Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ramai di kalangan kita menganggap tanpa usaha dan berserah kepada Allah SWT sebagai puncak tawakkal. Adakah itu benar?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tawakal ialah satu maqam yang disepakati oleh para sufi dan merupakan antara asas yang menghimpunkan padanya kalangan mereka yang te kedudukan dalam kerohanian atau kesufian

Kedudukan tawakal adalah di hati, ia tidak pula menghalang manusia daripada berusaha dan berikhtiar bahkan maqam ini akan menjadikan seorang itu beroleh thiqah, pertolongan dan pemeliharaan Allah la juga adalah antara syarat-syarat yang perlu ada bagi orang-orang yang beriman. Firman Allah dalam surah al-Ma’idah, ayat 23:

وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal jika kamu benar-benar orang yang beriman.”

Bagi golongan sufi, tawakal mempunyai adab-adab tertentu yang mesti dipelihara, dengan adab ini para murid akan meningkatkan darjatnya ke tahap tawakal tafwid (تَفْوِيض).

Asal kepada tawakal adalah yakin. Kebanyakan manusia tidak dapat mengetahui rahsia tawakal ini kerana mereka memiliki keyakinan yang lemah. Di samping itu dalam banyak hal mereka hanya terhenti melihat sesuatu perkara atau kejadian pada sebab-sebabnya sahaja, bukan kepada penyebabnya iaitu Allah SWT. Hal ini bertentangan dengan tuntutan tawakal itu sendiri.

Orang yang benar-benar bertawakal melihat sesuatu perkara itu terus kepada pelakunya iaitu Allah. Sifat ini akan terus berkembang sehingga melihat hakikat ciptaan Allah tentang dirinya sendiri, tawakal akan melahirkan hal iaitu yang dinamakan tafwid iaitu kedudukan tawakal yang tinggi.

Syeikh Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarni berkata:

“Walaupun terdapat tohmahan yang dilemparkan kepada golongan sufi khususnya dalam masalah pekerjaan, tetapi sejarah telah membuktikan bahawa mereka bebas daripada tuduhan menyerah bulat-bulat kepada takdir (التَّوَاكُلُ) dan pemalas sufi tidak pernah menganjurkan supaya meninggalkan usaha dan sebab musabab dalam kehidupan ini. Bahkan mereka menganjurkan supaya bersungguh-sungguh dalam berusaha di samping mengingatkan manusia supaya jangan malas,”

Contohnya Banan al-Hammal berkata: “Sesiapa yang menolak sebab dan musabab dalam kehidupan mereka, ternyatalah bahawa mereka tergolong dalam kategori orang yang berserah bulat-bulat tanpa berusaha (التَّوَاكُلُ)”

Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Tidak ada kebaikan kepada sesiapa yang tidak pernah merasa kelazatan bekerja mencari rezeki.”

Al-Sya’rani pula menasihatkan pengikutnya yang bekerja supaya berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Dia berkata: “Bersungguh-sungguhlah dalam melakukan pekerjaan kerana kesungguhan dalam bekerja itu lebih utama daripada ibadat sunat dan sukarela.”

Banyak lagi contoh-contoh yang seumpama itu yang boleh diketengahkan yang membuktikan bahawa golongan sufi adalah terdin daripada orang yang kuat bekerja. Mereka semua melakukan pekerjaan seperti pengangkat barang, pemotong kaca, penenun sutera, tukang besi, pembuat kain, pembilas kain, guru dan banyak lagi.

Hamdun al-Qassar berkata:

“Orang Mukmin yang duduk sahaja tanpa berusaha itulah orang yang sentiasa terjebak ke dalam masalah.”

Kesungguhan bertawakal di kalangan mereka bukanlah bererti meninggalkan pekerjaaan. Kata Abu Ja’far al-Haddad (tukang besi):

“Lebih daripada lima belas tahun aku bekerja sebagai seorang tukang besi di beberapa buah kedai, aku tetap bertawakal di samping itu aku berusaha dan mendapat upah daripada kerja tersebut setiap hari.”

Justeru, tindakan yang sebenar dalam bertawakkal apabila digabungkan empat perkara utama iaitu:

  • Azam yang kuat
  • Strategi dan beramal serta berusaha dengan itqan (professional)
  • Berdoa kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh
  • Redha di atas keputusan dan hasil yang dikurniakan Allah SWT

Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh orang Islam dalam menempuh ranjau kehidupan agar terus berjaya dan maju. Marilah kita akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply