Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanyakan soalan. Apakah hukum berjual beli air zamzam? Adakah terdapatnya di sana ayat al-Quran mahupun hadith yang mengharamkan atau membolehkan penjualan air zamzam? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Maksudnya: “(Nabi Ibrahim berkata): Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.’”

(Surah Ibrahim: 37)

Air zamzam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjidil Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim A.S, apabila Allah SWT telah sediakan air dari telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.

Di antara keistimewaan air Zamzam ini ialah ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Abu Zar R.A bahawasanya Nabi SAW bersabda:

إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ

Maksudnya:Sesungguhnya air Zamzam ialah air yang penuh dengan keberkatan dan mengandungi makanan yang mengenyangkan.

Riwayat Muslim (2473)

Tambahan lagi, air zamzam juga merupakan sebaik-baik air yang ada di atas muka bumi dan penawar daripada penyakit. Terdapat sebuah riwayat daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ فِيهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya:Sebaik-baik air di atas muka bumi ialah air zamzam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit.

Riwayat al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (1106); al-Tabarani (11167); al-Dhiya’ dalam al-Ahadith al-Mukhtarah (137); Lihat juga Majma‘ al-Zawaid wa Manba‘ al-Fawaid, 3/286; Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 3/44-45; perawi-perawinya adalah thiqah dan telah disahihkan oleh Ibn Hibban.

Selain itu, al-Munawi ada menyebutkan bahawa air zamzam adalah penghulu bagi segala air, merupakan air yang paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia. Ia telah digali oleh malaikat Jibril dan diberi minum kepada Nabi Ismail A.S. (Lihat Faid al-Qadir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 5/404).

Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa air zamzam mempunyai kelebihan dan fadhilat tertentu seperti mengenyangkan dan penawar bagi segala penyakit. Di samping, ia juga merupakan sebaik-baik air di atas muka bumi dan air yang diberkati. 

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya tidak boleh menjual air selagi mana air tersebut masih berada di sumbernya (mata air), atau sedang mengalir. Namun, jika seseorang mencedoknya dan mengambilnya di dalam bekasnya sebagai contoh. Maka, dia boleh menjualnya tanpa sebarang khilaf dalam kalangan ulama. Ibn Qudamah menyebutkan, air yang dicedoknya ke dalam bekasnya, maka sesungguhnya dia memiliki air tersebut. Jadi, dia boleh menjualnya tanpa sebarang khilaf dalam kalangan ulama. Sehubungan dengan itu, menjadi adat kebiasaan di sesetengah tempat untuk menjual air di tempat mengambil air tanpa seorangpun membantahnya. Begitu juga tidak ada seorangpun berhak untuk meminum, berwuduk atau mengambil air tersebut melainkan dengan keizinan pemiliknya. Begitu juga jika seseorang berdiri di tepi telaganya atau telaga yang dibenarkan, lalu mengambil air dengan timbanya atau dengan gandarnya atau seumpamanya, maka mana-mana air yang dimasukkan ke dalamnya adalah miliknya. Dia boleh menjual air tersebut kerana dia memilikinya dengan mengambilnya ke dalam bekasnya. Imam Ahmad menyebutkan, sesungguhnya yang dilarang itu adalah menjual air yang masih dalam telaga dan air yang masih mengalir di mata air. Akan tetapi boleh untuk menjual telaga dan mata air itu sendiri, dan pembelinya pula lebih berhak ke atas airnya. (Lihat al-Mughni, 4/215).

Justeru, begitulah juga halnya dengan air zamzam, tidak ada beza antara air zamzam dengan air yang lain dari sudut jual belinya. Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh Ibn Baz menyatakan, tidak mengapa menjual air zamzam, mahupun membawanya keluar dari Makkah. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 16/138).

Selain itu, Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad juga pernah ditanya berkenaan hukum menjual air zamzam. Beliau menjawab, jika seseorang memiliki air, maka dia boleh menjualnya. Begitu juga jika dia membawa air tersebut dengan keretanya atau dia mencedoknya ke dalam bekasnya atau di dalam tangkinya, maka dia boleh menjualnya.[1]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat, jual beli air zamzam adalah dibolehkan dan sah, dengan syarat ia telah dicedok atau dimasukkan ke dalam botol, bekas atau seumpamanya yang menunjukkan ia telah dimiliki oleh pemiliknya. Di sana tidak terdapat ayat al-Quran mahupun hadith yang secara khusus melarang penjualan air zamzam. Justeru, air zamzam kekal hukumnya dari sudut jual belinya sepertimana air-air yang lain.

Walau bagaimanapun, penjualan air zamzam di Malaysia terikat dengan undang-undang di bawah Peraturan 360A, Peraturan-peraturan Makanan 1985. Hal ini kerana air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi. Justeru, pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport. Dalam hal ini, Kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zamzam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.

Menurut Tan Sri Dr. Noor Hisham,[2] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa menjalankan penguatkuasaan terhadap penjualan air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen. Penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak tahun 2012 hingga kini (tahun 2020) sejumlah RM77,358.30 air yang dilabelkan sebagai air zamzam dirampas. Menurutnya lagi, di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mereka yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. Sehubungan dengan itu, KKM menasihati orang ramai supaya tidak membeli air yang dilabel sebagai air zamzam di pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan.[3]

Polisi atau undang-undang yang ditetapkan ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Hal ini kerana pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting dan sebagai mengambil jalan Sadd al-Zarai‘ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar iaitu penjualan air mineral yang tidak terkawal sehingga kualiti air yang dijual itu tidak terjamin tahap kebersihannya, begitu juga penipuan terhadap ketulenan air zamzam. Oleh itu, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://ar.islamway.net/fatwa/33101/ حكم-بيع-ماء-زمزم. Diakses pada 16 Jun 2023.

[2] Mantan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

[3] Lihat https://www.sinarharian.com.my/article/64767/berita/nasional/tiada-siapa-dapat-lesen-eksport-jual-air-zamzam. Diakses pada 16 Jun 2023.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply