#1795: Doa Nabi Daud

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya, saya adalah guru dan ada pelajar saya yang akan menghadapi SPM tak lama lagi. Saya ingin bertanya, bolehkah saya minta dia selitkan doa Nabi Daud dalam doanya, contohnya macam ni, “Ya Allah, lembutkanlah hati pemeriksa kertas jawapanku terhadap jawapanku sepertimana Engkau melembutkan besi untuk Nabi Daud AS.” Adakah boleh diamalkan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari Kiamat.

Saya mulakan dengan takrifan doa. Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4)

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 24/183)

Perbuatan berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah SWT. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Berdoa itu adalah suatu ibadah.”

Kemudian baginda membaca firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu.”

Riwayat Abu Dawud (1479)

Berdasarkan ayat dan hadith di atas, berdoa itu bukan sekadar suatu ibadah, bahkan ia merupakan suatu perintah dari Allah SWT buat sekalian para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. Bukan sekadar itu, Allah SWT turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-Nya. Hal ini secara jelas menggambarkan peri pentingnya ibadah doa, sehingga menjadi suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.

Ibn Kathir menyebut bahawa ayat ini menzahirkan kemuliaan dan sifat Maha Pemurah Allah SWT di mana Dia menggalakkan hambanya untuk berdoa dan memberi jaminan untuk mengabulkan doa-doa tersebut. Seperti mana kata Sufyan al-Thauri:

يَا مَنْ أَحَبُّ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ سَأَلَهُ فَأَكْثَرَ سُؤَالَهُ وَيَا مَنْ أَبْغَضُ عِبَاده إِلَيْهِ مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَلَيْسَ أَحَد كَذَلِكَ غَيْرك يَا رَبِّ

Maksudnya: “Wahai hamba yang paling di sukai-Nya adalah hamba yang banyak meminta kepada-Nya. Dan hamba yang paling tidak disukai adalah siapa yang tidak meminta kepada-Nya. Tiada siapa seperti Engkau wahai Tuhan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/366)

Menjawab persoalan di atas, doa yang cikgu ajar itu tidak salah. Sebenarnya, ia juga ada kena-mengena dengan seseorang yang faham ucapan atau tulisannya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di mana ramai di kalangan kita menjadikan itu sebahagian daripada doa. 

قَالَ رَبِّ ٱشْرَحْ لِى صَدْرِى ٢٥ وَيَسِّرْ لِىٓ أَمْرِى ٢٦ وَٱحْلُلْ عُقْدَةًۭ مِّن لِّسَانِى ٢٧ يَفْقَهُوا۟ قَوْلِى ٢٨

Maksudnya: “Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; “Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; “Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, “Supaya mereka faham perkataanku; ”

Surah Taha (25-28)

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT telah merakamkan kepada kita doa Nabi Musa AS bertujuan membimbing dan mendidik kita apabila menghadapi ujian dan tribulasi, hendaklah kita sentiasa berdoa. Salah satunya seperti doa di atas, agar urusan dan ucapan kita lancar serta teratur sehingga difahami oleh mereka. 

Saya doakan semoga cikgu beserta anak-anak pelajar berjaya dalam pelajaran dan peperiksaan. Amin. 

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *