Soalan:

Assalamualaikum ustaz, saya nak tanya, saya ada seluar yang kena pada anjing / jilatan anjing, lepas itu saye rendam dalam baldi dgn air atau sabun sahaja, saya tidak sertu pun seluar itu lagi tapi mak saya ambil seluar itu dan letak ke dalam mesin basuh sekali dengan seluar atau baju yang ada dalam mesin basuh. Lepas saya balik rumah tengok seluar tu dengan seluar atau baju yang ada dalam mesin basuh dah kering. Adakah saya perlu sertu semua seluar atau baju yang ada dalam mesin basuh atau sertu sekali mesin basuh? Bolehkah saya sertu tangan saya guna baldi yang saya rendam seluar yang kena jilatan anjing itu tadi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum kenajisan anjing. Ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, anjing bukanlah dianggap sebagai najis ‘ain, akan tetapi air lebihan yang diminumnya dan lembapannya adalah dikira sebagai najis. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Maliki pula berpendapat, anjing adalah suci ‘ain. Mereka berhujah bahawa hukum asal sesuatu itu adalah suci. Justeru, setiap haiwan yang hidup — sekalipun anjing dan babi — adalah suci, termasuklah peluhnya, air matanya, hingusnya dan air liurnya juga dihukumkan sebagai suci, kecuali apa-apa yang keluar dari haiwan itu berupa telur, hingus, air mata atau air liur selepas ia mati tanpa disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Maka, ketika itu ia dikira sebagai najis dan hukum ini hanya terpakai pada haiwan yang bangkainya dianggap najis. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula berpendapat, anjing adalah najis ‘ain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/129).

Menurut mazhab Syafi‘ie, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘ie, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.” 

Riwayat Muslim (279)

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Selain itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah iaitu najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40). 

Ibn Qudamah pula menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘ie. (Lihat al-Mughni, 1/73).

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Dawud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — iaitu semata-mata mematuhi perintah Allah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568)

Justeru, dalam hal ini, kami katakan sekiranya terjadi situasi yang mana pakaian yang terkena najis itu telah bercampur dengan pakaian yang terlalu banyak sehingga sukar untuk dikenal pasti pakaian mana yang telah bercampur dengan najis mughallazah itu, maka kami cadangkan supaya bertaqlid kepada mazhab Malik dalam isu ini. Hal ini kerana anjing dalam mazhab Malik dihukum sebagai suci ‘ain kerana hukum asal sesuatu itu adalah suci. 

Cadangan kami adalah kerana terdapatnya kesukaran untuk bertaqlid pada mazhab al-Syafi’i dalam keadaan seperti ini. Perkara seperti ini pernah disebut oleh Syeikh Abd al-Rahman Ba`lawi dalam kitab fatwanya, katanya: “Dibenarkan kepada seseorang yang beriltizam dengan mazhab al-Syafie untuk bertaqlid dengan mazhab lain, atau pendapat yang marjuh (lawan bagi rajih) dalam mazhab al-Syafie kerana keperluan, iaitu kerana akan berlaku kesukaran yang tidak tertanggung oleh adat. Adapun jika tiada kesukaran itu, maka haram bertaklid dengan mazhab lain atau pendapat marjuh, melainkan jika orang (mujtahid) yang ditaklid itu ialah seseorang yang berkeahlian untuk mentarjihkan pendapat dan orang yang bertaklid itu melihat dalilnya lebih rajih berbanding dalil imam mazhabnya.” (Lihat  Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 19)

Namun begitu, sekiranya saudara boleh mengenal pasti pakaian yang telah terkena najis mughallazah tersebut, maka sertulah pakaian-pakaian tersebut mengikut kemampuan saudara. Selain itu, pada masa akan datang, kami menasihati supaya saudara berhati-hati dalam menyucikan pakaian saudara yang terkena jilatan anjing ataupun najis mughallazah dengan cara disertu pakaian itu dengan cara basuhan yang di ajar dalam mazhab kita dan mengikut pendapat jumhur ulama’. 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply