Soalan:

Wajibkah saya melunaskan hutang saya sebelum saya menunaikan umrah? Jika ada orang taja saya, boleh ke saya pergi umrah jika ada hutang?

 Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. 

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Surah Ali-Imran (97)

Pada asasnya, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Namun, menjadi persoalan adakah boleh untuk seseorang yang berhutang untuk menunaikan ibadat haji atau umrah?

Dalam isu kemampuan ini, saudara boleh merujuk ke link di bawah untuk mendapat maklumat lanjut:

#1522: Maksud Berkemampuan dalam Ibadah Haji dan Umrah[1]

#148 Melangsaikan Hutang Atau Umrah[2]

 

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami syorkan kepada saudara untuk pergi menunaikan ibadah umrah. Hal ini kerana saudara di taja oleh seseorang untuk menunaikan ibadah umrah dan bukannya menggunakan duit saudara sendiri. 

Walaupun begitu, alangkah baiknya saudara bertemu dengan orang yang saudara berhutang serta jelaskan hasrat saudara yang hendak ke Mekah menunaikan umrah dengan tajaan seseorang dan alangkah baiknya jika saudara boleh memberi sebahagian daripada hutang tersebut untuk dilunaskan sebagai komitmen dan cita-cita saudara untuk menyelesaikannya.

Semoga dengan berkat doa dan munajat saudara di sana, Allah SWT memudahkan urusan saudara untuk melangsaikan hutang dan mempermudahkan segala urusan kehidupan saudara. Namun, perlu difahami jika sekiranya seseorang itu mempunyai hutang dan ingin mengerjakan umrah atau haji, maka ketika itu melunaskan hutang adalah lebih utama. Hal ini kerana ia diwajibkan kepada mereka yang berkemampuan sahaja. Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Surah ali-Imran (97)

Menurut Imam al-Nawawi, jika dia masih ada hutang yang perlu dilangsaikan dengan segera, sedangkan dia mampu melaksanakannya, maka pemberi hutang berhak menghalangnya daripada musafir. Sebaliknya jika dia termasuk daripada golongan yang sukar kerana kesempitan hidup dan tidak memiliki sesuatu yang dituntutnya. Ketika itu, ia harus bermusafir tanpa izinnya. Begitu juga jika hutang itu bersifat bertangguh malah boleh ia bermusafir tanpa menjelaskannya terlebih dahulu. Tetapi sunat baginya tidak keluar musafir sehingga diwakilkan kepada seseorang yang boleh melangsaikan hutangnya ketika ketiadaannya. (Lihat al-Idhah, hlm. 18)

Justeru itu, kemampuan merupakan salah satu syarat wajib yang harus dipenuhi bagi sesiapa yang ingin menunaikan ibadah haji ataupun umrah. Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan maka gugurlah syarat untuk dia menunaikannya disebabkan kekurangannya. Namun begitu, bagi mereka yang mampu untuk menguruskan hutang dan kewangannya dengan baik, serta pendapatannya stabil, maka diharuskan baginya untuk melaksanakan umrah ataupun haji.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1519-maksud-berkemampuan-dalam-ibadah-haji-dan-umrah/

[2] https://maktabahalbakri.com/148-melangsaikan-hutang-atau-umrah/

 

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply