Soalan:
Assalamualaikum ss Dr, berkenaan bermukim, alamat menetap dan bekerja adalah di Selangor, jika saya balik ke kampung halaman (Johor), adakah rumah saya di kampung halaman dikira mukim? Boleh ke saya solat jamak qasar semasa di kampung halaman saya? (Balik kampung tidak lebih 3 hari)
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”
(Surah al-Nisa’:101)
Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)
Ayat di atas menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya. Saidina Umar R.A pernah bertanyakan berkaitan perkara ini kepada Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW bersabda:
صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ ، فَاقْبَلُوا صَدَقَةَ اللَّهِ
Maksudnya: “Ia merupakan pemberian sedekah dengannya oleh Allah SWT, maka terimalah pemberian itu daripada Allah SWT.”
Riwayat Ibn Hibban (2739). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban (2739) menyatakan bahawa sanadnya sahih berdasarkan syarat imam Muslim.
Berkenaan jarak dua marhalah, terdapat beberapa pendapat, antaranya:
- Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan: dua marhalah itu adalah bersamaan 88.704 km. (Lihat al-Wajiz, 1/266).
- Syeikh Muhammad ‘Ali al-Sabuni pula menganggarkannya sebanyak 84 km. (Lihat al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar, hlm. 131)
- Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff, dua marhalah itu bersamaan lebih kurang 82 km dan lebih. (Lihat Taqrirat al-Sadidah, hlm. 315)
Justeru, jarak dua marhalah di dalam ukuran sekarang seperti disebutkan oleh para ulama di dalam kitab merupakan anggaran. Ukuran ini lebih kepada taqribi (anggaran), bukannya tahdidi (ketepatan).
Kesimpulan
Kami nyatakan hal ini dengan sebuah hadith al-Ala` bin al-Hadhrami R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ لِلْمُهَاجِرِ بَعْدَ الصَّدَرِ
Maksudnya: “Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji).”
Riwayat al-Bukhari (3933) dan Muslim (1352)
Abu Ishak al-Syirazi berkata: “Jika seorang musafir itu berniat mukim (menetap) empat hari selain hari masuk dan hari keluar maka jadilah sebagai seorang mukim, dan terhentilah rukhsah musafirnya kerana niatnya yang ingin menetap tiga hari tidak menjadikan orang yang musafir itu seorang yang mukim.” Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’ie, 1/195)
Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa alamat menetap dan bekerja adalah saudara di Selangor adalah tempat permukiman saudara dan saudara tidak boleh menjama’kan dan menqasarkan solat. Tetapi sekiranya saudara balik ke kampung halaman di Johor, maka rumah saudara di kampung halaman tidak dikira sebagai tempat pemukiman kerana saudara hanya menjadikannya sebagai tempat persinggahan saudara sahaja yang tidak melebihi tiga hari, bukannya tempat saudara tinggal secara tetap dalam tempoh yang lama. Maka dalam hal ini, saudara boleh solat secara jama’ dan qasar semasa saudara di kampung halaman saudara. Hal ini sekiranya rumah di kampung halaman saudara itu merupakan rumah ibu atau bapa saudara.
Namun begitu, jika sekiranya rumah di kampung saudara merupakan milik saudara, saudara telah masuk dalam kategori Sahib al-Baladain iaitu orang yang memiliki dua tempat tinggal yang berbeza. Justeru, saudara hanya berhak solat jama’ dan qasar hanya ketika dalam perjalanan sahaja.
Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H
Leave a Reply