166)

Oleh itu, pendapat kedua ini menatijahkan bahawa amalan puasa, solat dan tawaf yang dilakukan dalam tempoh tersebut adalah sah. Inilah juga pendapat yang banyak difatwakan oleh ramai ulama kontemporari, apabila melibatkan perlaksanaan ibadah haji dan umrah yang terikat dengan kemampuan ekonomi dari segi bebanan kewangan kerana tambahan perbelanjaan, peningkatan kos hotel, kos pengangkutan seperti tambang tiket kapal terbang atau bas, visa dan kebersamaan dengan rombongan.

Dalam Resolusi Muzakarah Haji Kebangsaan kali ke-35 yang diadakan pada 9-11 November 2018 memutuskan bahawa tempoh al-Naqa’ ditentukan berdasarkan pengalaman, realiti dan kebiasaan fatrah al-Naqa’ yang dialami oleh seseorang individu jemaah haji wanita terbabit sebelumnya, dengan tidak menentukan tempoh masa tertentu dan syarat-syarat darah tidak keluar semasa melakukan tawaf. Dalam erti kata lain, wanita tersebut tidak perlu tidak perlu menunggu sehingga 24 jam fatrah al-Naqa’ untuk menyelesaikan ibadah tawaf, sebaliknya boleh terus dilaksanakan tawaf apabila wanita tersebut yakin dia boleh melaksanakan ibadat tawaf dalam tempoh al-Naqa’ tersebut. Jika wanita tersebut tidak mendapati darah setelah selesai melaksanakan tawaf, maka ibadah tawaf itu dianggap sah, meskipun jika beberapa ketika selepas itu darah kembali keluar berdasarkan pendapat al-Laqt tadi.

Namun begitu, sekiranya pada waktu darah saudari berhenti itu bukannya fatrah al-Naqa’, maka adalah lebih utama dan aula untuk ibadah saudari menjadi sah kerana saudari dikira berada dalam keadaan suci setelah saudari mandi wajib. Berdasarkan persoalan saudari di atas juga, darah yang tiba-tiba keluar ketika saudari kembali ke Malaysia itu juga dikira darah haid.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply