#1740: Ganti Puasa Untuk Bapa Yang Masih Hidup

Soalan:

Alhamdulilah saya sudah selesai puasa sunat 6 Syawal. Sekarang, puasa yang wajib saya ganti saya akan tunaikan, insyaAllah. Soalan saya, ayah saya ada meninggalkan puasa ketika bulan Ramadan yang lepas kerana keuzuran. Adakah saya boleh niat ganti puasa yang wajib ini ke atas saya dan ayah saya? Ataupun, saya asingkan puasa wajib ke atas saya dahulu dan kemudian ke atas ayah saya yang mewakilkan saya? Maksud saya yang akan ganti puasa tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan atas sebab-sebab tertentu, maka dia wajib mengqadakan puasanya itu mengikut bilangan hari yang dia tinggalkan. Firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Dan puasa itu tidak diwajibkan melainkan ke atas orang yang berkemampuan, sihat dan bermukim, adapun bagi orang bermusafir dan sakit yang kuat yang mana sekiranya mereka berpuasa boleh mendatangkan kesusahan, maka harus baginya untuk berbuka, dan ke atas mereka untuk mengganti puasa (yang telah ditinggalkan) pada waktu lain, kerana sakit dan musafir yang jauh perjalanan itu boleh mendatangkan kesusahan dan kesusahan itu boleh membawa kemudahan ”. (Lihat Tafsir al-Munir, 2/133).

Jika dia merupakan seorang yang memiliki uzur syarie, seperti sakit, lalu dia meninggalkan puasa Ramadhan dalam keadaan dia mampu untuk menggantikannya pada bila-bila waktu selepas Ramadhan, kemudian dia mati. Maka ke atas wali/warisnya untuk menunaikan puasa bagi pihak dia.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menceritakan:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا فَقَالَ:‏ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا ‏.‏ قَالَ: نَعَمْ ‏.‏ قَالَ ‏:‏ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku sudah wafat dan ke atasnya ada sebulan puasa yang perlu diqada, bolehkah aku menunaikannya bagi pihak beliau? Baginda SAW menjawab: Boleh. Adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat al-Bukhari (1953) dan Muslim (1184)

Wali bererti kaum kerabat dan keluarga. Perlu diperhatikan bahawa fidyah hanya dibayar jika seseorang yang meninggal sebelum sempat mengqadakan puasanya sedangkan dia mampu untuk berbuat sedemikian ketika hidup.

Puasa yang Ditinggalkan oleh Bapa Yang Masih Hidup

Berdasarkan persoalan di atas, diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka disempurnakan oleh warisnya.”

Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)

Imam al-Nawawi berkata: “Dalam masalah ini, Imam al-Syafi’i memiliki dua pendapat yang masyhur. Pendapat pertama yang paling masyhur adalah bahawa tidak boleh digantikan puasa untuk orang mati dan tidak sah puasa tersebut pada asalnya. Pendapat kedua pula dianjurkan (Mustahab) bagi walinya untuk berpuasa bagi si mati dan puasanya itu sah, dan dengan puasa ini menghapuskan dosa orang mati serta tidak perlu diberi makan (fidyah) pada orang lain. Pendapat yang kedua ini ialah pendapat yang sahih dan dipilih dan ia adalah pendapat yang disahkan oleh para ulama kami yang dalam kalangan ahli fiqh dan hadith sebagaimana hadith-hadith yang sahih dan yang jelas dalam hal ini.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/25)

Justeru, berdasarkan hadith di atas, jelas menunjukkan orang yang mati sahaja yang perlu digantikan puasa oleh walinya. Manakala bagi mereka yang hidup yang tidak mampu berpuasa disebabkan uzur syar’ie dan tidak mampu menggantikannya seumur hidupnya, maka dia perlu menggantikan puasa tersebut dengan membayar fidyah puasa.

Selain itu, para ulama membahagikan kaedah penentuan bilangan hari untuk puasa qada kepada dua; tahdidi dan taqribi. Tahdidi bererti menentukan dengan tepat bilangan hari yang ditinggalkan, manakala taqribi ialah menggunakan anggaran berapa hari yang ditinggalkan kerana seseorang itu lupa berapa hari puasa yang telah dia tinggalkan.

Guru kami, Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti menjelaskan kaedah penentuan secara taqribi ini ialah dengan bertanya kepada seseorang itu seperti ini: “Adakah telah tinggalkan 50 hari?” Dia menjawab: “Terlalu sedikit.” Ditanya lagi: “90 hari?” Dia menjawab: “Terlalu banyak”. Maka jumlah taqribinya ialah 75 hari. Berkenaan dengan fidyah, hendaklah seseorang itu berusaha mengqadakan puasanya setiap hari yang mungkin terlebih dahulu. Ini lebih bersifat ihtiyati (berhati-hati) dalam urusan agama berbanding terus membenarkan membayar fidyah sehingga mengabaikan tuntutan qada’.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tidak boleh menggantikan puasa bagi orang yang masih hidup yang tidak mampu berpuasa disebabkan uzur syar’ie seperti sakit tua, dan tidak mampu menggantikannya seumur hidupnya, maka dia perlu menggantikan puasa tersebut dengan membayar fidyah puasa. Tidak boleh gantikan puasa tersebut oleh anaknya dan walinya sekiranya dia masih hidup melainkan sekiranya dia sudah meninggal dunia.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *