Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak minta pandangan mengenai anak saya yang mendapat 7A dalam UPSRA darjah 6 di sekolah rendah agama. Saya berhajat mahu masukkan anak saya tingkatan 1 di sekolah menengah agama. Apakah beza sekolah menengah agama di Sri Permaisuri Cheras dan sekolah integrasi sains tahfiz?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Saya ucapkan tahniah atas kejayaan anak yang cemerlang dalam UPSRA baru-baru ini. Pertamanya, hendaklah saudara memahami keadaan anak anda dan kemampuannya, serta kecenderungan dengan lebih jelas agar dia belajar dengan apa yang dia minat kerana dia akan boleh pergi dengan lebih jauh dan tidak terbengkalai di tengah jalan.

Kami mulakan dengan menitip maksud dan makna ilmu serta erti sebenar ilmu itu sendiri. Ilmu yang dikehendaki dalam kehidupan kita amat banyak, tetapi ilmu berkaitan Ahkam Syar’iyyah antara yang utama. Ilmu itu terdiri daripada  tiga huruf (عِلْمُ) yang bermaksud pengetahuan atau makrifah. Ia merupakan salah satu daripada Nama dan Sifat Allah SWT. la ditakrifkan juga dengan maksud mengetahui dan mendapati sesuatu berbetulan mengikut hakikat yang sebenar. Itulah ilmu. Apakah hakikat ilmu itu? Lihatlah jawapan ulama:

Pertama

Imam Syafie berkata: “Seseorang itu tidak berhak berkata pada sesuatu perkara yang halal atau haram kecuali dengan ilmu. Sudut ilmu itu ialah:

  • Apa yang dinaskan dalam Kitabullah.
  • Atau dalam Sunnah. Atau dalam ljmak.
  • Jika tiada, maka Qias atas usul-usul ini, atau apa yang semakna dengannya.

Kedua:

Imam Muhammad Ibn Al-Hasan al-Syaibani berkata, ilmu adalah empat wajah:

  • Apa yang terdapat dalam kitab Allah dan seumpamanya.
  • Apa yang terdapat dalam sunnah Rasullullah dan seumpamanya.
  • Apa yang menjadi ijmak para sahabat dan seumpamanya.
  • Apa yang menjadi istihson para fuqaha dan seumpamanya.

Ibn Abd al-Barr Rahimahullah mentafsirkan maksud Imam Syafie dengan “apa yang semakna dengannya” dan maksud Imam Muhammad Ibn Al-Hasan dengan “dan seumpamanya” dengan kaedah Qias.

Ketiga:

Imam Malik berkata: “Ilmu dan hikmah adalah cahaya yang Allah hidupkan dengannya siapa yang dikehendakinya, bukan dengan banyaknya masalah ilmiah.” Hal ini berbetulan dengan kenyataan sahabat Nabi, Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu anhu:-

لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ ، إِنَّمَا الْعِلْمُ الْخَشْيَةُ

Maksudnya: “Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadis tetapi ilmu yang sebenarnya adalah takut kepada Allah.”

Riwayat Ibn Hibban (9) dalam Raudhat al-‘Uqala

Kata beliau lagi:

.رَأْسُ الْحِكْمَةِ تَحَافَةُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Kepala hikmah itu ialah takut kepada Allah Azza wa Jalla.”

Riwayat al-Baihaqi (729) da lam Syu’ab al-Iman

Ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

 إِنَّهَا يَغْشَى اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَماءُ

Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.”

(Surah Fatir: 28)

Ibn Kathir telah menukilkan sejumlah pandangan ulama berkenaan dengan maksud ayat ini.

Al-Maraghi berkata: “Ini kerana orang yang mengetahui perkara tersebut tentu akan yakin adanya hukuman yang bakal ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan Ingkar kepada Allah. Atas dasar itu, dia berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya.”

Keempat

Al-Khattabi berkata: “Ilmu lebih jelas dan terang daripada didefinisikan. Ertinya, ilmu itu diketahui oleh semua orang yang berakal, sekalipun seseorang itu ada ilmu atau sebaliknya. (Lihat Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu, hlm. 35-38)

Dalam menjawab persoalan anda, saya katakan:

Jika sekiranya dia berminat dalam tahfiz al-Quran, maka hendaklah difahami tentang kemampuannya, dan jika dia mampu di samping kecenderungannya jelas ke arah itu, maka saya syorkan bolehlah membuat permohonan untuk belajar di SMISTA MAIWP (Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz).

Sekolah ini sudah mula beroperasi pada 4 Januari 2011 dengan pelajar pertamanya seramai 57 orang lepasan UPSR dari sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Sekolah ini juga antara sekolah yang terbaik, yang bersifat bersepadu dan telah melahirkan ramai pelajar-pelajar cemerlang.

Begitu juga, jika sekiranya anak tidak berminat atau kurang upaya dalam menghafaz al-Quran, maka bolehlah pilih sekolah menengah agama seperti SMA MAIWP yang juga antara sekolah yang terbaik dan telah menghasilkan ramai pelajar-pelajar pintar dan berjaya. 

Niat tuan untuk mendidik dan memberi pembelajaran kepada anak-anak dengan sempurna adalah dipuji. Kecaknaan dan keprihatinan tuan untuk anak-anak membina masa depan dengan memilih tempat pembelajaran yang baik merupakan langkah tepat ke arah kebaikan anak-anak tuan.

Semoga para ibu bapa juga dapat memberi tumpuan sepenuhnya untuk anak-anak dan cuba menanamkan kepada mereka minat untuk menuntut ilmu sehingga ke puncak yang tertinggi.

Akhir kalam, marilah kita berdoa untuk anak-anak kita semua:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply