#1897: Memberi Rating Rendah Kepada Penjual

Soalan:

Apakah hukum jika memberi ‘bad rating‘ kepada penjual yang menjual barang rosak kepada pembeli? Adakah pembeli tersebut dikira mengaibkan penjual atau sebaliknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ

Maksudnya:Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyatakan bahawa Allah SWT membenarkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli.

 وَأَحَلَّ اللَّهُ الْأَرْبَاحَ فِي التِّجَارَةِ وَالشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ

Maksudnya:Dan Allah SWT menghalalkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli.” (Lihat Tafsir al-Tabari 13/6)

Pada hari ini, penjualan secara online telah menjadi salah satu sumber rezeki khususnya bagi mereka yang baru menceburi bidang perniagaan. Ekosistem jual beli di platform e-commerce sebegini amat bergantung dengan penilaian (rating), jumlah barangan terjual (sold item) dan komen (review) pelanggan. Maka, penilaian (rating) yang rendah akan menyebabkan kehilangan pelanggan dan jualan merosot.

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan jika sekiranya penjual menjual barangan yang rosak, maka wajar bagi saudari memberi “bad rating” kepada penjual tersebut. Hal ini bagi mengelakkan pembeli yang lain terjerat dengan penipuan yang dilakukan

Rasulullah SAW telah menegaskan:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya perbuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Dalam hal ini juga, ia tidaklah dianggap mengaibkan. Bahkan, jika kita lihat pada hari ini juga banyak aplikasi seperti Shopee, Lazada, Shein dan seumpamanya yang telah memberi hak kepada pengguna untuk menilai sendiri penjual-penjual berkenaan. Akan tetapi, jika sekiranya pembeli sengaja memberi rating yang rendah kepada penjual, walhal beliau telah menjual barang yang dalam keadaan baik, maka pembeli tersebut dikira berdosa kerana menimbulkan syak wasangka kepada orang lain.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin. Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *