#1967: Amalan Yang Mendapat Pahala Seperti Melakukan Haji dan Umrah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya tertarik dengan hadith di mana mafhumnya: “Siapa yang solat subuh berjemaah dan berzikir sehingga terbit fajar, lalu solat 2 rakaat, maka dia mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna.”

Persoalannya, bagaimana saya nak mendapatkan pahala sebegini setiap hari sedangkan saya perlu ke tempat kerja? Saya terpaksa meninggalkan masjid seusai imam berdoa solat subuh.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ، ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ، كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ، تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga terbit matahari, kemudian solat sunat dua rakaat, maka baginya pahala haji dan umrah yang sempurna, (pahala haji dan umrah) yang sempurna, (pahala haji dan umrah) yang sempurna.”

Hadith riwayat al-Tirmizi (586)

Syeikh Abdullah bin Baz ditanya mengenai status hadith ini, lalu beliau berkata: “Hadith ini mempunyai beberapa jalur yang tiada masalah padanya, maka statusnya dianggap sebagai hasan li ghairihi. Dan disunatkan solat ini setelah matahari terbit dan tingginya pada kadar panjang tombak, iaitu kira-kira 20 minit atau 15 minit selepas matahari terbit.” (Lihat Fatawi al-Syeikh Ibn Baz, 25/171)

Zahir hadith ini menyebutkan bahawa siapa yang melakukan seperti yang disebutkan di dalam hadith, maka baginya pahala haji dan umrah yang sempurna. Dan merupakan kurniaan Allah yang dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ditanyakan berkenaan pahala yang diperoleh tersebut, bagaimana mungkin orang itu memperolehi pahala seperti haji dan umrah yang sempurna? Lalu beliau menjawab: “Berdasarkan pandangan yang mengatakan hadith ini sahih, maka (ketahuilah bahawa) pahala itu tidak boleh diqiaskan. Boleh jadi seseorang melakukan amalan yang sedikit tetapi diberikan pahala yang banyak. Hal ini kerana pahala ini merupakan kurniaan Allah SWT, dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (Lihat al-Liqa’ al-Syahri, 74/22)

Pahala Amalan Seperti Melakukan Haji dan Umrah

Melihat kepada persoalan yang ditanyakan di atas, sekiranya saudara yang bertanya tidak dapat beramal dengan hadith yang disebutkan disebabkan kekangan masa atau kepadatan jadual harian, maka kami sarankan kepada saudara agar beramal dengan beberapa hadith lain yang mana disebutkan juga di dalamnya ganjaran menyerupai ganjaran orang yang melakukan haji atau umrah.

Antara hadith-hadith berikut, seperti yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ R.A, dia mengadu kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، ‌ذَهَبَ ‌الْأَغْنِيَاءُ ‌بِالْأَجْرِ، يَحُجُّونَ وَلَا نَحُجُّ، وَيُجَاهِدُونَ وَلَا نُجَاهِدُ، وَكَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya dengan keuntungan mereka, mereka menunaikan haji dan kami tidak mengerjakan haji, mereka berjihad dan kami tidak berjihad, begitu dan seterusnya.”

Lalu Baginda SAW bersabda:

أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إنْ أَخَذْتُمْ بِهِ جِئْتُمْ أَفْضَلَ مِمَّا يَجِيءُ بِهِ أَحَدٌ مِنْهُمْ؟ أَنْ تُكَبِّرُوا أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ، وَتُسَبِّحُوهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَأَنْ تَحْمَدُوهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku ajarkan sesuatu yang apabila kalian lakukannya, maka kamu telah melakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dikerjakan (haji) oleh salah seorang dari mereka (orang-orang kaya)? Selepas solat, kamu bertakbir sebanyak 34 kali, bertabih sebanyak 33 kali, dan bertahmid sebanyak 33 kali.”

Hadith riwayat al-Nasa’ie (9902)

Di dalam hadith di atas, Nabi SAW mengajarkan Abu Darda’ R.A untuk membaca zikir-zikir di bawah setiap kali selesai solat:

  • Bertakbir (iaitu mengucapkan: اللهُ أَكْبَرُ) 34 kali.
  • Bertasbih (iaitu mengucapkan: سُبْحَانَ اللهِ).
  • Bertahmid (iaitu mengucapkan: الحَمْدُ لِلّٰهِ).

Diriwayatkan juga hadith lain daripada Abu Umamah al-Bahili R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ مُتَطَهِّرًاً إِلَى ‌صَلَاةٍ ‌مَكْتُوبَةٍ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْحَاجِّ الْمُحْرِمِ، وَمَنْ خَرَجَ إِلَى تَسْبِيحِ الضُّحَى لَا يَنْصِبُهُ إِلَّا إِيَّاهُ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْمُعْتَمِرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci (berwudhu’) untuk menunaikan solat fardhu, maka ganjaran pahalanya seperti ganjaran orang yang melakukan haji dan berihram. Dan sesiapa yang keluar rumah untuk menunaikan solat sunat Dhuha, tiada perkara lain yang menyibukkan dirinya kecuali solat tersebut, maka ganjaran pahalanya seperti ganjaran orang yang melakukan umrah.”

Hadith riwayat Abu Dawud (558), dan Ahmad (22304). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut bahawa sanad hadith ini Sahih.

Berdasarkan hadith di atas, terdapat dua kelebihan yang disebutkan bagi orang yang keluar rumah dan menuju ke masjid dalam keadaan berwudhu’:

  • Jika dia menuju ke masjid untuk menunaikan solat fardhu lima waktu, maka baginya pahala seperti mana pahala orang yang mengerjakan haji dan sedang berihram.
  • Jika dia menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat Dhuha, maka baginya pahala seperti maana pahala orang yang menunaikan umrah.

Kesimpulan

Banyak lagi hadith lain yang menceritakan amalan kecil dan mudah, tetapi pelakunya akan memperoleh ganjaran yang amat besar seperti mereka yang mengerjakan haji atau umrah. Kedua-dua amalan yang kami sebutkan di atas amatlah mudah untuk dilakukan dalam sehari-hari kita.

Maka kami nasihatkan, agar kita sentiasa mengamalkan sunnah Rasulullah SAW, kerana antara tanda kecintaan seseorang terhadap Baginda adalah dengan melakukan sunnah-sunnahnya. Ini kerana Baginda SAW merupakan ikutan yang paling baik, seperti dalam firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ‎

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

1 thoughts on “#1967: Amalan Yang Mendapat Pahala Seperti Melakukan Haji dan Umrah

  1. Sitinurain says:

    assalamualaikum
    berkenaan hadis ini

    Siapa yang solat subuh berjemaah dan berzikir sehingga terbit fajar, lalu solat 2 rakaat, maka dia mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna.”

    bagaimnaa pula dengan perempuan. sebab nabi kata solat terbaik bagi seorg perempuan adalah di rumah.
    di rumah agak sukar utk dpt berjemaah.. biasanya saya sendirian di rumah.namun seminggu sekali sya akan cuba mengikut hadis ini. duduk di tikar sejadah sehingga dhuha.. sebab sy perempuan yg berkerja..saya cuma dpt buat pd hujung minggu.

    jika hadis ini terpakai pd prempuan yg solat di rumah..boleh tak dato berkongsi pendapat ulama mana yg ada mengulas tentang hal ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *